Siri animasi BoBoiBoy mula disiarkan pada tahun 2011, sehingga hari ini usianya sudah pun mencapai 11 tahun dan mereka yang mula menonton sudah pun dewasa. Ada peminat yang sudah mula bekerja, ada yang sudah berkeluarga dan menurut CEO Monsta iaitu Nizam ada juga peminat yang sudah bekerja dengan mereka.

Disebabkan itu, Monsta menyasarkan yang IP mereka bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi turut boleh dinikamti oleh mereka yang sudah matang atau dewasa. Di Monsta Con projek SUPERBBB diperkenalkan di mana ia adalah projek gaya hidup dan beberapa yang lain yang sesuai dengan peminat asal.

Projek pertama di bawah SUPERBBB ini adalah Kembali Aidilfitri iaitu iklan Hari Raya 2022, di mana semua watak penting BoBoiBoy singgah ke kampung halaman ayah BoBoiBoy iaitu Amato di Kota Hilir (bandar yang mengambil inspirasi di Melaka) dengan berpakaian yang lebih bergaya.

Nizam menjelaskan yang pakaian ini adalah streetwear dunia BoBoiBoy yang sesuai dengan peminat remaja, yang lebih matang serta orang dewasa. Di acara ini, turut ada lakaran watak BoBoiBoy yang lebih dewasa.

Walau bagaimanapun, Monsta tidak menjelaskan dengan lanjut sama ada SUPERBBB ini akan hadir dengan pakaian untuk dijual, kandungan seperti filem atau siri dan lain-lain lagi. Berdasarkan lakaran untuk komik BoBoiBoy Galaxy 3 atau BoBoiBoy G3 ia mempunyai rekaan yang lebih kurang sama, jadi mungkin projek ini akan menggunakan konsep yang sama.

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini