15 tahun lepas, Disney mengeluarkan satu filem fantasi komedi muzikal berjudul Enchanted dengan Amy Adams sebagai puteri Giselle, Patrick Dempsey sebagai Robert, James Marsden sebagai putera Edward, Idina Menzel sebagai Nancy, Rachel Covey sebagai Morgan anak kepada Robert, dan beberapa pelakon suara untuk watak animasi seperti Jeff Bennett sebagai Pip seekor tupai.
Filem ini mengisahkan Giselle yang bosan dengan dunia fantasi dan berhijrah ke dunia realiti. Di mana beliau jatuh cinta dengan Robert dan ingin hidup sebagai orang biasa tanpa ada elemen magikal. Tetapi dihalang oleh Queen Narissa lakonan Susan Sarandon.
Selepas 15 tahun, Disney hadir dengan filem Disenchanted pula mengisakan Giselle sudah mempunyai anak sendiri dan berpindah ke Monroeville. Di sini beliau mula merindui Anadalsia iaitu dunia fantasi kelahiran beliau dan inginkan kembali segala elemen magikal kerana hidup di dunia realiti tidak semudah yang beliau sangkakan. Adakah selepas 15 tahun, filem seperti ini masih seronok untuk ditonton? Sayang sekali tidak!
Seperti yang aku katakan tadi, Disechanted berlaku 15 tahun selepas Enchanted di mana Giselle, Robert, Morgan dan bayi baharu mereka berpindah ke Monroeville. Selepas berpindah, pelbagai tragedi berlaku membuatkan Giselle rindu akan dunia fantasi yang dipenuhi dengan elemen magikal. Apabila raja Edward dan kawan baik beliau Nancy yang kini adalah permaisuri di Andalasia menziarahi mereka di Monroeville – pasangan diraja ini menghadiahkan tongkat sakti Andalasia.
Di Monroeville, terdapat seorang ketua komuniti iaitu Malvina Monroe yang dengki dan cemburu akan Giselle menyebabkan perancangan Giselle untuk mengeratkan hubungan bersama Morgan gagal. Ini menyebabkan beliau tertekan dan menggunakan tingkat sakti tadi untuk mengubah kehidupan realiti sekarang menjadi dunia fantasi magikal seperti dalam Andalsia.
Namun, beliau tidak menjadi permaisuri sebaliknya menjadi ibu tiri yang kejam yang klise dalam banyak filem fantasi animasi Disney. Kini ia terpulang kepada Nancy, Edward, Morgan dan Robert untuk memastikan Giselle akan kembali pulih dan dunia realiti boleh diselamatkan sebelum tengah mala apabila segala hajat daripada tongkat sakti tadi menjadi kekal.
Tahun 2007 aku baru tingkatan 1, jadi menonton Enchanted masih memberi aku rasa keseronokan dan boleh menghiburkan aku apabila tonton bersama keluarga. Sama seperti Disenchanted, ia adalah filem untuk tontonan kanak-kanak dan juga bersama seisi keluarga. Apabila aku tonton filem ini, aku tidak rasa seronok malah rasa bosan dan hanya tersengih kerana cubaan pelakon yang try hard menjadikan filem ini menarik. Mungkin faktor usia, atau mungkin filem ini yang ditulis dengan keadaan sangat cheesy.
Ia adalah filem yang biasa sahaja. Semua perkara boleh diramal, kerana ia adalah satu klise cuma terbalik. Giselle kini menjadi jahat cuba berlawan dengan orang jahat sedia ada dengan ahli keluarga beliau pula menjadi wira menyelamatkan keadaan. Filem Disenchanted adalah filem fantasi komedi muzikal dengan lagu-lagu klise bertemakan jalan cerita filem seperti situasi yang setiap watak berada dengan nada seperti lagu-lagu klasik filem fantasi animasi.
Prestasi lakonan juga biasa sahaja dan jelas sekali ia ditujukan kepada kanak-kanak. Misalnya, cara pertuturan Amy Adams sebagai Giselle yang manja, lembut dan seakan watak puteri dalam animasi untuk tontonan aku ia rasa amat menjengkelkan. Lakonan watak Malvina Monroe juga tidak cukup menarik dan membuatkan aku mudah rasa bosan.
Filem ini walau bagaimanapun masih boleh membuatkan aku tersengih, tetapi sepanjang menonton aku boleh kira berapa kali tersengih kerana aku lebih banyak muram. Disenchanted tidak menawarkan sebarang keunikan untuk menjadikan filem ini menarik untuk ditonton oleh semua orang. Disebabkan tiada keunikan ini, untuk aku yang dewasa menonton seorang diri rasa bosan dan penat untuk layan, walaupun durasi filem hanya 1 jam 54 minit ia rasa seakan 3 jam.
Tetapi, jika anda ada anak kecil, adik-beradik yang masih di sekolah rendah – filem ini seronok untuk ditonton bersama ahli keluarga. Ia adalah filem yang anda boleh tonton ketika benar-benar sudah bosan dan tidak tahu ingin tonton apa, Disenchanted adalah satu filem yang boleh menghabiskan masa sunyi anda.
Elemen muzikal yang biasa, kualiti produksi yang rendah dan tidak begitu hebat, serta CGI watak-watak 3D yang tidak berkualiti dan gabungan animasi dan aksi nyata yang tidak begitu hebat – membuatkan filem ini tidak begitu menarik walaupun hakikatnya ia adalah satu sekuel yang mempunyai penceritaan menarik.
Jika anda tidak begitu hiraukan kualiti produksi, penyampaian cerita yang cheesy, skrip yang klise dan cringe – filem ini seronok sahaja untuk ditonton. Cuma, percayalah seorang dewasa tonton filem ini seorang diri adalah aneh kecuali anda memang minat akan filem fantasi begini. Filem ini terlampau try hard untuk menarik kanak-kanak yang dulu tonton Enchanted dan kini sudah dewasa – tetapi ia menjadi sebuah filem fantasi yang tak menjadi.
Disenchanted sudah pun disiarkan di Disney+ Hotstar pada 18 November lalu. Jika anda rasakan anda ingin tonton bersama keluarga atau ingin layan adik-adik atau anak-anak kecil – ini adalah filem yang mungkin boleh mengalihkan perhatian mereka.