The Addams Family adalah kisah komedi seram ngeri mengenai keluarga Addams. Ia adalah satu IP yang ikonik dengan filem animasi 3D adalah antara yang terkini. Tetapi dalam ingatan aku, The Addams Family yang pernah aku tonton adalah Christopher Lloyd sebagai Uncle Fester Addams dalam filem The Addams Family dan Addams Family Value.
Sudah sekian lama aku tidak mengikuti sebarang perkembangan The Addams Family sehinggalah tibanya siri Wednesday di Netflix. Ia adalah satu iterasi moden oleh Tim Burton yang memfokuskan kepada watak Wednesday Addams.
Aku tidak meletakkan sebarang harapan tinggi pada mulanya, tetapi disebabkan aku minat dengan Jenna Ortega aku berharapkan Wednesday adalah sebuah siri TV yang baik. Selepas menonton siri TV ini melalui akses awal yang Netflix berikan, aku rasa seronok kerana dapat melihat adaptasi aksi nyata Addams Family pada zaman moden. Cuma adakah ia satu siri TV yang akan menarik perhatian ramai untuk menghargai kandungan klasik di zaman sekarang.
Wednesday seperti judulnya, mengisahkan hidup Wednesday. Dalam siri TV ini, beliau dimasukkan ke sekolah Nevermore Academy selepas kerap dibuang sekolah kerana melakukan banyak masalah dengan tindakan nakal, kejam, ngeri dan banyak lagi. Ada yang untuk melindungi adik beliau Pugsley atau membalas dendam terhadap pembuli.
Di sekolah Nevermore, kuasa psikik beliau mula muncul dan Wednesday cuba untuk mengasah skil kuasa tadi sambil menyelesaikan misteri Nevermore yang berlaku 25 tahun lepas yang melibatkan ibu bapa beliau Morticia dan Gomez. Siri TV ini turut memperlihatkan betapa ramainya individu lain yang ada kuasa, spesis aneh atau outcast (orang terbuang) sambil Wednesday bertemu dengan kekasih hati beliau.
Wednesday adalah siri TV yang ditulis dan dikendalikan oleh Alfred Gough dan Miles Millar yang pernah terlibat dengan Spider-Man 2 dan Smallville dan diarahkan oleh Tim Burton. Seperti yang aku katakan tadi, Wednesday dimainkan oleh Jenna Ortega – bersama beliau adalah Catherine Zeta-Jones (Morticia Addams), Luis Guzmán (Gomez Addams), Isaac Ordonez (Pugsley Addams), Gwendoline Christie (Principal Larissa Weems), Jamie McShane (Sheriff Galpin), Percy Hynes White (Xavier Thorpe), Hunter Doohan (Tyler Galpin), Emma Myers (Enid Sinclair), Joy Sunday (Bianca Barclay), Naomi J Ogawa (Yoko Tanaka), Moosa Mostafa (Eugene Ottinger), Georgie Farmer (Ajax Petropolus), Riki Lindhome (Dr. Valerie Kinbott), dan Christina Ricci (Marilyn Thornhill).
Permulaan siri TV ini dilihat amat menarik dengan secara perlahan memperkenalkan siapakah Wednesday, Pugsley dan ibu bapa mereka Morticia dan Gomez. Ia memfokuskan kepada dunia Addams Family yang lebih luas dalam iterasi moden, seperti bagaimana jika Addams Family ini wujud di kalangan kita semua sekarang? Fokus utama adalah pada Wednesday di sekitar Nevemore, iaitu sekolah untuk orang terbuang seperti mana ibu bapa beliau hadiri ketika usia muda.
Cuma, macam mana aneh pun si Wednesday ini – beliau sedaya upaya untuk tidak menjadi ibu beliau. Tetapi apakan daya apabila satu demi satu perkara silam ibu bapa beliau menghantui dirinya untuk menjadi lebih terlibat. Suatu hari, sambil Wednesday sedang cuba menyesuaikan diri dalam Nevermore ada perkara misteri berlaku di mana ada raksasa membunuh mula memburu ramai orang.
