Siapa sahaja yang tidak kenal Mat Kilau? Anak kepada Tok Gajah yang merupakan seorang pahlawan Melayu yang menjaga hak orang-orang Melayu Pahang yang ditindas oleh kerajaan British yang kejam lagi zalim. Kisah Mat Kilau ini aku mula tahu sejak zaman sekolah lagi, dan teruja mendengar ada pahlawan sehebat beliau.

Namun kisah Mat Kilau ini hanya berada dalam sejarah seperti dalam buku teks atau novel. Tidak banyak atau hampir tiada kisah tokoh seperti beliau diolah dalam bentuk filem, siri TV atau animasi. Sehinggalah satu idea daripada Studio Kembara dan juga Skop Productions untuk menghasilkan filem memfokuskan kepada beliau.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan adalah satu cereka yang mengambil inspirasi daripada sejarah sebenar. Ia bukanlah filem berasaskan kisah benar, sebaliknya sebuah filem untuk mempertontonkan bagaimana pada suatu ketika dahulu orang-orang Melayu termasuk Mat Kilau dan rakan-rakan menentang penjajah yang menindas hak orang kita. Dalam artikel ini, akan aku sampaikan pengalaman aku menonton filem ini dan juga pendapat aku mengenainya.


Penceritaan Menarik, Tapi…

Antara sebab filem ini dihasilkan adalah, Malaysia sudah lama tidak mempunyai filem berasaskan sejarah. Tahun 2002, terdapat filem mengisarkan Embun mengenai penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan kemudiannya Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004 satu iterasi bentuk filem daripada kisah legenda. Namun kedua-dua filem ini dengan nilai pembikinan dan produksi tinggi gagal menerima kutipan yang memberangsangkan. Dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof ingin ubah persepsi orang ramai agar filem ini boleh ditonton oleh semua dan memahami apa yang ingin cuba disampaikan.

Disebabkan itu, filem ini adalah satu cereka kerana kadangkala jika ia adalah kisah benar sepenuhnya ia mungkin tidak begitu menarik di layar perak. Dalam filem Mat Kilau ini, ia mengisarkan bagaimana Tok Gajah merancang bersama-sama Mat Kilau dan rakan-rakan untuk menentang British pad tahun 1892. Ia adalah satu filem aksi tanpa henti di mana Mat Kilau, Awang, watak fiksyen Wahid dan Brahim cuba menghentikan kekejaman British yang merampas hak orang Melayu Pahang serta mencemari adat dan agama dengan zalim seperti membunuh dan mendera.

Filem ini tidak dinafikan mempunyai konsep penceritaan yang menarik. Ia berbeza dengan filem-filem yang biasa ditayangkan di Malaysia. Malah sudah lebih dua dekad tiada filem bertemakan sejarah seperti ini dan Syamsul Yusof berani untuk hadir dengan filem epik ini. Walaupun filem ini nampak menarik, ia tidak cukup mantap untuk memuaskan hati aku sepanjang menonton. Jangan salah faham, aku tidak benci akan filem ini – aku cuma tidak rasa puas kerana penceritaan terhadap Mat Kilau itu sendiri tidak mencukupi.

Sebaliknya, kisah dalam filem ini dilihat ditekankan kepada watak fiksyen Wahid. Sedangkan ini adalah filem Mat Kilau, sepatutnya kisah di sebalik Mat Kilau perlu ditekankan lebih lagi. Walaupun begitu, apa yang filem ini cuba sampaikan aku faham dan boleh sahaja menerimanya. Kisah di sebalik Wahid yang mempunyai semangat berkobar-kobar sebagai pahlawan, kisah Awang yang mempunyai keinginan menjadi seorang pemimpin, kisah Brahim dan Yassin yang sentiasa setia kepada ketua – ia diolah dengan baik sekali.

