Ulasan I Am Groot – Comel Melampau!

Dalam banyak-banyak filem Marvel Cinematic Universe yang aku tonton, filem Guardians of the Galaxy (GotG) antara yang berjaya mencuit hati aku. Ini kerana, filem ini banyak elemen komedi dan mempunyai watak yang pada aku melucukan iaitu Groot. Watak ini berbicara dengan hanya menyebut I Am Groot berulang kali yang mana pada aku agak unik. Walaupun ayat sama berulang dengan nada yang berbeza, Groot berjaya menyampaikan emosi yang ingin disampaikan.

Watak ini dilakonkan oleh Vin Diesel dan mempunyai beberapa variasi. Yang asal adalah dalam filem GotG Vol. 1, kemudian berubah menjadi Baby Groot dan juga Teen Groot. Marvel Studios kini hadir dengan siri animasi pendek baharu ciptaan James Gunn iaitu I Am Groot yang memfokuskan kisah hidup Groot ketika fasa bayi iaitu Baby Groot.


Pengalaman Menonton

Jadi apa kisah sebenar siri animasi ini? I am Groot mempunyai lima episod sahaja, dengan satu episod mempunyai durasi sekitar 4 minit dan menjadikan keseluruhan musim boleh dihabiskan dengan masa sekitar 20 minit sahaja.

Kisah dalam siri animasi ini bermula dengan Groot yang masih di dalam pasu sehinggalah beliau boleh berjalan. Siri animasi ini juga adalah bentuk 3D yang cantik dan berkualiti tinggi yang mana cukup seronok untuk ditonton.

Garis masa siri animasi ini sedikit mengelirukan sebenarnya. Groot dalam pasu muncul dalam filem GotG Vol. 1, Baby Groot dalam filem GotG Vol. 2 dan pada pasca kredit filem kedua barulah bentuk Teen Groot diperlihatkan. Ketua penstriman televisyen dan animasi Marvel Studios, Brad Winderbaum menyatakan I Am Groot berlaku di dalam filem GotG Vol 2. sebelum pasca kredit. Tetapi James Gunn tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.

Ini kerana siri animasi pendek ini tidak berkait pun dengan mana-mana filem MCU yang boleh aku ingat. Ia seakan berlaku secara tersendiri dan tiada easter egg penting yang boleh mengaitkan siri animasi ini dengan dunia filem.

Walaupun begitu, aku masih seronok tonton aksi-aksi Baby Groot dalam siri animasi ini. Ia memperlihatkan aksi paling comel Groot yang tidak pernah aku lihat. Dalam filem beliau sudah pun comel, tetapi dalam animasi ini berkali ganda kerana perangai beliau yang nakal dan masih cuba terokai dunia.

Setiap episod dalam animasi ini berlaku di lokasi berbeza. Tetapi tidak jelas di mana dan bila ia berlaku. Tetapi apa yang aku boleh katakan adalah, sejak Baby Groot mula pandai berjalan – beliau suka merayau dan melihat keindahan alam semula jadi. Sudah semestinya majoriti episod ini adalah Baby Groot yang hanya sebut I Am Groot berulang kali dalam nada berbeza, tetapi aneh sekali aku boleh faham apa yang beliau sampaikan.

Disebabkan ini adalah MCU, siri animasi ini masih menyertakan beberapa cameo dan pelakon suara yang anda mungkin tidak sangka akan muncul di dalam siri ini. Kemunculan watak ini masih tidak akan menjejaskan jalan cerita di MCU kerana memang tiada kaitan langsung.

Pengalaman menonton I Am Groot untuk aku adalah baik sahaja. Kualiti animasi yang dihasilkan adalah sangat baik. Setiap butiran diperlihatkan dengan jelas, pergerakan Groot yang comel yang lancar lagi menggelikan hati, serta suasana dan persekitaran yang direka dengan rekaan yang cantik dan nampak ini bukan satu animasi biasa-biasa.

Kesimpulan

I Am Groot adalah animasi pendek untuk tontonan semua orang. Ia adalah sekadar kandungan hiburan untuk melihat apa Groot lakukan ketika beliau masih bayi sebelum menjadi nakal ketika usia remaja. Ia juga adalah satu animasi untuk meyakinkan orang ramai untuk membeli barangan Groot yang rasmi. Dengan watak yang comel ini, siapa sahaja tidak mahu Groot dalam pasu di meja pejabat atau figura Groot yang boleh menari.

Hanya 20 minit sahaja anda perlukan untuk lihat Groot yang comel ini beraksi dan belajar erti kehidupan. Walaupun tidak wajib tonton dan penting untuk memahami dunia MCU, anggap sahajalah ini satu karya James Gunn yang baik sementara menantikan Guardian of the Galaxy Vol. 3.

I Am Groot akan disiarkan di Disney+ Hotstar pada 10 Ogos akan datang.

I Am Groot
Siaran Bermula 10 Ogos
I Am Groot adalah siri animasi pendek memfokuskan watak Baby Groot. Ia memperlihatkan pengembaraan beliau di planet asing dengan aksi nakal beliau. Siri animasi ini berlaku dalam MCU Fasa 4, filem Guardian of the Galaxy Vol. 2 sebelum adegan Teen Groot di pasca-kredit.
Positif
Kualiti animasi yang mantap
Groot comel melampau
Perjalanan cerita ringkas Baby Groot yang tidak diketahui ramai
Negatif
Terlalu pendek dan tidak memuaskan
Keliru ia sebenarnya di mana dalam MCU
7

Sohor Kini