Melalui Bullet Train, Brad Pitt kembali ke dunia lakonan dengan prestasi yang baik sesuatu yang sudah dijangkakan oleh pelakon veteran ini. Kali terakhir beliau membawa watak utama adalah melalui Once Upon a Time in Hollywood dan juga Ad Astra pada tahun 2019. Sebelum benar-benar mendiamkan diri pada tahun 2020 dan juga 2021.
Pada tahun ini, beliau sudah kembali berlakon di dalam The Lost City tetapi watak kecil sahaja yang menghampiri cameo, oleh itu Bullet Train boleh dikatakan sebagai filem baharu untuknya dan tidak mengejutkan jika filem ini meletakkan Brad Pitt sebagai muka utama di dalam poster dan juga segala barangan promosi.
Walaupun begitu, filem ini telah dihasilkan dengan tidak terlalu memberi fokus kepada satu watak utama sahaja. Ia adalah filem Brad Pitt, akan tetapi saya juga boleh katakan ia adalah filem Aaron Taylor-Johnson ataupun Brian Tyree Henry, ataupun Andre Koji ataupun mana-mana watak utama yang lain kerana setiap watak ini diberi ruang untuk dikembangkan secara sendiri dan tidak merasakan ia sekadar watak sampingan sahaja.
Brad Pitt adalah Ladybug yang merupakan pembunuh upahan tetapi sudah “bersara” dari membunuh, sebaliknya sekadar menerima tugasan ringan seperti mencuri dan juga menjadi penyiasat upahan. Tugas terbaru yang diterima olehnya adalah mencuri satu beg bimbit di dalam Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menuju ke Kyoto dari Tokyo.
Tanpa dia sedari, beg bimbit tersebut juga menjadi perkara yang menghubungkan beberapa lagi watak yang turut berada di dalam kereta api tersebut. Watak-watak ini adalah Tangerine lakonan Aaron Taylor-Johnson, Lemon lakonan Brian Tyree Henry, Yuichi Kimura lakonan Andrew Koji, The Elder lakonan Hiroyuki Sanada dan Prince lakonan Joey King.
Seperti Ladybug, yang tidak mengetahui apa yang dia sudah terlibat, saya sebagai penonton secara amnya juga tidak mengetahui perhubungan di antara watak-watak ini, selain daripada tujuan mereka secara sendiri untuk berada di dalam kereta api tersebut. Filem ini terus menjadikan perkara tersebut sebagai misteri, walaupun saya boleh meneka serba sedikit mengenai apa yang berlaku akan tetapi ia masih lagi disampaikan dengan baik menjadikan saya sentiasa ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Saya sedikit kecewa dengan bagaimana persoalan-persoalan ini terjawab kerana ia terasa seperti terus disuap dalam masa yang singkat membuatkan impak yang disampaikan tidak terlalu berkesan dan terasa merugikan kerana pembinaan konflik yang baik tetapi serba sedikit dikecewakan dengan penyelesaian.
Lakonan dan juga aksi di dalam filem ini juga baik dan seronok untuk ditonton. Jika anda peminat Brad Pitt, filem ini kembali membawa kualiti lakonan Brad Pitt yang kita kenal dan suka. Manakala watak-watak lain juga membawa perwatakan mereka dengan baik terutama watak Tangerine dan Lemon yang menjadi dua watak utama membawa elemen komedi di dalam filem ini.
Kedua-dua watak ini adalah menarik akan tetapi ia mengingatkan saya kepada watak Vincent Vega dan Jules Winnfield dari filem Pulp Fiction lakonan John Travolta dan Samuel L. Jackson, namun dengan dialog yang kurang menarik untuk Tangerine dan Lemon. Namun, ia masih lagi dua watak yang baik dan saya menyukai mereka menggunakan satu rujukan yang terus digunakan sepanjang filem ini.
Bercakap mengenai dialog, saya merasakan ia adalah elemen paling lemah di dalam filem ini dengan tidak banyak dialog yang membawa impak, akan tetapi ia juga dilakukan secara ringan, campuran di antara serius dan komedi, menjadikan ia satu tontonan yang santai.
Namun, dialog yang lemah ditolong dengan aksi-aksi yang dilakukan dengan baik. Setiap aksi walaupun dilakukan dengan pantas, sepantas bullet train, tetapi ia nampak jelas memberi kepuasan kepada tontonan. Namun, oleh kerana ia adalah perlawanan yang pantas, sesuatu pertempuran tidak lama dan sekejap sahaja untuk selesai. Bagi yang inginkan aksi yang lebih gempak mungkin sedikit kecewa dengan perkara ini.
Satu lagi perkara yang saya sangat suka dengan filem ini adalah bagaimana ia melakukan penukaran adegan, jika memfokuskan kepada dua adegan di dalam kereta api, bukan sekadar tukar ke adegan seterusnya, ia menukar dengan bergerak dari gerabak ke gerabak yang lain, memberikan saya sedikit penanda visual yang jelas mengenai kedudukan setiap watak di dalam kereta api tersebut.
Saya kebiasaannya tidak menyukai filem-filem yang mempunyai imbas kembali yang terlalu kerap, kerana saya inginkan penceritaan yang berterusan akan tetapi Bullet Train berjaya melakukannya dengan baik. Ia mempunyai banyak imbas kembali akan tetapi tidak terasa terganggu kerana ia dihasilkan dengan cara yang baik, selain itu imbas kembali ini tidak terasa sekadar untuk memanjangkan filem sahaja akan tetapi memainkan peranan penting.
Ia adalah kerana selain watak-watak yang secara tidak sedar mempunyai kaitan di antara satu sama lain, terdapat juga perkara-perkara lain yang pada awalnya mungkin akan tertanya apa kaitan dengan filem ini, tetapi akhirnya memberi sebab yang baik untuk ia disertakan di dalam penceritaan, termasuk jugalah satu botol air mineral.
Akhir kata, Bullet Train adalah satu filem yang juga boleh dikatakan sebagai ucapan “Selamat Kembali” kepada Brad Pitt, akan tetapi ia juga filem yang memberi ruang kepada watak-watak lain untuk dikembangkan dengan baik dan perhubungan di antara watak-watak ini dilakukan secara misteri, dengan untuk kebanyakan filem ia tidak jelas menjadikan penceritaan lebih menarik.
Filem ini juga mempunyai lakonan yang baik dengan aksi yang pantas dan memberi kepuasan kepada penonton. Namun, sedikit mengecewakan dengan penulisan dan juga dialog yang tidak membawa impak yang sama berbanding bahagian-bahagian lain filem. Namun, ia masih lagi satu filem yang saya mempunyai masa yang baik menonton.
Nota Kaki: Bullet Train diarahkan oleh David Leitch dan akan tiba di pawagam bermula 4 Ogos ini. Tayangan awal untuk filem ini disediakan oleh Warner Bros bagi tujuan ulasan ini.