Perjalanan filem ini yang tidak meleret dan tidak membosankan membuatkan aku teruja dan boleh mendebarkan hati aku sepanjang durasi filem. Aku juga suka bagaimana filem ini membawa aku ke dunia masa silam di mana peristiwa bersejarah British menjajah Pahang. Contohnya, lokasi filem ini yang nampak baik, penggunaan prop yang boleh aku katakan cukup realistik untuk filem tempatan, serta mempunyai banyak aksi.

Paling aku suka dengan filem ini adalah, bagaimana emosi disampaikan. Apabila adegan yang membunuh orang tidak bersalah, aku boleh rasa sedih dan terkejut. Adegan yang membuatkan watak penting marah aku boleh rasa geram, adegan yang mempertontonkan watak menganiaya rakan membuatkan aku rasa benci kerana beliau pentingkan diri.

Koreografi aksi dalam filem ini yang utama adalah silat. Dahsyat! Mantap! Hebat! Terbaik! Setiap aksi pertempuran yang dilakukan oleh watak amat memuaskan hati aku. Ia nampak realistik, ia cukup meyakinkan, dan membuatkan aku tertanya-tanya kenapalah jarang kita disajikan dengan aksi hebat sebegini. Boleh pun filem tempatan untuk mempunyai filem aksi sehebat ini yang turut memberi semangat membara sebagai orang Melayu. Kenapa baru sekarang? Mana pengkarya lain yang kerap hadir dengan drama cinta cringe, filem acah bajet tinggi tapi kualiti rendah, cerita klise tanpa henti.

Mat Kilau adalah satu filem yang unik dan mantap. Walaupun ia tidak memuaskan, aku memberi tabik kepada semua pelakon dan kru yang terlibat.

Prestasi Lakonan Mantap!

Berikut adalah senarai pelakon dalam filem ini. Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon berbakat dan juga hebat. Malah ada di antaranya aku tidak sangka mampu mempunyai perwatakan yang realistik dan cukup meyakinkan.

  • Dato’ Adi Putra, Mat Kilau
  • Beto Kusyairy, Wahid
  • Fattah Amin, Awang
  • Johan As’ari, Yassin
  • Ali Karimi, Brahim
  • Yayan Ruhian, Toga
  • Geoff Andre Feyaerts, Syers
  • Wan Hanafi Su, Tok Gajah
  • Khir Rahman, Usup
  • Farid Amirul, Goh Hoi
  • A. Galak, Pak Deris
  • Zarina Zainoordin, Rokiah
  • Farah Ahmad, Yang Chik
  • Dato’ Jalaluddin Hassan, Hj. Muhammad
  • Dato’ Rahim Razali, Imam Bottoqh
  • Namron, Hj. Sulong
  • Shaharuddin Thamby, Datuk Bahaman
  • Ellie Suriaty, Ibu Yassin
  • Mubarak Majid, Ayah Yassin
  • Mark Geoffrry, Stewart
  • Siraj Al Sagof, Shidu

Adi Putra sebagai Mat Kilau mempunyai perwatakan seorang pemimpin yang amat hebat. Aku suka bila beliau muncul dan mula bercakap dengan kata-kata pepatah serta memberi semangat kepada rakan dan orang Melayu lain. Beliau juga mempunyai skil hebat pada aksi dan silat yang disampaikan.

Wahid yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy pula adalah antara pelakon paling hebat dalam filem ini. Pada aku, beliau sepatutnya menjadi watak utama, beliau layak mempunyai filem solo dan lakonan dahsyat beliau membuatkan aku yakin dengan filem tempatan pada tahap ini. Emosi beliau, skil aksi beliau, semuanya memuaskan hati aku.

Fattah Amin sebagai Awang juga mengejutkan aku. Siapa sangka pelakon yang selalu dilabelkan sebagai kayu kerana tidak mempunyai emosi boleh berlakon dalam filem ini dengan jayanya. Aku terkejut prestasi lakonan beliau yang hebat dengan perwatakan yang mudah cemburu tetapi masih setia.

