For All Mankind Ialah What If…? Untuk Geek Sebenar

Siri What If…? ialah antara siri yang berjaya di Disney+ Hotstar kerana membenarkan idea paling luar kotak untuk diceritakan tanpa merosakkan canon utama Marvel Cinematic Universe. Episod pertama dengan watak Captain Carter yang mendapat sambutan ramai membuka pintu kepada kembalinya Hayley Atwell ke MCU menerusi filem The Multiverse of Madness beberapa bulan yang lalu walaupun untuk hanya beberapa minit.

Apakah Akan Terjadi?

Penonton sukakan siri dengan premis “apakah akan terjadi” kerana siapa yang tidak sukakan alternatif kepada situasi semasa? Adakah Malaysia masih sama jika Singapura tidak ditendang keluar oleh Tunku? Bolehkah bumi diselamatkan jika model perubahan iklim Profesor Syukuro Manabe dipandang serius semasa diterbitkan pada dekad 60an? Apakah yang terjadi jika Slobodan Milosevic dibunuh oleh pengembara merentas masa? Ada sebab mengapa filem dengan jalan cerita multimesta sedang hangat sekarang kerana realiti adalah cukup menyeksakan.

Ini juga sebab utama mengapa aku ingin sarankan pembaca sekalian untuk menonton For All Mankind (FAM) di Apple TV+ yang aku rasakan adalah sebuah siri sejarah alternatif yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Siri diterbitkan oleh Ronald D Moore yang bertanggungjawab menghasilkan siri Battlestar Galactica, Star Trek Deep Space 9, Star Trek The Next Generation dan Roswell. Beliau cukup arif dalam genre angkasa lepas dan penceritaan yang baik.

Sejarah Alternatif

For All Mankind (FAM) ialah siri sejarah alternatif sekiranya Kesatuan Soviet menjadi negara pertama berjaya sampai ke permukaan bulan. Kejayaan Sputnik, Yugi Gagarin, dan Valentina Tereshkova menjadi batu loncatan untuk ROSCOMOS turut mencatatkan kejayaan ke bulan. Tiada ucapan “One small step for man” diucapkan oleh Neil Armstrong. Sebaliknya Alexei Leonov memberikan ucapan kejayaan idelogi Marx-Lenin membuka kejayaan manusia ke bulan.

Ini premis musim pertama FAM. Dari debu multi-kegagalan NASA, perang angkasa lepas yang lebih dahsyat bermula pada tahun 1963. Sejarah yang kita ketahui menyimpang dari tahun ini dan setiap musim baharu kita melompat 10 tahun ke hadapan.

Sebagai seorang geek teknologi angkasa lepas, FAM merealisasikan pelbagai projek yang dibatalkan NASA dan konsep-konsep yang tidak pernah dihasilkan kecuali dalam bentuk lukisan. Sistem roket nuklear yang hanya sekarang dibangunkan oleh NASA sudahpun wujud berdekad lebih awal. Percantuman kapsul Soyuz dan Gemini berlalu lebih awal tetapi atas sebab yang jauh berbeza. Menarik juga melihat bagaimana perang angkasa menyebabkan teknologi seperti kereta elektrik, panggilan video dan iPod tiba beberapa dekad lebih awal.

Isu

FAM tidak menghabiskan banyak masa untuk menerangkan dunia teknologi penerokaan angkasa lepas. Ini ialah isu utama mengapa pada hemat kami ia tidak mempunyai lebih banyak penonton kerana kadang kala menonton satu episod adalah seperti menonton What If? di Disney+ Hotstar tanpa menonton setiap filem MCU. Pengetahuan mendalam mengenai projek-projek yang pernah dilakukan atau telah dibatalkan NASA, ROSCOSMOS, dan ESA adalah perlu.

Sukar untuk rasa teruja melihat cameo Sally Ride sekiranya anda tidak tahu siapakah beliau. Apakah terjadi jika identiti sebenar Wernher Von Braun dan Operation Paperclip didedahkan kepada umum lebih awal?

Isu yang lebih serius ialah setiap musim bergerak 10 tahun ke hadapan menyebabkan masa yang diberikan kepada kepada setiap watak terasa agak terhad dan bergerak terlalu pantas. Sukar untuk peduli dengan beberapa watak utama kerana terasa terlalu 2D memandangkan pengolahannya tidak dilakukan dengan begitu baik.

Untuk Semua Manusia

Sungguhpun aku mengatakan ada isu dengan siri ini, aku rasa ia adalah batu loncatan yang baik bagi mereka yang ingin melihat bagaimana dunia mungkin berubah kerana USSR memenangi kesemua perlumbaan awal di angkasa lepas. Walaupun siri ini menggunakan nama For All Mankind, ia sebenarnya tidak cukup accessible untuk semua orang.

Sedikit merugikan sebenarnya kerana banyak teknologi yang disentuh dalam siri akan menjadi kenyataan apabila Misi Artemis bermula tahun ini. For All Makind bukanlah siri TV untuk semua manusia tetapi ini tidak akan menghalang golong geek angkasa lepas sebenar untuk menikmatinya.

Sohor Kini