Memori pertama aku menonton siri Predator adalah pada awal 90an apabila ia ditayangkan pada hari Jumaat dalam slot Perillys Action Movie. Zaman syarikat tembakau akan menaja slot filem hujung minggu yang menjadi tontonan wajib seminggu sekali. Zaman pra-internet adalah mengujakan kerana kita akan menonton apa sahaja yang ditayangkan. Bila nampak kelibat Arnold Swarzenegger dalam treler awal minggu, aku bertekad untuk menonton filem Predator yang sebelum ini aku tidak tahu kewujudannya.
Tiga puluh lima tahun sudah berlaku sejak Predator (1987) muncul di layar perak dan sejak itu lima filem lain (termasuk siri Aliens vs Preadator) dengan watak makhluk pemburu apeks ini telah dihasilkan. Pada tahun 2022, Prey pula dihasilkan dengan ia ditayangkan terus ke Hulu dan menerusi Disney+ Hotstar di Malaysia dengan kali ini kita kembali 300 tahun ke masa lampau.
Premis Prey adalah menarik kerana buat pertama kalinya kita kembali ke masa lampau selepas kesemua filem sekuel yang dihasilkan berlaku di masa sekarang dan masa depan. Tumpuan kali ini diberikan kepada watak Naru (Amber Midthunder) yang merupakan ahli suku Comanche di zaman awal benua Amerika Utara di kolonisasi oleh pendatang dari Eropah.
Prey mencuba sesuatu yang baharu dengan meletakkan Naru seorang wanita sebagai watak protagonis utama selepas sekian lama filem siri ini dikepalai pelakon utama lelaki. Sebagai seorang wanita dalam suku Comanche, beliau diberikan tugas memasak dan menjaga tanaman ketika kaum lelaki pergi memburu.
Tetapi Naru enggan hidup mengikut tradisi yang dirasakan tidak adil. Setiap tahun terdapat acara khas dimana mereka yang ingin menjadi pemburu untuk suku perlu menunjukkan kemampuan memburu haiwan liar yang memburu haiwan lain di dalam hutan. Naru bertekad membuktikan kemampuan beliau walaupun dihalang oleh abang beliau Taabe (Dakota Beevers).
Keamanan kehidupan Naru dan Taabe tercabar apabila bangkai haiwan yang disiat kulit mula ditemukan di tapak pemburuan. Pada awalnya ramai menyangka ianya dilakukan oleh haiwan liar atau pemburu kolonialis dari Eropah yang melakukan pengembaraan memasuki tanah adat Comanche.
Naru terserempak dengan kapal angkasa Predator yang datang pada lewat malam. Taabe dan ahli pemburu lain enggan mempercayai apa yang dilihat oleh Naru kerana dikatakan mustahil. Setiap usaha Naru diperkecil, kemampuan beliau menggunakan anak panah tidak diendahkan dan apa yang keluar dari mulut dikesampingkan ke tepi oleh golongan yang merasakan diri mereka lebih ahli mengenai haiwan liar di hutan.
Ada maksud tersirat dalam Prey mengenai masyarakat kita yang merendah-rendahkan kemampuan dan apa yang diucapkan oleh golongan yang dianggap tidak ahli. Dalam kes ini Naru mewakili wanita yang direndah-rendahkan kemampuannya kerana tidak dilahirkan dengan sepasang testis.
Kalau bercakap mengenai filem Predator, tidak lengkap sekiranya kita tidak menyentuh sama ada ianya ganas dan aksinya menarik ataupun tidak. Dengan pengkelasan “R” filem ini cukup ganas untuk menggembirakan peminat siri Predator. Tengkorak dicabut seperti Fatality Sub Zero, tengkorak dijadikan trofi simpanan, mangsa dipancung, dada dirobek dan kulit dilapah semuanya ada.
Tetapi dalam skala markah 1 hingga 10, kami berikan 7 markah untuk tahap keganasan Prey. Sebagai perbandingan kami berikan Predator (1987) 8 markah dan 10 untuk Riki-Oh: The Story of Ricky. Tiada risiko termuntah melihat babak-babak ganas dalam Prey.
Sebagai filem ke lima dari siri Predator, harapan yang aku letakkan adalah agak rendah. Serendah ketinggian buku lali ayam. Ditambah pula dengan statusnya sebagai filem terus ke platform penstriman. Biasanya hanya filem yang dirasakan teruk dihantar terus ke VOD oleh studio. Tetapi dalam kes Prey, memang filem ini dihasilkan untuk platform penstriman Hulu sejak dari awal.
Kerana harapan yang memang pada awalnya memang rendah, aku boleh menikmati Prey tanpa sebarang harapan langsung. Perkara yang aku takutkan ialah Prey akan menjadi mangsa trend semasa iaitu menggunakan nostalgia untuk menjual filem yang baru. Pengarah filem Dan Trachtenberg, tidak melakukan banyak call backs kepada filem-filem terdahulu. Jadi Prey masih boleh dinikmati generasi baharu tanpa perlu menonton filem terdahulu.
Trachtenberg juga meminjam pelbagai elemen dari filem asal John McTiernan dengan wajah sebenar Predator hanya dilihat menjelang penghujung. Ini berjaya mewujudkan perasaan menakutkan serta misteri makhluk yang memburu protagonis. Rekaan Predator yang lebih kuno dalam Prey juga aku rasakan menarik membezakan ia dari Predator-Predator lain.
Elemen paling menarik Prey mungkin adalah Naru dan makhluk Predator dalam filem ini kedua-duanya perlu membuktikan kelayakan mereka dengan memburu makhluk yang paling berbahaya. Naru perlu membunuh Predator dan si Predator pula perlu memburu manusia yang merupakan pemangsa apeks di bumi. Ini mungkin sebab filem ini diberikan nama Prey kerana realitinya tanpa mereka sedari, Naru dan Predator juga adalah mangsa yang sedang diburu.
Lakonan Amber Midthunder dan Dakota Beever juga berkesan sepanjang filem ini. Dakota Beever sebagai Taabe adalah sangat macho berhadapan dengan Predator yang jelas lebih kuat mengingatkan aku kepada Billy dari filem pertama.
Tetapi elemen yang menarik filem ialah penggunaan kesan khas praktikal yang membuatkan aksi kelihatan lebih realistik berbanding CGI. Kostum Predator kali ini nampak lebih ringkas kerana teknologi yang 300 tahun ke masa silam. Masalah dengan filem aksi moden ialah terlalu bergantung kepada CGI tetapi ini bukanlah isu pada Prey. Adalah menyegarkan menonton filem moden yang tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital.
Pada hemat aku Prey ialah filem Predator yang paling kemas sejak filem pertama kerana semuanya lebih ringkas dan kembali ke premis filem asal sekumpulan manusia bertemu dengan makhluk yang lebih berbahaya daripada mereka.