Cyberpunk: Edgerunners diumumkan sebelum Cyberpunk 2077 dikeluarkan lagi, oleh itu ia sudah semestinya mencipta satu keterujaan kepada yang ternanti-nanti permainan ini, namun selepas Cyberpunk 2077 dilancarkan dengan pelbagai masalah, Cyberpunk: Edgerunners boleh dikatakan secara tidak langsung mendapat kesan yang negatif juga dengan kurangnya minat untuk mengetahui secara lanjut status siri animasi ini.

Namun, selepas menonton kesemua 10 episod dengan lebih kurang 25 minit untuk setiap satu, saya boleh katakan ia adalah antara perkara terbaik yang hadir daripada IP Cyberpunk 2077. Ia membawa penceritaan yang tidak mengambil masa yang lama untuk saya terus tertarik dengan penawaran mereka. Ia mungkin kerana saya sudah meluangkan lebih 100 jam bermain Cyberpunk 2077, akan tetapi saya juga merasakan walaupun untuk yang tidak pernah bermain permainan tersebut boleh menghargai penceritaan yang baik di dalam siri ini.

Cyberpunk: Edgerunners memfokuskan kepada watak David Martinez yang pada awal penceritaan adalah seorang budak sekolah di sekolah elite, akan tetapi dia tidak dapat menyesuaikan diri di sekolah tersebut kerana ia terdiri daripada pelajar-pelajar yang kaya dan berlatar belakangkan korporat. Sedangkan emaknya hanya seorang pekerja biasa sahaja.

David sekadar berada di sekolah untuk tidak mengecewakan emaknya, akan tetapi setelah kejadian berlaku di sekolah dan yang menimpa emaknya, David secara tidak sengaja terlibat dengan satu kumpulan “Edgerunners” yang melakukan pelbagai pekerjaan yang haram apabila berjumpa dengan seorang lagi watak utama iaitu Lucy yang merupakan seorang penggodam ataupun netrunner.

Selepas menyertai kumpulan inilah David mula menjumpai arah tuju hidupnya dan berasa di dalam kumpulan yang ‘satu kepala’, akan tetapi ia juga telah membawa David kepada satu perkara yang kurang baik iaitu menyukai untuk memasang pelbagai alat cybernetic di badan. Jika dilakukan terlalu banyak, ia akan membawa masalah cyberpsychosis iaitu satu masalah mental yang akan membuatkan seseorang bertindak secara tidak waras. Ia juga merupakan tema utama untuk siri ini.

Bagi yang tidak pernah bermain Cyberpunk 2077 ataupun tidak mengetahui mengenai dunia Cyberpunk rekaan Mike Pondsmith, pada awalnya mungkin akan terdapat beberapa perkara yang mengelirukan, akan tetapi saya merasakan yang siri ini melakukan satu kerja yang baik untuk tidak terlalu membuang maklumat kepada penonton sehinggakan menjadikan ia sukar untuk difahami. Ia menerangkan perkara-perkara di dalam dunia ini dengan baik, dan saya yakin walaupun mempunyai pengetahuan sifar sebelum ini tidak akan keliru dengan penceritaan yang disampaikan.

Ini adalah kerana ia adalah satu penceritaan yang ringkas sahaja, dan banyak mengambil elemen-elemen penceritaan daripada anime, oleh itu jika anda sering menonton anime ia akan terasa sama, tetapi tidak bermakna yang ia tidak menarik kerana kepelbagaian watak di dalam siri ini, membantu untuk menjadikan penceritaan yang mempunyai resipi yang sudah biasa masih memberi rasa yang berlainan. Ia bukan sahaja watak David Martinez dan Lucy, akan tetapi termasuk juga watak-watak lain seperti Kiwi, Rebecca, Maine yang setiapnya diberi ruang untuk berkembang secara sendiri.

