Sehingga hari ini, pada pendapat saya filem Spider-Man Into The Spider-Verse adalah filem animasi terbaik. Bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang menarik dengan prestasi lakonan suara yang mantap, tetapi bentuk dan rekaan animasi yang unik pada filem ini menjadikan ia lain daripada yang lain.

Filem ini dihasilkan oleh Phil Lord dan Christopher Miller, di mana bentuk animasi unik ini turut dicuba dan diolah dalam filem animasi Netflix – The Mitchells vs. the Machines.

Spider-Man: Across the Spider-Verse iaitu sekuel kepada Into The Spider-Verse turut dihasilkan oleh Phil Lord dan Christopher Miller. Dalam Empire, Phil Lord menyatakan filem sekuel ini tidak akan terhad kepada satu bentuk dan rekaan animasi – tetapi akan mempunyai enam.

Filem animasi ini menggunakan pelbagai alatan dan teknik animasi daripada filem pertama, dan juga segala perkara yang mereka pelajari daripada filem The Mitchells Vs The Machines. Mereka berhasrat untuk memastikan penonton akan sentiasa rasa kagum ketika menonton filem ini. Tambahan lagi, setiap gaya animasi turut akan memainkan peranan terhadap jalan cerita.

Filem Spider-Man Across The Spider-Verse akan ditayangkan pada 1 Jun 2023.

Sohor Kini