Aku masih ingat lagi ketika zaman sekolah, aku akan tonton filem The Animal berulang kali. Ia adalah filem komedi lakonan Rob Schneider dan turut ditulis oleh beliau sendiri bersama Tom Brady. Filem ini mengisahkan Marvin Mange lakonan Rob Schneider sebagai seorang kerani polis yang cedera dan telah dirawat oleh Dr. Wilder lakonan Michael Caton seorang saintis gila yang menggabungkan bahagian haiwan ke Marvin.

Kini Deadline melaporkan, selepas 21 tahun filem ini akan menerima sekuel eksklusif untuk disiarkan di Tubi. Rob Schneider akan kembali sebagai Marvin dan beliau turut akan menjadi pengarah dan terlibat sebagai salah seorang penulis.

The Animal 2, akan mengisahkan Marvin yang sudah tua dan perlu kembali berlatih untuk mengasah skil beliau kerana ada manusia hibrid haiwan baharu yang lebih berkuasa. Marvin juga dikatakan terlibat dengan satu kemalangan dan perlu dibedah sekali lagi memasukkan bahagian haiwan lain pula.

Filem ini sudah pun disahkan akan diteruskan dan ia dalam proses perjanjian bersama Revolution iaitu studio yang menghasilkan filem pertama pada tahun 2001. Tarikh siaran dan senarai pelakon lain masih belum diumumkan lagi.

Sohor Kini