Ini membuatkan beliau ingin menyiasat perkara sebenar. Tetapi hari demi hari rahsia ibu bapa beliau terdedah dan Wednesday mempunyai halangan dengan ada dua jejaka yang jatuh hati dengannya. Sebagai seorang remaja, aneh bagaimanapun Wednesday turut ingin cuba menjadi normal seperti remaja lain yang ada pasangan. Ia turut memperlihatkan bagaimana Wednesday bertemu dengan kawan baik baharu yang lucu, memeriahkan lagi cerita dan memberi watak emo ini ada emosi dengan pertemuan bersama Enid Sinclair lakonan Emma Myers.
Siri TV ini disampaikan dengan cara yang sedikit perlahan, tetapi penting untuk melihat perkembangan watak dan pengenalan dunia moden Addams Family ini. Perkara yang tidak dapat dilupakan adalah watak tangan Thing yang lucu dan walaupun ia hanya tangan ia masih boleh memperlihatkan emosi dengan baik tidak kira sedih, gembira atau lucu. Watak Morticia dan Gomez tidak banyak muncul, tetapi sekadar mencukupi menjadikan cerita ini seimbang fokus kepada Wednesday dan juga pengenalan kepada Addams Family.
Catherine Zeta-Jones sebagai Morticia Addams dan Luis Guzmán sebagai Gomez Addams pada awalnya nampak seronok dan lucu, tetapi semakin lama menjadi cringe dan amat menjengkelkan. Romantik dalam siri TV ini tidak begitu berat dan melampai tetapi membuatkan pengalaman menonton rasa janggal kerana terlampau klise walaupun jelas kelihatan ia cuba menjadi unik.
Jenna Ortega adalah sangat mantap dalam siri TV ini. Prestasi lakonan beliau rasa hebat, menarik dan watak Wednesday yang beliau bawakan cukup menjadi. Aku semakin bertambah minat kepada pelakon ini dan tertanya-tanya adakah bakat beliau ini akan terhad dengan siri TV ini sahaja atau Addams Family akan menjadi francais di Netflix?
Watak paling aku gemari adalah Uncle Fester lakonan Fred Armisen yang cukup lucu dan menjadikan siri TV ini lebih menarik untuk ditonton. Lakonan Christina Ricci sebagai cikgu Wednesday turut menarik dan menyebabkan banyak persoalan timbul kerana beliau dipenuhi dengan misteri. Dalam filem lama, Christina Ricci adalah Wednesday jadi gandingan mereka berdua sangat menarik dalam skrin.
Raksasa dalam siri TV ini sukar untuk aku jelaskan tanpa beberan, apa yang boleh aku katakan ia adalah sejenis raksasa jadian yang ditulis dan disampaikan dengan baik. Suspek aku kerap berubah-ubah ketika menonton kerana tidak pasti siapakah raksasa yang membunuh ini. Wednesday memberikan satu pengalaman menonton yang menarik dan boleh menghabiskan masa aku dengan baik.
Aku yang sudah lama tidak mengenali Addams Family, menjadi semakin minat dan ingin menerokai lebih lanjut dan mengharapkan akan ada lebih banyak siri atau filem Addams Family di Netflix oleh Tim Burton. Perkara paling aku kecewa dengan siri TV ini adalah penyampaian yang lambat dan ia tidak cukup ngeri. Addams Family yang aku tahu ia cukup ganas dan ngeri, tetapi dalam Wednesday ia lebih kepada berkata-kata sahaja dan tidak dipertontonkan.
Mereka yang tidak pernah menonton mana-mana Addams Family mungkin akan menjadi minat dengan Addams Family. Cuma aku tidak yakin untuk siri ini menarik perhatian lebih ramai orang kerana penyampaian cerita yang perlahan dan proses perkembangan dan pengenalan yang lambat. Tetapi dengan visual yang boleh diterima, muzik yang menarik dan prestasi lakonan yang hebat – Wednesday adalah siri TV yang patut semua cuba tonton.
Apa yang aku harapkan adalah siri TV ini boleh ada sekuel atau perkembangan dunia yang memfokuskan lebih kepada keluarga Addams Family. Aku juga inginkan siri atau filem Addam Family yang lebih gelap, ngeri, seram dan dahsyat. Bagi anda yang minat Jenna Ortega, Tim Burton atau Addams Family – siri TV ini adalah satu kisah yang baik sesuai untuk semua.
Siri TV ini akan disiarkan di Malaysia melalui Netflix 23 November ini, ulasan adalah berdasarkan siaran eksklusif yang Disney berikan kepada Aksiz.