The Hollywood Reporter telah melaporkan yang Blumhouse telah memilih Emma Tammi untuk mengarah adaptasi permainan Five Nights at Freddy’s menjadi filem aksi nyata selepas Chris Columbus menarik diri sebelum ini.

Pelantikan ini turut disahkan oleh Jason Blum iaitu CEO untuk Blumhouse melalui akaun Twitter rasmi, beliau turut mengumumkan Jim Henson’s Creature Shop yang akan menghasilkan animatronics bagi filem ini.

Emma Tammi dikenali sebagai pengarah untuk filem seram The Wind yang dikeluarkan pada tahun 2018, beliau juga pernah mengarah dua episod untuk siri TV Into the Dark.

Sehingga sekarang masih tiada pengesahan mengenai mengapa Chris Columbus menarik diri, akan tetapi Jason Blum sebelum ini pernah mengatakan yang kebanyakan bahagian bagi filem ini perlu mendapat lampu hijau daripada Scott Cawthon iaitu pencipta Five Nights at Freddy’s, yang juga menulis dan menjadi penerbit untuk adaptasi ini.

Perkara tersebut telah menjadikan pra-produksi filem ini mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan yang mungkin membawa kepada penarikan diri Chris Columbus.

Filem ini masih tidak mempunyai sebarang tarikh siaran akan tetapi penggambaran akan bermula pada Februari 2023.

Five Nights at Freddy’s merupakan permainan seram di mana pemain menjadi pengawal keselamatan dan perlu mengelak daripada robot binatang (animatronics) yang cuba untuk membunuh. Ia telah mempunyai 8 permainan utama dengan permainan terbaru adalah Five Nights at Freddy’s: Security Breach yang dikeluarkan pada tahun 2021.

Sohor Kini