Despicable Me pertama kali memperkenalkan Gru dan Minions kepada dunia pada tahun 2010, selepas itu, dunia tidak lagi sama seperti biasa, okay mungkin tidak sejauh itu, namun sejak daripada itu kita telah menerima 2 lagi filem Despicable Me dan dua filem memfokuskan Minions termasuk juga yang terbaru ini iaitu Minions: The Rise of Gru. Kita juga akan menerima Despicable Me 3 pada tahun 2024, dengan kata lain kandungan yang memfokuskan Minions dan Gru tidak akan menemui pengakhiran lagi.
Minions: The Rise of Gru meneruskan penceritaan prekul bagi siri ini, dengan Minions pertama yang dikeluarkan pada tahun 2015 memfokuskan bagaimana Minions sedang mencari “bos” baharu, sebelum berjumpa dengan Gru. Manakala di dalam filem ini, Gru mula memasang hajat untuk menjadi penjahat yang digeruni.
Pada tahun 1970-an ini kumpulan penjahat utama dikenali sebagai Vicious 6 yang diketuai oleh Wild Knuckles, namun selepas mereka mendapat satu loket yang berkuasa, Wild Knuckles (Alan Arkin) telah dikhianati oleh kumpulan Vicious 6 yang lain iaitu Jean Clawed (Van Damme), Nunchuck (Lucy Lawless), Svengeance (Dolph Lundgren) dan Stronghold (Danny Trejo).
Manakala Gru, yang masih disuarakan oleh Steve Carell, pula mula melakukan perkara-perkara jahat untuk mengisi kekosongan yang terdapat di dalam Vicious 6, akan tetapi telah ditolak oleh mereka kerana Gru masih budak kecil. Marah dengan perkara tersebut, Gru telah mencuri loket tersebut dan bermula pergaduhan di antara Gru dan Vicious 6.
Walaupun penceritaan memfokuskan kepada apa yang diinginkan oleh Gru akan tetapi sebagai satu filem Minions, Gru masih lagi berada di kerusi belakang, dan Minions adalah fokus utama terutama empat minion iaitu Kevin, Stuart, Bob dan Otto yang berusaha untuk terus membantu Gru. Dengan pengurangan fokus kepada Gru menjadikan ia filem yang lebih menarik, terutama untuk kanak-kanak.
Jenaka di dalam filem ini masih lagi memfokuskan kepada slapstick, iaitu kelakuan Minions dan aksi-aksi yang melampau. Ia berkesan dan efektif jika ingin dibandingkan jenaka melalui dialog, ini ditambah baik lagi kerana animasi yang sangat baik digunakan. Setiap aksi disampaikan dengan baik, rekaan watak yang melampau-lampau memeriahkan lagi penceritaan. Ini terutamanya apabila Minions berjumpa dengan Master Chow (Michelle Yeoh).
Saya mungkin tidak ketawa berdekah-dekah akan tetapi saya boleh rasakan yang ia sesuatu akan disukai oleh kanak-kanak.
Penceritaan juga sangat jelas dihasilkan untuk kanak-kanak, walaupun memainkan topik yang boleh jadi berat iaitu pengkhianatan akan tetapi ia dilakukan dengan sangat ringan, ia sedikit membosankan untuk saya, kerana penceritaan akan menjadi mudah untuk dijangka. Saya tidak rasa ada sebarang plot twist yang berat. Namun, sekali lagi, ia bukan satu masalah untuk kanak-kanak yang akan lebih memfokuskan kepada tingkah laku Minions.
Akhir kata, filem ini masih lagi membuatkan saya tertanya mengapa masih ada penceritaan mengenai Gru ataupun Minions, kerana setiap kali filem keluar, ia membawa penceritaan yang lebih kurang sahaja tanpa nilai tambah. Namun, saya juga sedari yang setiap kali ia dikeluarkan, mereka akan membawa keuntungan besar kepada Universal Studios dan Illumination Studios, oleh itu jawapan sudah semestinya mengapa tidak?
Minions: The Rise of Gru masih lagi satu filem yang ringkas, dengan penceritaan yang mudah untuk dijangka akan tetapi ia dihasilkan dengan baik, animasi yang menawan dan juga jenaka-jenaka slapstick yang efektif walaupun tidak membuatkan satu dewan ketawa terbahak-bahak akan tetapi ia mencukupi untuk membuatkan saya keluar dari dewan tersenyum. Ia juga penceritaan yang sangat memfokuskan kepada kanak-kanak dan saya rasakan mereka memberikan satu filem yang baik walaupun tidak akan mencapai tahap Despicable Me yang pertama.
Penafian: Tayangan awal untuk Minions: The Rise of Gru disediakan oleh United International Pictures Malaysia untuk tujuan ulasan ini.