Netflix hari ini telah mengumumkan yang sepanjang bulan April sehingga Jun mereka telah kehilangan 1 juta pelanggan, iaitu lebih rendah berbanding jangkaan mereka sebelum ini. Selain itu, mereka juga berkongsi perancangan untuk mula memperkenalkan pakej langganan yang lebih murah yang akan menyertakan iklan.

Pakej langganan baharu ini akan tiba secara berperingkat pada awal tahun 2023, selain itu mereka juga menegaskan yang mereka akan sentiasa memperkenalkan sesuatu yang baharu dan belajar daripada maklum balas yang diterima. Cara penawaran pada awal mungkin akan berbeza dengan sistem akhir yang akan digunakan kelak.

Mereka akan menyasarkan pasaran-pasaran yang mempunyai perbelanjaan iklan yang tinggi terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke pasaran lain. Netflix sebelum ini telah mengumumkan kerjasama dengan Microsoft untuk pengurusan pengiklanan tersebut.

Ted Sarandos iaitu CEO bersama Netflix juga mengatakan yang mereka masih di dalam perbincangan dengan penyedia kandungan mengenai penawaran kandungan mereka di dalam pakej langganan beriklan ini. Ini adalah kerana berdasarkan praktis kebiasaan untuk industri, ia kebiasaan memerlukan bayaran berlainan kepada penyedia kandungan.

Beliau mengatakan yang kebanyakan kandungan tidak mempunyai masalah untuk disertakan, ada beberapa lagi kandungan yang masih di dalam perbincangan, akan tetapi beliau mengatakan ia bukanlah kandungan yang akan memberi kesan yang besar.

Sohor Kini