Ulasan Smile – Senyuman Bukan Untuk Semua Orang!

Tahun ini aku rasakan ada banyak filem seram yang menarik, tetapi tidak semua yang masuk ke pasaran Malaysia. Kemudian kalau ada yang masuk pun, pengalaman menonton tidak cukup menarik kerana pasti akan ada banyak adegan dipotong. Tetapi hari ini aku berpeluang menonton filem seram yang pada aku antara yang paling menarik untuk tahun 2022, iaitu Smile.

Filem ini menggunakan konsep perkara mistik sentiasa mengikuti mangsa dan memfokuskan kepada watak Dr. Rose Cotter (Sosie Bacon). Selepas menyaksikan satu tragedi berlaku pada salah seorang penyakit, hidup beliau diganggu dan beliau perlu cuba menghadapinya dan terima untuk terus hidup seperti biasa.


Smile Bukan Filem Seram Dengan Konsep Baharu

Filem ini adalah adaptasi daripada filem pendek Laura Hasn’t Slept, yang ditulis dan diarah oleh Parker Finn yang turut bertanggungjawab untuk filem Smile. Daripada sebuah filem pendek dengan durasi sekitar 10 minit diubah menjadi filem penuh dengan durasi 1 jam 55 minit. Filem ini dilihat menggunakan konsep di mana mangsa telah diikuti oleh perkara mistik dan selepas satu tragedi berlaku ia pindah ke mangsa lain.

Konsep ini bukan sesuatu yang baru, kerana filem seperti It Follows yang cukup popular turut menggunakan konsep sama atau Final Destination pun boleh dikatakan mempunyai konsep sama iaitu berlakunya rantaian nasib malang. Tetapi apa yang Smile cuba sampaikan dilihat cukup menarik dengan penyampaian cerita yang pada aku memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Dalam filem ini ia melibatkan pelakon seperti Sosie Bacon (13 Reason Why, siri TV Scream), Jessie T. Usher (The Boys, Shaft), Kyle Gallner (Scream 2022, CSI: NY), Caitlin Stasey (I, Frankenstein), Kal Penn (Harold & Kumar, How I Met Your Mother), dan Rob Morgan (Daredevil, Don’t Look Up).

Penyampaian Cerita Yang Menarik, Tapi Sedikit Meleret

Filem ini mempunyai permulaan yang cukup menarik dan mendebarkan. Ia berjaya tarik aku untuk duduk diam dan tonton dengan serius serta penuh khusyuk. Sebagai seorang peminat filem seram, filem ini dari awal lagi sudah mula mempunyai banyak klu untuk apa yang akan berlaku dan membuatkan penonton tertanya-tanya Smile ini filem seram yang macam mana?

Setiap pergerakan kamera, peralihan antara adegan, muzik yang digunakan semuanya pada aku cukup bijak. Arahan Parker Finn pada aku cukup baik dan ada beberapa adegan tidak mempunyai muzik yang menyeramkan, tetapi ia berjaya menjadikan suasana yang cemas dan membuatkan aku ternanti-nanti apa yang akan berlaku. Jujur aku katakan, aku sudah bosan dengan konsep jump scare yang menakutkan orang dengan muzik – jadi apa yang berlaku dalam filem ini cukup kreatif dan sedikit segar.

Filem ini turut mempunyai elemen penyiasatan untuk merungkai apa yang berlaku sebenarnya, seperti perkara mistik yang membuatkan mangsa semua senyum. Pada aku ia adalah perkara yang bagus kerana tidak begitu klise, benar bukan yang baru tetapi sudah lama tidak ada filem sebegini di panggung Malaysia. Elemen psikologi turut diberi fokus, seperti memperlihatkan bagaimana perkara mistik ini memberi kesan kepada mental watak utama.

Setiap pelakon dalam filem Smile turut mempunyai prestasi yang hebat. Sosie Bacon sebagai Dr. Rose Cotter adalah antara contoh yang baik. Aku tidak begitu kenal beliau, tetapi cam wajahnya dalam siri TV seperti 13 Reason Why tetapi aku tidak ingat bagaimana prestasi beliau dalam siri TV tersebut. Tetapi dalam filem ini beliau mempunyai lakonan yang cukup meyakinkan, penuh dengan emosi dan pada aku antara yang terbaik.

Pelakon-pelakon lain walaupun hanya sedikit sahaja mereka muncul, tetapi peranan mereka dalam filem ini cukup penting untuk menjayakan lagi watak Dr. Rose. Contoh Rob Morgan sebagai Robert Talley yang aku rasakan sangat singkat masa skrin beliau tetapi berkesan, kemudian Trevor iaitu tunang Rose lakonan Jessie T. Usher yang pada awalnya nampak seakan tidak penting tetapi untuk emosi Rose ia cukup memadai.

Smile turut mempunyai beberapa elemen seram yang cukup mengejutkan. Aku yang sukakan filem seram dan sukar rasa takut pun masih boleh rasa terkejut. Lebih menarik, filem ini terdapat beberapa perkara yang mengerikan yang jelas diperlihatkan tanpa sebaran adegan dipotong langsung. Ini satu pujian yang aku boleh berikan kerana jarang filem seperti ini dapat kelulusan penuh dan menurut wakil UIP Malaysia, mereka pun tidak sangka filem seperti ini lepas ditayangkan 100%.

Betul tahun ini sudah ada banyak filem seram, tetapi tidak ada banyak filem seram seperti Smile. Keluar sahaja daripada panggung aku turut tersenyum lebar kerana rasa puas hati dengan filem ini. Smile bukannya filem seram yang sempurna, tetapi aku sukakan konsep yang dibawa, penyampaian cerita yang menarik serta elemen ngeri seperti inilah layak digelar sebagai filem seram dan layak untuk menerima rating 18 untuk tontonan orang dewasa.

Kesimpulan

Smile adalah sebuah filem seram yang menarik. Ia mungkin sedikit panjang dan meleret daripada yang aku harapkan, tetapi ia masih memberikan pengalaman menonton yang memuaskan. Filem ini pada aku menyampaikan semula satu konsep yang sudah lama ada tetapi dengan cara yang lebih baik. Ia mempunyai elemen menakutkan yang cukup, mempunyai plot yang menarik dan paling penting prestasi lakonan yang sangat mantap oleh pelakon lebih-lebih lagi Sosie Bacon yang cukup meyakinkan dan penuh dengan emosi.

Filem ini akan ditayangkan pada 29 September nanti, ulasan adalah berdasarkan akses awal yang diberikan oleh UIP Malaysia.

Smile
Tayangan Bermula 29 September
Selepas Dr. Rose Cotter menyaksikan satu tragedi mengerikan berlaku pada pesakit beliau, ia mula mengganggu hidup beliau dan untuk terus hidup seperti beliau perlu bersemuka terus dengan trauma ini. Smile adalah filem seram yang menarik untuk ditonton walaupun ia sedikit meleret.
Positif
Penyampaian cerita yang menarik.
Elemen seram yang memuaskan.
Prestasi lakonan watak utama yang mantap.
Negatif
Filem sedikit meleret.
Ada watak menarik tidak mempunyai masa skrin yang mencukupi.
7

Sohor Kini