Black Panther adalah antara watak yang menarik dalam MCU. Filem solo watak ini yang ditayangkan pada tahun 2018 memperlihatkan dunia Wakanda, komuniti di dalamnya serta kecanggihan teknologi berasaskan Vibranium.

Dunia Wakanda mempunyai banyak puak. Dalam filem pertama antara watak sampingan menarik adalah W’Kabi, ketua sekuriti untuk puak Border yang dilakonkan oleh Daniel Kaluuya. W’Kabi juga adalah sahabat kepada T’Challa lakonan Chadwick Boseman.

Filem sekuel, iaitu Black Panther: Wakanda Forever yang kini dalam proses pasca-produksi akan menceritakan lebih lanjut mengenai dunia Wakanda. Filem ini turut akan menyertakan watak Riri Williams lakonan Dominique Thorne yang akan mempunyai siri TV Disney+ tersendiri nanti, Ironheart.

Variety melaporkan yang Daniel Kaluuya tidak akan berlakon dalam filem ini sebagai W’Kabi. Beliau sepatutnya meneruskan berlakon dalam Black Panther, tetapi sibuk dengan filem Nope oleh Jordan Peele. Tetapi watak ini masih belum dimatikan dan dengan Disney yang sibuk mengembangkan dunia MCU, beliau boleh muncul dalam mana-mana projek lain nanti. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini