MCU Fasa 4 akhirnya tamat pada tahun ini dengan filem Black Panther: Forever. Kami di Aksiz berkesempatan menonton filem ini pagi tadi di panggung IMAX dengan durasi hampir tiga jam. Selepas banyak masalah dilaporkan, pelbagai kritikan mengenai kualiti kandungan MCU Fasa 4 – ia menemui jalan penutup sebelum bermulanya Fasa 5 nanti.
Persoalannya, adakah ini filem MCU yang dinanti-nantikan untuk tahun 2022. Ia adalah filem MCU ketiga pada tahun ini dan yang kedua di Malaysia selepas Doctor Strange in the Multiverse of Madness. Apakah yang cuba disampaikan dalam filem ini dengan tiada lagi T’Challa lakonan Chadwick Boseman kerana sudah mati kerana kanser.
Selepas menonton filem ini, perasaan aku bercampur. Pada awalnya aku menitiskan air mata, kemudian aku rasa teruja, selepas separuh perjalanan aku hampir tertidur dan mula teruja kembali di penghujungnya. Adakah anda patut tonton filem ini atau patut nantikan sahaja di Disney+ Hotstar?
Filem yang panjang ini percaya atau tidak mempunyai premis yang amat ringkas. Black Panther: Wakanda Forever adalah filem mengenai Wakanda yang kini tiada raja cuba mempertahankan negara mereka daripada ancaman bawah laut baharu iaitu Namor, raja Talokan.
Walaupun pendek, filem ini masih memperlihatkan bagaimana mereka semua meneruskan kehidupan dengan kematian T’Challa atas penyakit yang tidak didedahkan. Setiap watak utama seperti Queen Ramonda, Princess Shuri, General Okoye, Nakia, M’Baku semua masih sedih yang raja mereka mati dan tiada Black Panther yang melindungi mereka. Filem ini penuh dengan emosi dan amat baik dalam menghormati kematian Chadwick Boseman.
Ia juga adalah filem dengan prestasi lakonan yang sangat mantap. Ada satu adegan kegemaran aku bersama Queen Ramonda, tiada runut bunyi – tetapi hanya beliau bersuara meluahkan perasaan sedih dan tidak puas hati amat meyakinkan dan mendebarkan. Rasa marah beliau begitu realistik.
Black Panther: Wakanda Forever juga adalah filem yang memperkenalkan kewujudan Riri Williams dalam MCU, iaitu Ironheart. Beliau dilihat berpotensi menjadi Tony Stark baharu. Ia juga adalah filem yang penuh dengan petunjuk mengenai masa hadapan MCU, termasuk dengan pengenalan Namor dan dunia Talokan.
Seperti yang aku katakan tadi, filem ini penuh dengan emosi. Baru sahaja beberapa mini yang pertama aku sudah sebak dan air mata aku menitis kerana acara pengebumian T’ Challa. Hanya sedikit sahaja adegan bercakap, lain semua sunyi dengan muzik yang pada hemat aku amat enak dan penuh dengan jiwa.
Filem ini juga adalah filem yang banyak, bercakap dan memfokuskan perbualan antara dua orang. Contohnya antara Ramonda dan Shuri, Shuri dan Okoye, Shuri dan Namor, Everett Ross dan orang-orang Wakanda serta Everett Ross dan watak misteri yang tidak boleh aku dedahkan. Turut diperlihatkan dalam filem ini adalah mimpi Shuri bertemu dengan seorang watak yang aku amat terkejut dan tidak sangka Marvel boleh sertakan. Tiada berita atau informasi tertiris mengenai penglibatan watak ini dan aku agak teruja walaupun ia dalam adegan yang pendek.
Black Panther: Wakanda Forever adalah filem yang banyak berbual berbanding aksi. Ia memfokuskan kepada perkembangan watak Shuri yang jelas adalah seorang genius yang semakin matang. Walaupun nama filem ini adalah Wakanda Forever, tidak banyak dunia Wakanda diperlihatkan dalamnya dan aku masih tidak kenal Wakanda dalam dunia MCU ini. Ini antara faktor membuatkan aku sedikit kecewa dengan filem ini. Sebaliknya, filem ini menghabiskan masa yang agak lama menerokai dunia Talokan, yang diketuai oleh Namor.
Filem ini tidak bosan, cuma ia penat untuk ditonton. Pada hemat aku, 2 jam 41 minit agak panjang untuk premis yang ringkas – 2 jam 15 minit mungkin sudah memadai. Aku faham kenapa mereka ingin perkenalkan Namor dan menjelaskan asal-usulnya, tetapi bahagian itu jelas sekali boleh dimampatkan.
Pengenalan watak Riri Williams dalam filem ini pada hemat aku agak baik dan sederhana, sebagai persediaan watak ini untuk siri TV tersendiri nanti. Marvel cuba selitkan penghormatan watak Tony Stark melalui Riri Williams, yang mana membuatkan aku teringat akan kematian beliau dalam Endgame.
Aksi dalam filem ini walaupun sedikit, tetapi cukup menarik. Ia penuh dengan semangat dan rasa gerun. Namor adalah sangat kuat dan sukar untuk ditewaskan, begitu juga dengan penduduk Talokan yang mempunyai skil lebih kurang sama sehinggakan Dora Milaje pun sukar untuk bertempur dengan mereka. Aku suka lakonan Namor yang dilakukan oleh Tenoch Huerta, beliau berjaya membawakan watak penjahat yang cukup hebat.
Kualiti produksi filem ini juga cukup mantap, menjadikan yang terbaik untuk tahun 2022. Dari segi visual, penggunaan kamera, runut bunyi semuanya baik sekali dan cukup memuaskan. Sudah lama aku tidak saksikan filem MCU yang berkualiti seperti ini.
Black Panther: Wakanda Forever adalah filem yang anda memerlukan tenaga dan semangat untuk tonton. Jika tidak ada potensi untuk anda terlena. Ada beberapa kejutan dalam filem ini yang akan membuatkan peminat MCU rasa teruja, tetapi ketika tonton jangan letakkan harapan yang tinggi.
Nama sahaja Wakanda Forever, tetapi penerokaan dunia Wakanda itu tidak cukup jelas dan mencukupi. Ia lebih kepada meneroka dunia Talokan, iaitu dunia Namor. Ia memperlihatkan keuwujudan “Atlantis” di dalam MCU dan apakah kepentingan watak ini. Adakah Namor seorang yang jahat atau seorang yang baik. Tidak lupa juga yang filem ini turut memperlihatkan watak Riri Williams, iaitu Iron Heart sebagai persediaan siri TV solo beliau yang akan disiarkan di Disney+ pada tahun 2023 nanti.
Terdapat juga beberapa cameo sebagai persediaan dalam banyak filem dan siri TV yang pernah kami laporkan. Aku tidak akan sebut siapa, kerana ingin anda tonton sendiri.
Dukacita dimaklumkan filem ini tiada adegan pasca-kredit. Ia ada satu adegan di pertengahan kredit memperlihatkan Shuri, Nakia dan seorang watak misteri yang akan membuatkan anda keliru atau mungkin teruja. Tetapi untuk aku, ia tidak patut dan hanya satu cubaan memuaskan hati peminat.
Filem Black Panther: Wakanda Forever mempunyai durasi 2 jam 41 minit. Ia agak panjang dan rasa penat untuk menonton. Ia bukannya filem MCU dengan aksi padat, sebaliknya lebih kepada satu penghormatan untuk Chadwick Boseman. Dalam filem ini, Shuri, Okoye, Ramonda, Nakia semuanya masih dalam proses untuk cuba teruskan kehidupan selepas kematian raja dan kesayangan mereka T’Challa.
Ia adalah filem yang banyak bercakap dan cubaan membina dunia dalam Black Panther untuk persediaan MCU di masa hadapan serta perkembangan watak untuk lihat apakah yang watak sedia ada mampu dan bagaimana mereka menerima ahli baharu dalam MCU.
Sesetengah orang mungkin akan rasa bosan, malah ketika aku tonton – hanya dua-tiga orang sahaja bersorak dan ketawa. Penonton lain seakan tidak faham dan hanya mendiamkan diri. Jika anda ingin tonton, filem ini akan ditayangkan di Malaysia pada 10 November 2022 tengah malam.