Evil Dead Rise Akan Tiba Di Pawagam 21 April 2023

Evil Dead adalah francais filem seram komedi yang mula ditayangkan pada tahun 1981. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Sam Raimi dan dikembangkan kepada filem kedua Evil Dead 2: Dead by Dawn pada tahun 1987 dan Army of Darkness pada tahun 1992. Filem ini hadir dengan olahan semula merangkap sekuel Evil Dead pada tahun 2013 sebagai filem seram sebenar tanpa elemen komedi.

Francais filem ini telah menjadi satu kultus, dan amat popular sehingga diadaptasi menjadi permainan video, mempunyai parodi, serta menjadi rujukan kepada banyak filem seram lain. Filem ini turut diteruskan dengan siri TV iaitu Ash vs Evil Dead yang berlangsung selama 3 musim yang berlaku 30 tahun selepas filem asal.

Evil Dead disahkan akan mempunyai filem kelima, sebagai sekuel kepada filem olahan semula tahun 2013 – Evil Dead Rise. Filem ini akan memfokuskan Beth yang menziarahi adik beliau Ellie di sebuah pangsapuri di Los Angeles. Mereka kemudian menemui Necronomicon Ex-Mortis di bangunan kediaman yang kemudiannya mengembalikan Deadites, pelbagai hantu, setan, dan perlu mencari jalan untuk menyelamatkan diri.

Tiada sebarang informasi jika Bruce Campbell akan kembali sebagai Ash Williams, tetapi beliau dan Sam Raimi akan menjadi penerbit eksekutif untuk filem ini. Deadline mengesahkan yang filem ini akan ditayangkan di pawagam berbanding rancangan awal untuk menjadi filem HBO Max.

Tarikh tayangan filem ini adalah pada 21 April 2023. Namun dengan pengkadaran R, atau di Malaysia 18 – tidak pasti filem ini akan ditayangkan di pawagam tempatan atau tidak.

Sohor Kini