Money Heist adalah satu siri TV Sepanyol yang telah mencipta satu fenomena yang dahsyat di seluruh dunia. Ia digemari oleh ramai orang kerana mempunyai cerita yang menarik dan perkembangan watak yang cukup hebat. Nama sebenar siri TV ini adalah La Casa De Papel, ia adalah sebuah kisah rompakan untuk membantu ekonomi dan juga rakyat yang miskin dari korupsi politik dan orang kaya yang tamak.

Ia turut memperlihatkan bagaimana setiap ahli perompak bekerjasama, aniaya, jatuh cinta dan mempunyai aksi menarik di antara pasukan perompak dan juga pasukan polis. Kini untuk menari lagi lebih ramai orang melanggan Netflix, Money Heist versi Korea dihasilkan dengan judul Money Heist: Korea – Joint Economic Area.

Hasrat mereka dengan siri ini adalah untuk menarik lagi pengguna di Korea Selatan dan peminat K-Drama global untuk setia dengan Netflix serta dan ingin menarik peminat Money Heist asal agar boleh mula suka dengan K-Drama yang ada di Netflix. Netflix telah memberikan aku akses kepada enam episod pertama secara lebih awal dan ini adalah ulasan aku untuk enam episod daripada dua belas.


Apa beza Sepanyol dan Korea?

Untuk Money Heist: Korea – Joint Economic Area (Money Heist JEA) ia berlaku di dunia alternatif yang berbeza dengan dunia sebenar. Money Heist asal lebih dekat dengan dunia sebenar dan lebih realistik. Versi Korea ini mengisahkan Korea Selatan dan Korea Utara bergabung, di mana orang dari belah utara bebas masuk ke selatan dan tiada lagi sempadan di antara dua negara.

Untuk itu, kerajaan perlu menghasilkan mata wang baharu yang boleh digunakan pada kedua-dua negara sebagai langkah menstabilkan ekonomi. Seperti Money Heist asal, seorang individu yang bijak yang menggelar diri beliau sebagai Professor merekrut ramai penjahat dan bekas banduan untuk menjadi ahli pasukan perompak untuk merompak pusat cetakan duit. Hasrat beliau adalah ingin mencipta sejarah dan satu jenayah yang revolusi.

Buat pertama kali dalam sejarah K-Drama juga, siri TV ini menggabungkan konsep polis Korea Utara bekerjasama dengan polis Korea Selatan, begitu juga ahli perompak yang mempunyai wakil dari setiap negara.

Money Heist JEA ini turut memfokuskan kepada politik negara dan bagaimana mereka mengarah pihak polis untuk mengendalikan situasi rompakan ini. Mudah untuk disampaikan kepada semua, ia adalah Money Heist yang semua kenal tetapi dengan tema K-Drama yang klise.

Best ke?

Aku sudah lama tidak tonton K-Drama, kerana ingin habiskan sitkom yang sedang aku tonton dan mengikuti banyak siri TV barat, siri TV dalam Disney+ dan banyak lagi kandungan lain. Biasanya aku tonton drama Korea ketika ada banyak masa. Tetapi untuk Money Heist JEA ini berbeza, kerana aku menang minat Money Heist yang asal dan apabila aku dengar ada satu olahan semula untuk versi Korea aku menjadi tidak sabar untuk saksikannya. Aku ikuti dekat perkembangan siri TV ini dan mengharapkan selepas tonton ia boleh memberikan aku semula semangat untuk kembali menonton K-Drama seperti sebelum ini.

Money Heist JEA mempunyai 12 episod dan ia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Part 1 dengan 6 episod. Aku berada dalam dilema sama ada ingin suka atau benci siri TV ini. Ini kerana perasaan seronok tonton itu tidak konsisten dan ia tidak mempunyai banyak faktor WOW dan ia juga tidak mempunyai penceritaan yang memuaskan.

Enam episod pertama ini adalah mirip dengan Money Heist asal musim pertama. Ia seakan satu salinan satu demi satu, cuma dilakonkan semula oleh pelakon Korea dan lokasi berada di Korea. Aku kenal setiap adegan, aku boleh baca setiap watak dan aku juga boleh ramalkan apa yang akan berlaku sepanjang enam episod ini. Aku tidak kisah untuk mereka ambil inspirasi, tetapi salin bulat-bulat aku sukar untuk menerimanya. Ini mungkin kerana aku sudah tonton Money Heist yang asal, tetapi jika aku letak perspektif untuk peminat K-Drama dan jika tidak pernah tonton Money Heist asal – ia sebenarnya cukup menarik dan berbeza.

Ada beberapa adegan yang sama dalam Money Heist asal berjaya dilakonkan semula, yang mana pada awalnya memberikan aku satu kepuasan. Ia membuatkan aku rasa teruja kerana mereka boleh melakukannya. Tetapi lama-kelamaan apabila banyak kali melakonkan semula perkara sama, perasaan Wow! tidak tahan lama dan terus pudar.

Jangan salah faham, aku tidak benci Money Heist JEA. Aku suka iterasi yang dilakukan. Untuk melihat gabungan Korea Selatan dan Korea Utara dalam satu dunia fiksyen, siri TV ini berjaya lakukannya dengan baik. Politik yang ada, persengketaan di antara ahli pasukan, pihak polis yang cukup dahsyat dan mempunyai aksi askar yang mendebarkan, serta mempunyai banyak elemen Money Heist asal yang seronok untuk ditonton dalam versi Korea.

Dunia fiksyen dalam siri TV ini berjaya dihasilkan dengan baik. Ia memberikan aku satu pengalaman menonton Money Heist yang aku kenal, tetapi dengan vibe K-Drama yang pernah aku tonton sebelum ini. Untuk aku yang sudah lama tidak tonton K-Drama, aku suka. Tetapi untuk aku yang sudah tonton Money Heist, aku tidak berapa suka.