Oleh kerana ini adalah satu anime, saya merasakan penulisan dan juga dialog terlebih dahulu memfokuskan kepada bahasa Jepun, oleh itu cara terbaik untuk menonton yang memberi emosi yang tepat adalah di dalam bahasa Jepun. Saya juga cuba untuk menonton di dalam bahasa Inggeris, walaupun lakonan suara adalah baik, akan tetapi ia tidak memuaskan. Ia adalah sedikit mengecewakan kerana saya bermain Cyberpunk 2077 sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan inginkan satu pengalaman yang berterusan tetapi menontonnya dalam bahasa Jepun adalah pilihan yang lebih baik.

Dari segi animasi pula, ia bukanlah yang terbaik dan jauh jika ingin dibandingkan dengan Arkane oleh Riot Games yang dikeluarkan pada tahun lepas, namun bagi saya sudah mencukupi untuk menyampaikan penceritaan dengan baik, dan juga menghasilkan dunia Night City yang nampak hidup, bahkan nampak lebih hidup berbanding permainan Cyberpunk 2077 yang masih mempunyai masalah di dalam menghasilkan orang awam. Aksi juga ganas, akan tetapi ia menggunakan banyak jalan pintas seperti berbanding melihat setiap aksi, ia sekadar melihat kesan daripada aksi tersebut dan saya perlu menggunakan imaginasi sendiri untuk memberi gambaran apa yang berlaku.

Gaya animasi yang sederhana juga dibantu dengan dengan rekaan bunyi serta penggunaan muzik runut yang sangat berkesan. Ia benar-benar menyampaikan emosi semasa dan semasa aksi ganas, ia juga mempunyai bunyi dan muzik yang bersesuaian. Kesemua ini memberikan pengalaman tontonan yang sangat berkesan dan memuaskan hati, walaupun ada masa animasi nampak tidak berkualiti dan tidak kemas.

Bagi yang sudah bermain permainan Cyberpunk 2077, menonton siri animasi ini juga memberikan pengalaman yang lebih menyeronokkan kerana dapat melihat senjata yang ada di dalam permainan, ataupun melihat kawasan-kawasan yang saya mungkin telah berpuluh kali melihat di dalam permainan dan dapat melihat di dalam animasi ini memberikan satu perasaan yang nostalgia. Oleh itu tidak mengejutkan apabila selepas Cyberpunk: Edgerunners dikeluarkan jumlah pemain bermain semula Cyberpunk 2077 meningkat secara mendadak.

Akhir kata, Cyberpunk: Edgerunners adalah satu surat cinta kepada pemain-pemain Cyberpunk 2077, ia membawa dunia yang hidup bersama dengan penceritaan yang sangat baik dengan perwatakan-perwatakan dihasilkan dengan sesuatu yang kita sudah jangka daripada CD Projekt Red.

Namun, bagi yang tidak pernah mengambil tahu mengenai Cyberpunk 2077, siri animasi ini juga masih satu tontonan yang baik kerana penceritaan yang disampaikan adalah ringkas tetapi berkesan, ia juga mempunyai ramai watak yang menarik. Kualiti animasi mungkin ada masa mencipta persoalan, akan tetapi dengan lakonan suara terutama bahasa Jepun, kesan bunyi dan juga muzik runut, ia masih satu pengalaman yang memuaskan.

Apabila saya melihat pengakhiran untuk siri ini, ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya merindui kesemua watak di dalam siri ini.

Cyberpunk: Edgerunners
Cyberpunk: Edgerunners adalah satu surat cinta kepada pemain-pemain Cyberpunk 2077, ia membawa dunia yang hidup bersama dengan penceritaan yang sangat baik dengan perwatakan-perwatakan dihasilkan dengan sesuatu yang kita sudah jangka daripada CD Projekt Red. Ia juga siri yang menarik untuk yang tidak biasa dengan permainan ini.
Positif
Penceritaan Yang Menarik
Perwatakan Yang DIkemang Dengan Baik
Dunia Cyberpunk Yang Hidup
Negatif
Ada Masa Animasi Nampak Kurang Berkualiti
Aksi Tidak Diperlihatkan Dengan Penuh
8

Sohor Kini