She-Hulk adalah satu projek MCU pertama memperlihatkan watak Hulk yang lain selain versi Bruce Banner lakonan Mark Ruffalo. She-Hulk atau nama sebenar adalah Jennifer Walters merupakan seorang peguam dan sepupu kepada Bruce.
Apa yang menarik dengan siri TV ini adalah, ia satu siri TV komedi sebenar dengan elemen undang-undang serta drama romantik. Siri ini juga akan memperlihatkan lebih banyak watak dengan kuasa luar biasa dalam dunia Marvel dan memberi lebih fokus kepada adiwira wanita. Kini selepas tamat musim pertama dengan sembilan episod, adakah ini siri MCU Disney+ yang menarik atau benar-benar lucu?
She-Hulk adalah siri TV dengan sembilan episod. Ia mengisahkan sepupu Bruce Banner iaitu Jennifer Walters yang mempunyai kerjaya sebagai seorang peguam berjaya. Kisah yang akan diceritakan adalah bagaimana beliau menjadi She-Hulk dan menjadi peguam untuk mengendalikan kes-kes berkaitan dengan manusia luar biasa.
Sambil itu, Jennifer adalah wanita yang berusia sekitar 30 tahun yang masih belum berpasangan dan ingin mencari kekasih hati beliau. She-Hulk adalah sebuah siri komedi yang turut akan memperlihatkan She-Hulk yang boleh memecahkan dimensi tembok keempat untuk berinteraksi bersama penonton. Sepanjang sembilan episod ini, kita akan saksikan bagaimana She-Hulk menentang musuh iaitu yang dengki dan cemburu dengan beliau serta bagaimana watak menarik seperti Daredevil boleh muncul dalam siri ini.
Dalam siri TV ini Mark Ruffalo akan kembali sebagai Bruce Banner/Hulk, Tim Roth sebagai Emil Blonsky/Abomination, Benedict Wong sebagai Wong, Jameela Jamil sebagai pempengaruh dengan kuasa luar biasa, Josh Segarra sebagai Augustus “Pug” Pugliese pembantu peguam, Ginger Gonzaga sebagai Nikki iaitu kawan baik Jennifer, Jon Bass sebagai Todd, Renée Elise Goldsberry sebagai Mallory Book dan Charlie Cox sebagai Matt Murdock/Daredevil.
She-Hulk adalah siri TV yang ditulis dengan baik dengan prestasi lakonan yang cukup hebat. Tetapi apa yang ditulis sebenarnya adalah satu eksperimen untuk cuba menjadi siri TV lain berbanding siri MCU lain. Ia juga terlampau Meta dengan watak utama sedar akan apa yang berlaku di sekeliling dan betapa klisenya dunia MCU ini. Ia bermula dengan penceritaan lucu yang tidak terlampau berlebihan sehingga ia menjengkelkan dan mula menjadi aneh dan sukar untuk diterima peminat.
Ada juga episod yang aku langsung tidak boleh aku terima, ada adegan yang sengaja mencampak banyak cameo agar penonton boleh hadir dengan teori tetapi kita tahu itu mungkin mustahil kecuali beberapa watak – serta semakin lama semakin cringe.
Prestasi lakonan pada aku semuanya mantap, baik dan memuaskan. Cuma penyampaian cerita pada aku agak lemah kerana tidak seperti MCU yang kita semua kenal. Aku suka penulis cuba sesuatu yang baru, tetapi selepas sembilan episod ia sukar untuk diterima orang ramai kerana cubaan mereka ini tidak berjaya memikat hati orang ramai.
Ada beberapa episod yang membuatkan aku rasa puas hati, contohnya kemunculan Daredevil dalam episod lapan. Aku suka yang ia cuba menjadi ringkas, tidak begitu ganas agar sesuai ditonton oleh semua orang dan memperlihatkan watak penjahat yang dungu yang cukup kelakar. Tetapi dengan terlampau banyak watak komik yang tidak ramai kenal, ia membuatkan orang lain turut tidak faham kerana sukar untuk kaitkan dalam dunia MCU yang luas ini. Ya, pengenalan watak baharu adalah potensi memperlihatkan cameo dalam filem atau siri TV lain, lebih banyak kandungan sampingan boleh dihasilkan – tetapi ia menjadi bercelaru dan serabut.
Aku turut tidak menggemari yang Disney dan Marvel sendiri kongsi banyak treler dan poster yang pada aku adalah satu beberan (spoiler) kerana banyak yang boleh disimpan sebagai rahsia untuk pengalaman menonton menjadi lebih gempak dan menarik. Dengan pendedahan yang lebih awal, mungkin ada orang dapat elak ada yang tidak sengaja dan seperti kami kadangkala ia adalah satu kerja untuk melaporkan berita – ia tidak memberikan pengalaman menonton yang memuaskan kerana kejutan sudah diberitahu.
Contoh dalam episod akhir, ia adalah antara episod yang paling Meta dengan menyedari MCU sudah kerap mengulangi perkara yang sama berulang-kali. Jadi She-Hulk ingin menjadi siri TV berlainan, sehinggakan ia terlampau lain pertempuran dan pendedahan dengan penjahat boleh dikatakan tiada dan ia tamat dengan begitu sahaja.
Episod akhir turut menyertakan banyak perkara yang pada aku sepatutnya boleh ditulis dan disampaikan dengan cara yang lebih baik. Cuma aku rasakan She-Hulk cuba merosakkan dunia MCU ini dengan merosakkan siri TV sendiri agar ia tidak menjadi klise. Jujur aku katakan, penamat She-Hulk bukan yang aku sangkakan dan aku agak terkejut dan ketawa kesedihan – bertanyakan kepada diri sendiri apalah Marvel Studios cuba lakukan ini dan kenapalah siri TV yang ada potensi ini menjadi lemah seperti ini?
She-Hulk pada aku bukanlah siri TV yang sesuai untuk semua orang. Ia adalah satu eksperimen komedi yang tidak begitu menjadi kerana ia seolah memakan diri. Sembilan episod dalam siri TV ini majoritinya adalah isi kosong semata, dan sepatutnya ia tidak sepanjang ini dan boleh sahaja menjadi satu siri TV terhad dengan mungkin enam episod yang lebih padat dengan perkara menarik.
She-Hulk turut menjadi siri TV pengenalan atau promosi mengacah projek-projek MCU akan datang yang entah bila akan diperkenalkan. Ia akan membuatkan orang ramai ternanti-nanti bila She-Hulk atau watak-watak lain dalam siri TV ini akan muncul dalam kandungan MCU lain.