Ulasan Violent Night

Seperti mana-mana filem yang berkait dengan sambutan apa-apa perayaan, mereka sentiasa cuba membawa sesuatu yang berlainan untuk menjadikan ia menarik, dan Violent Night adalah filem yang membawa konsep tersebut dengan lebih ‘extreme‘. Ia adalah filem memfokuskan Hari Krismas, ia adalah filem kekeluargaan, ia juga adalah filem yang mempunyai Santa dengan kata lain mencukupi untuk resipi bagi memanggilnya filem Krismas, namun ia juga filem yang mempunyai aksi ganas, bunuh membunuh, darah dan juga kekejaman melampau, sesuatu yang tidak biasa kita kaitan dengan filem Krismas.

Ini adalah Violent Night, filem arahan Tommy Wirkola yang terkenal dengan filem seram komedia seperti Dead Snow dan juga Hansel & Gretel: Witch Hunters. Filem ini berkisarkan mengenai Santa Claus lakonan David Harbour, dia adalah Santa Claus yang sebenar yang setiap malam Krismas membawa hadiah kepada kanak-kanak. Namun, dengan keadaan dunia yang sudah mula tidak mempercayai kewujudan Santa Claus, dia mula hilang kesungguhan untuk menjadi Santa Claus.

Walaupun masih melakukan tugasannya, akan tetapi dia juga merupakan seorang yang sentiasa mabuk dan kurang bersemangat untuk melakukan apa-apa sahaja, dia juga mengatakan yang ini adalah kali terakhir dia akan menjadi Santa Claus.

Semasa dia cuba menyelesaikan tugasannya sebagai Santa dia telah memasuki rumah yang didiami oleh keluarga Lightstone iaitu satu keluarga mewah yang terdiri daripada Gertrude Lightstone lakonan Beverly D’Angelo, Jason Lightone anak lelaki Gertrude lakonan Alex Hassell, Linda Matthews lakonan Alexis Louder, isteri kepada Jason, Trudy Lightstone lakonan Leah Brady anak kepada Jason dan Linda. Selain itu, terdapat juga Morgan Lightstone lakonan Cam Gigandet anak perempuan Getrude bersama dengan teman lelakinya.

Oleh kerana Santa dalam keadaan yang mabuk, dia telah tertidur di ruang rehat rumah tersebut, dan tersedar apabila terdengar tembakan dan dia menyedari yang terdapat beberapa orang penjahat telah memasuki rumah tersebut dan menjadikan kesemua keluar Lightstone sebagai tebusan. Pada awalnya, Santa ingin melarikan diri tetapi di dalam pergaduhan dengan salah seorang penjahat rusa-rusa terbang yang menjadi tunggangan Santa telah melarikan diri dan dia tersangkut di kawasan tersebut.

Dia kemudiannya berhubung dengan Trudy Lightstone yang merupakan seorang kanak-kanak yang baik dan mempercayai Santa Claus, oleh disebabkan perkara tersebut dia bertegas untuk menyelamatkan keluarga Lightstone maka bermula percubaan Santa untuk menjadi hero bagi menyelamatkan keluarga Lightstone khususnya Trudy Lightstone.

Filem ini mempunyai aksi ganas yang boleh dikatakan grafik walaupun ada beberapa bahagian yang saya merasakan di potong, tetapi kebanyakan aksi lain masih diperlihatkan dengan jelas. Ia adalah menarik terutama kerana kita sedang melihat Santa yang sedang berlawan dan juga bunuh membunuh. Selain itu, terdapat juga beberapa aksi yang watak di dalam filem ini sendiri mengatakan mengambil inspirasi daripada filem Home Alone tetapi dilakukan dengan lebih ganas dan juga lebih berdarah.

Setiap aksi dilakukan dengan memuaskan, walaupun ada masa saya merasakan ia mungkin berlanjutan terlalu lama. Terdapat adegan-adegan sampingan yang cuba untuk menekan brek kepada aksi ganas tersebut, dan memberi peluang kepada pembinaan watak. Ia memberi nilai tambah kepada penceritaan ini, dan membantu untuk memperlihatkan sisi yang berlainan bagi Santa Claus. Tambahan lagi melalui perhubungannya dengan Trudy yang serba sedikit membawa kembali “kegembiraan” menjadi seorang Santa Claus.

Watak-watak jahat di dalam filem ini antaranya Mr. Scrooge lakonan John Leguizamo juga dilakukan dengan baik, setiap penjahat mempunyai perwatakan tersendiri yang menghiburkan. Sedikit mengecewakan kerana latar belakang mengenai watak jahat ini tidak sangat ditampilkan, walaupun filem ini menyelitkan serba sedikit mengenai bagaimana dia menjadi jahat. Jika dikembangkan lagi, ia mungkin akan menjadikan perwatakan yang lebih menarik untuk mereka.

Cubaan untuk membawa emosi dan juga komedi di dalam filem ini sebagai sampingan kepada aksi yang ganas, saya boleh katakan menjadi walaupun ada beberapa bahagian yang terasa sangat memaksa, tetapi oleh kerana saya menonton filem ini sebagai santapan ringan, ia masih satu filem yang menyeronokkan dan ada bahagian di mana saya ketawa dan ada bahagian yang saya hampir menitiskan air mata. Namun, oleh kerana filem ini pada asasnya adalah satu filem ganas, keganasan ini adalah lebih menarik penonton berbanding adegan-adegan lain tersebut.

Akhir kata, Violent Night adalah satu filem yang membawa kelainan kepada genre filem Krismas, walaupun bukanlah unik akan tetapi ia masih lagi filem yang menarik dan ada masa terasa segar untuk ditonton. Aksi ganas yang diperlihatkan adalah menghiburkan, terutama jika anda meminati filem-filem sebegini, walaupun ada beberapa adegan yang terasa janggal, mungkin disebabkan penapisan, akan tetapi secara keseluruhannya ia masih lagi satu filem aksi ganas yang baik.

Selain itu, sebagai satu filem Krismas, ia juga menerapkan elemen kekeluargaan dan juga perkara kemanusiaan lain yang memberikan nilai tambah kepada filem ini, walaupun ia dilakukan secara sampingan sahaja akan tetapi menjadi tempat rehat yang efektif untuk adegan-adegan aksi yang ada masa menjadi terlalu panjang. Ia bukanlah satu filem yang bersesuaian untuk tontonan seisi keluarga seperti filem-filem Krismas lain, tetapi jika anda mencari filem berlainan untuk ditonton bulan Disember ini, ia sudah semestinya satu pilihan yang baik.

Penafian: Tayangan awal untuk Violent Night disediakan oleh UIP Malaysia bagi tujuan ulasan ini. Violent Night akan mula ditayangkan pada 1 Disember 2022.

Violent Night
Violent Night adalah satu filem Krismas yang membawa kelainan kerana ia adalah satu filem yang ganas dengan aksi tanpa henti, namun masih lagi membawa nilai kekeluargaan walaupun sekadar sampingan.
Positif
Aksi Ganas Yang Baik
Penceritaan Mempunyai Emosi Dan Komedi
Negatif
Pertarungan Ada Yang Terlalu Panjang
Ada Adegan Aksi Terasa Janggal (Mungkin Kerana Penapisan)
7

Sohor Kini