Jordan Peele adalah seorang pelawak yang berbakat, kerana turut bekerja sebagai penulis dan pengarah filem seram. Karya beliau adalah seperti filem Get Out, Us, Candyman dan yang terkini Nope. Filem-filem beliau biasanya unik dan lain daripada yang lain. Contoh filem Nope, cuba anda tonton video treler mereka dan jelaskan apa filem apa sebenarnya ini?
Nope adalah sebuah filem seram sains fiksyen dengan penceritaan yang ringkas, tetapi dilakukan dengan cara yang berbeza dan sedikit unik. Dalam treler ia sampaikan perkara berbeza dengan filem sebenar. Selepas dua kali aku tonton filem ini, kini barulah aku bersedia untuk kongsi kepada semua pengalaman menontonnya dan adakah ini filem seram terbaik 2022?
Sebaik sahaja filem ini diumumkan, aku jadi sedikit teruja kerana aku suka tonton filem-filem Jordan Peele. Tidak banyak informasi yang didedahkan mengenai filem ini, selain petunjuk seperti berkaitan koboi, ada sesuatu fenomena atau serangan makhluk asing berlaku dan filem ini dikategorikan sebagai filem seram. Selepas filem ini ditayangkan di Amerika Syarikat, aku elak baca dan tonton ulasan pengkritik.
Secara amnya, maksud nope adalah tak. Secara tidak rasmi, NOPE adalah akronim bagi not of planet earth iaitu bukan datang dari bumi. Semasa treler filem dikeluarkan, ia banyak perkara tersirat dan membuatkan aku keliru mengenai filem ini dan aku hanya betul-betul rasa seronok dan layan selepas dua kali tonton.
Dalam treler aku ingatkan filem ini adalah filem makhluk asing melakukan jenaka kepada manusia, koboi yang diserang dan macam-macam teori lain aku fikirkan. Filem ini adalah filem yang anda boleh faham hanya dengan menontonnya sahaja.
Aku agak terkejut apabila ramai memberi pendapat yang filem ini adalah filem seram. Ada juga yang katakan ia adalah filem seram terbaik tahun 2022. Tetapi pada aku, filem ini langsung tidak seram – tetapi setakat 2-3 kejutan kerana kesan bunyi yang digunakan berjaya membuatkan aku sedikit terkejut.
Filem ini sangat lain berbanding filem seram atau filem sains fiksyen yang pernah ditayangkan. Jordan Peele pada aku sekali lagi berjaya melakukan sesuatu yang berbeza dan hebat dalam menarik perhatian orang ramai untuk cuba saksikan satu konsep yang berbeza. Apa yang aku nampak dalam filem ini adalah, ia merupakan sebuah filem yang cantik, disunting dengan baik, penggunaan kamera yang bagus dan penggunaan CGI yang mantap.
Filem ini memfokuskan kepada Oj Haywood dan adik beliau Emerald Haywood, sebagai penternak kuda yang turut melatih kuda untuk kegunaan industri perfileman Hollywood. Sedar kawasan tempat tinggal mereka berlaku satu perkara aneh atau keajaiban yang tidak baik, mereka berusaha untuk merakam kejadian ini untuk dijual ke media dan mencipta nama.
Namun, perancangan mereka semuanya berubah dan terus menjadi filem menyelamatkan diri. Filem ini walaupun ada konsep yang menarik, susunan penceritaan tidak begitu memuaskan. Ia mula dengan perlahan, dengan tenang memperkenalkan satu demi satu watak memperlihatkan perkembangan masing-masing dan juga membawa penonton mengenali dunia filem Nope ini berlaku.
Penyampaian cerita dalam filem ini tidak konsisten dan tidak selari dengan pendirian watak. Aku faham apa yang cuba ingin disampaikan, tetapi sayang sekali tidak semua orang boleh terima penyampaian sebegini yang mana akan membuatkan sesetengah orang rasa bosan dengannya.
Walau bagaimanapun, prestasi lakonan oleh Keke Palmer sebagai Emerald dan Daniel Kaluuya sebagai Oj adalah sangat baik. Mereka membawakan pasangan adik-beradik yang sangat meyakinkan dan berjaya membuatkan penonton lihat betapa eratnya mereka berdua walau minat dan cara membesar yang berlainan.
Watak sampingan dalam filem ini juga pada aku cukup baik. Ia tidak meleret dan hanya sekadar mencukupi. Contoh watak seperti Seteven Yeun yang berlakon sebagai Ricky Jupe Park iaitu seorang bekas pelakon yang menjadi usahawan taman tema. Watak beliau yang ringkas ini penuh dengan misteri jika diberi perhatian. Brandon Perea sebagai Agel juga seronok dan menjadikan tona filem yang berat sedikit ringan.
Filem ini juga banyak menggunakan budaya televisyen Amerika Syarikat seperti sitkom di sana, kejadian dalam industri filem dan beberapa lagi yang mungkin akan membuatkan orang ramai keliru. Walaupun begitu, anda masih boleh tonton filem ini dengan satu pengalaman yang baik jika anda inginkan sesuatu yang berbeza dengan citarasa anda.
Nope adalah filem yang anda wajib tonton dalam format IMAX jika inginkan pengalaman menonton yang imersif dan ingin lihat arahan Jordan Peele yang cantik, hebat, menarik dan berbeza dengan kebanyakan filem lain. Filem ini dirakam dengan kamera IMAX dan memang dihasilkan sebagai filem IMAX. Ia adalah filem seram dan sains fiksyen berkualiti tinggi yang cuba membuatkan orang terima sudut pandangan berbeza berbanding filem lain dengan tema yang sama yang sudah klise.
Jika anda ingin tonton filem ini, Nope sudah pun ditayangkan di Malaysia sejak 15 September.