Rick and Morty adalah siri animasi komedi yang tidak masuk akal. Ia mempunyai penceritaan mengarut yang menarik dan menghiburkan. Premis utama animasi ini adalah mengenai seorang atuk saintis gila yang gemar membawa cucu beliau mengembara di angkasa, ke luar dimensi, ke realiti lain atau merentas masa.
Siri animasi komedi mengarut ini turut pernah memecah realiti tembok keempat, melakukan parodi animasi lain, menyertakan banyak easter egg budaya pop yang dikenali ramai, bermain dengan konsep multimesta, klon dan banyak lagi. Ada juga episod yang penuh dengan drama dan aksi dan juga komedi mengarut sepenuhnya. Terkini, Rick and Morty akan kembali dengan musim keenam 5 September nanti.
Artikel ini adalah ulasan untuk kongsi pengalaman menonton berdasarkan dua episod pertama yang pihak HBO berikan kepada kami.
Rick dan Morty kembali menyampaikan kisah pengembaran multimesta mereka dalam musim keenam. Jalan cerita penuh untuk musim ini masih belum didedahkan lagi, tetapi untuk akses awal yang diberikan iaitu dua episod pertama lebih kepada sambungan hujung musim kelima dan juga kisah perkembangan watak yang lebih mendalam.
Episod pertama adalah Solaricks, yang mempunyai parodi Die Hard serta penceritaan asal-usul Rick dan Morty dari realiti berbeza. Ia turut menekankan mengenai moral Rick, Morty yang semakin berani, serta keeratan antara setiap ahli keluarga iaitu Beth, Jerry, Summer, Morty dan Rick.
Episod kedua Rick: A Mort Well Lived menjadi semakin aneh. Ia semakin lucu dan memeningkan, kerana menggunakan penjelasan sains rumit yang menarik mengenai rentas masa/multimesta seakan yang berlaku dalam MCU sambil memasukkan elemen komedi yang mendalam dan pelbagai mesej tersirat.
Penceritaan dalam episod pertama agak serius dan mencabar fikiran kerana melibatkan banyak watak dan dimensi berbeza untuk disampaikan dalam satu episod sekitar 20 minit. Ia memperlihatkan masalah di sebalik watak Rick dan Morty dan apa berlaku kepada ahli keluarga mereka. Episod ini turut menceritakan betapa pentingnya keluarga dan kenapa mereka masih perlu bergantung di antara satu sama lain.
Elemen aksi turut dimuatkan dalam episod ini, menjadikan pengembaraan mereka ini semakin dahsyat. Seperti biasa, Rick adalah punca dan beliau turut akan cuba menyelesaikan kembali masalah yang telah berlaku. Komedi dalam episod ini mungkin tidak cukup untuk membuatkan aku ketawa terbahak-bahak, tetapi cukup menghiburkan. Pengikut setia Rick & Morty pasti akan lebih gembira dengan apa yang penulis dan pencipta cuba sampaikan.
Dalam episod kedua, penceritaan adalah lebih rumit. Bukan kegemaran aku kerana ia menjengkelkan dan sedikit memeningkan untuk citarasa aku. Tetapi apa yang pasti komedi dalam episod ini adalah lebih baik kerana watak demi watak keliru dengan identiti masing-masing dan kewujudan mereka. Untuk mudah faham, Rick dan Morty terperangkap dalam permainan video realiti terimbuh.
Musim keenam ini dihasilkan khusus untuk peminat. Dengan penceritaan plot lanjutan daripada musim lepas, tetapi masih berkait dengan padat dengan pelbagai klu untuk penonton cari. Peminat filem Die Hard mungkin akan suka idea dalam episod ini kerana mereka mengolah semula untuk menjadi sesuatu yang lucu.
Apa yang aku nampak adalah, musim ini setiap watak seakan diberikan peluang untuk lebih menyerlah mencari diri mereka masing-masing dengan menjadi lebih matang dan faham akan dunia Rick and Morty yang mengarut, aneh tetapi unik ini.
Dua episod pertama ini masih mengelirukan untuk aku kerana ingin tahu kesinambungan sebenar musim kelima. Tetapi keseimbangan penceritaan dan perkembangan watak disampaikan dengan jelas dalam musim ini. Dinamik antara watak juga diberikan perhatian lebih dan dunia dalam animasi ini juga mempunyai lebih banyak butiran untuk dinikmati oleh peminat setia.
Sekali lagi pencipta Rick and Morty cuba membuktikan kepada semua, kenapa siri animasi mereka ini adalah antara paling unik dan paling berbeza berbanding animasi lain. Rick dan Morty adalah animasi yang berani mencuba pelbagai plot penceritaan berbeza dan bereksperimen dengan konsep-konsep unik kerana pencipta mereka benar-benar bijak dan kreatif untuk mengasingkan karya mereka dengan animasi pesaing.
Rick and Morty akan disiarkan di platform penstriman HBO GO bermula 5 September, Ahad ini pada pukul 9PM. Artikel ini adalah ulasan berdasarkan akses awal untuk dia episod pertama.