Suntingan siri TV ini mirip yang asal, yang mana aku suka dan boleh terima. Penggunaan kamera, tetapan lokasi, prop dan pelbagai lagi. Ia nampak mempunyai satu bajet yang cukup tinggi dan dirancang dengan baik. Seperti Money Heist yang asal, ia akan mempertontonkan situasi rompakan kemudian lompat kepada masa silam ketika Professor sedang rerkut, lompat ke sejarah setiap ahli, bertukar-tukar menunjukkan aksi polis dan juga memperlihatkan situasi Professor di lokasi lain.

Perwatakan

Untuk setiap watak dalam Money Heist JEA, ia adalah watak-watak baru dengan nama gelaran yang sama. Yoo Ji-tae berlakon sebagai The Professor, Park Hae-soo daripada Squid Game sebagai Berlin, Jun Jong-seo sebagai Tokyo, Lee Won-jong pula sebagai Moscow, Kim Ji-hun sebagai Denver, Jang Yoon-ju sebagai Nairobi,  Lee Hyun-woo pula memainkan watak Rio, Kim Ji-hoon sebagai Helsinki dan Lee Kyu-ho sebagai Oslo.

Setiap watak ini nampak unik dan sedikit berbeza dengan versi asal. Prestasi lakonan mereka juga agak hebat dan pada aku mereka cuba dengan baik. Beberapa aspek, mereka lakukan iterasi tersendiri tetapi masih cuba untuk mimik watak asal dalam Money Heist Sepanyol. Pada aku yang paling menjadi adalah Park Myung-hoon sebagai Cho Young-min iaitu versi Korea untuk watak Arturo yang sebelum ini dilakonkan oleh Enrique Arce. Watak ini berjaya membuatkan aku rasa menyampah.

Untuk watak lain seperti Professor, beliau tiada masalah pada aku. Begitu juga dengan Tokyo dan lain-lain. Berlin dalam siri TV ini cukup ganas dan menggerunkan yang mana aku suka cara beliau. Nairobi pada aku nampak terlampau try hard, tetapi masih boleh diterima.

Kim Sung-oh sebagai Captain Cha Moo-hyuk adalah seorang wakil dalam pasukan khas polis membantu Seon Woo-jin lakonan Kim Yun-jin sebagai ketua dalam pasukan khas ini. Cha Moo-hyuk nampak ganas dan lebih bijak jika dibandingkan dengan pembantu Raquel lakonan Itziar Ituño iaitu Ángel Rubio lakonan Fernando. Kim Yun-jin pula adalah pengganti kepada watak Raquel yang nampak bezanya.

Setakat apa yang aku tonton, perwatakan yang berbeza dan menarik, yang mana ada vibe K-Drama adalah pada pasukan khas polis. Mereka membuatkan aku lebih yakin akan potensi untuk cuba menghentikan misi rompakan ini.

Aku sebenarnya, mengharapkan setiap watak tidak salin daripada yang asal. Mungkin pakai nama gelaran sama, tetapi sepatutnya ada perwatakan berbeza yang unik dan tersendiri. Mungkin untuk cuba tarik peminat Money Heist juga, aku rasa okay sahaja.

Kesimpulan

Apa yang aku boleh katakan, siri TV ini berjaya meyakinkan aku untuk kembali menonton K-Drama. Kerana nilai produksi yang berkualiti untuk sebuah K-Drama Netflix Original. Ia juga membuatkan aku mengharapkan akan ada K-Drama lain mempunyai kualiti tinggi seperti ini.

Cuma untuk penceritaan Money Heist yang terlampau sama, aku kurang suka. Aku sebenarnya ingin lihat satu iterasi di mana semua Money Heist ini berlaku dalam dunia yang sama. Mungkin versi Sepanyol adalah sejarah dan Professor mengambilnya sebagai inspirasi untuk mengetuai rompakan di Korea Selatan yang sudah bergabung dengan Korea Utara.

Pada aku, ia masih memberikan satu pengalaman menonton yang menarik. Cuma ia tidak cukup untuk memuaskan hati aku. Mungkin sebab aku ingat banyak versi yang asal dan aku jadi tidak syok apabila nampak sesuatu yang berulang. Mungkin ia boleh meyakinkan peminat yang tidak tonton K-Drama untuk mula tonton dan boleh meyakinkan peminat K-Drama untuk tonton versi asal.

Dengan bahagian satu ada enam episod juga membuatkan pengalaman menonton tidak begitu hebat. Mungkin bahagian kedua nanti ia boleh memberikan satu pengalaman berbeza dan lebih menarik.

Ulasan ini adalah daripada akses awal yang Netflix Malaysia berikan. Money Heist: Korea – Joint Economic Area akan disiarkan pada 24 Jun, 3:00 PM.

Money Heist: Korea - Joint Economic Area
Akan Disiarkan Pada 24 Jun
Satu iterasi Money Heist dalam bentuk K-Drama. Ia berlaku dalam dunia fiksyen di mana Korea Selatan dan Korea Utara bergabung dan tiada lagi perpisahan antara dua sempadan. Untuk menstabilkan ekonomi, mata wang baharu telah dihasilkan. Professor merekrut perompak dari dua negara untuk merompan pusat cetakan wang baharu ini.
Positif
Konsep penceritaan menarik dengan gabungan Korea Utara dan Korea Selatan
Kualiti produksi yang tinggi, cantik dan nampak menarik
Prestasi watak yang cuba dengan baik untuk diterima orang ramai
Negatif
Terlampau banyak aksi sama daripada Money Heist asal
Tidak memuaskan dengan siaran hanya enam episod
8
Skor Ulasan

Sohor Kini