Watak-watak lain banyak yang muncul sekejap sahaja, tetapi peranan masing-masing pada aku berjaya membawa filem ini untuk mempunyai cerita yang baik dan mudah diterima oleh orang ramai.

Masalah Utama Filem

Terdapat dua perkara utama yang membuatkan aku sukar untuk memberi skor penuh pada filem ini. Pertama sekali adalah rekaan kesan bunyi yang sangat menjengkelkan. Aku tidak pasti adakah masalah pada TGV Cinema di Seremban 2 ataupun memang pilihan pihak produksi. Selepas tanya pada pengkritik lain, aku yakin bukan salah pawagam. Keris dan senjata utama oleh Mat Kilau atau Wahid, belum bersentuhan dengan apa-apa permukaan besi atau senjata lain dan hanya di udara sudang mempunyai kesan bunyi nyaring dan tajam yang terlampau kuat. Ia mengganggu pengalaman menonton aku dan buat aku tertanya-tanya apa yang cuba dilakukan. Ia tenggelam dengan muzik latar dan juga bunyi lain. Bukan itu sahaja, bunyi tumbukan dan tendangan juga terlampau over dan melampau seakan filem Bollywood atau Tamil.

Kedua adalah pergerakan kamera yang terlampau bergoyang-goyang sehinggakan aku tidak dapat lihat aksi silat dan banyak adegan aksi lain dengan lebih jelas. Ia juga sedikit memeningkan dan membuatkan aku rasa kesian kepada pelakon yang sudah semangat berlatih untuk mempunyai skil hebat, tetapi tidak dapat dipertontonkan dengan baik. Isu-isu lain pada aku adalah kecil sahaja dan aku boleh terima dengan bajet RM8 juta, aku faham ia adalah terhad.

Kita Perlukan Lagi Filem Sebegini!

Jarang aku tonton filem tempatan dan mengharapkan sekuel atau filem sampingan dihasilkan. Selepas selesai menonton aku terbayang, dengan kutipan selepas 4 hari mencapai belasan juta Ringgit adakah Studio Kembara dan Skop Productions akan hadir dengan filem bersejarah lain? Banyak lagi tokoh-tokoh bersejarah yang boleh diolah sebagai filem cereka yang pasti akan membuatkan orang ramai suka dan teruja.

Kesimpulan

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tidak dinafikan adalah satu penanda aras bangkitnya filem Melayu untuk mencipta sejarah. Dalam pemantauan aku di media sosial, ramai memberi pujian kepada filem ini dan ramai juga yang selepas menonton menitiskan air mata kerana ada banyak adegan sedih. Filem ini juga berjaya menaikkan semangat orang Melayu untuk bangga dengan asal-usul masing-masing serta negara.

Filem ini juga adalah satu filem Melayu yang aku sanggup ke panggung untuk tonton kali kedua sebagai tanda sokongan. Bagi yang belum menonton, tontonlah filem ini, berikan sokongan anda sebagai warganegara kerana dengan sokongan kita semua barulah filem seperti ini boleh diteruskan dan mungkin kelak akan membuka mata orang luar untuk sedari pengorbanan pahlawan negara.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
Berlaku pada tahun 1892, British menjajah Pahang meragut hasil bumi di sana dan menyebabkan huru-hara dengan aksi kejam. Anak Tok Gajah, Mat Kilau bersama-sama rakan berkumpul bagi menentang penjajah yang zalim. Sebuah filem inspirasi sejarah sebenar dengan cereka fiksyen.
Positif
Majoriti pelakon mempunyai prestasi mantap
Koreografi aksi yang hebat dan dahsyat
Konsep filem yang menarik, berbeza dan berani
Negatif
Penceritaan Mat Kilau yang tidak memuaskan
Rekaan kesan bunyi yang menjengkelkan
Rakaman kamera yang memeningkan
7

Sohor Kini