Ulasan The Black Phone – Cerita Seram Yang Tiada Kepuasan

The Black Phone adalah filems eram baharu yang akan ditayangkan di Malaysia tidak lama lagi. Filem ini merupakan satu adaptasi daripada cerpen dengan judul yang sama yang diterbit dalam buku 20th Century Ghosts oleh Joe Hill. Untuk filem ia diarahkan oleh Scott Derrickson iaitu pengarah filem Sinister dan Doctor Strange dan ditulis oleh beliau bersama-sama dengan C. Robert Cargill.

Filem ini mengisahkan kanak-kanak yang diculik oleh individu yang digelar oleh The Grabber. Di mana selepas banyak kes penculikan, mangsa terakhir telah dibantu oleh roh-roh mangsa sebelum. Ia adalah sebuah filem dengan jalan cerita yang ringkas, berlaku pada zaman silam sekitar tahun 1978 di bandar Colorado.

Penceritaan

Seperti yang aku katakan tadi, filem ini adalah sebuah filem ringkas yang diadaptasi daripada sebuah cerpen. Sepanjang filem ini ia memfokuskan kepada watak Finney lakonan Mason Thames, iaitu mangsa keenam The Grabber yang dilakonkan oleh Ethan Hawke. Pada awal filem, sedikit demi sedikit mangsa penculikan didedahkan seperti siapakah mereka dan di manakah mereka berada. Ia turut memperlihatkan bagaimana setiap mangsa diculik. Menjadikan ia lebih menarik adalah adik Finney iaitu Gwen, boleh nampak perkara sebenar berlaku melalui mimpi. Beliau membantu polis untuk lanjutkan lagi penyiasatan mencari mangsa-mangsa.

Ia adalah satu konsep misteri yang menarik, kerana seorang kanak-kanak secara tiba-tiba boleh nampak kejadian yang sudah berlaku. Di samping itu, sedikit sejarah keluarga Finney dan Gwen turut didedahkan seperti kenapa Gwen ada kuasa aneh, kenapa ayah beliau tidak stabil diceritakan. Tidak lupa juga, bagaimana perkembangan watak Finney disampaikan dalam filem ini. Salah seorang kawan baik beliau adalah mangsa dan kawan inilah yang melindungi beliau daripada dibuli. Ia mempertontonkan bagaimana suasana di sekolah beliau yang pada aku sedikit meleret tapi aku faham kerana ingin sampaikan perkembangan watak.

Selepas Finney diculik, ia mengambil sedikit masa untuk cerita menjadi menarik dan seronok untuk ditonton. Selepas beberapa roh muncul menelefon melalui The Black Phone, ya tajuk filem ini membawa maksud kepada sebuah telefon hitam vintaj yang berada bilik Finney disimpan barulah ia mula mendebarkan. Kisah di sebalik telefon hitam ini turut tidak dijelaskan dengan baik, selain daripada Finney seorang sahaja mangsa yang dapat mendengarnya dan juga Grabber.

Setiap roh ini walaupun muncul melalui telefon, mereka turut keluar dalam bentuk yang sedikit menyeramkan dan mengerikan. Mereka muncul dalam keadaan berdarah, luka sambil memberi arahan kepada Finney bagaimana untuk membebaskan diri.

Filem ini membuatkan aku teringat kepada filem seperti It, di mana kanak-kanak diculik, berada di lokasi yang menyeramkan dan ada penjahat yang hanya suka mengganggu mental. Grabber gemar memanipulasi mangsa seperti kononnya membenarkan mereka bebaskan diri, acah-acah baik dan tenung mereka ketika tidur.

Polis yang menyiasat juga dilihat amat bergantung kepada Gwen dalam penyiasatan penculikan ini. Walaupun tidak masuk akal, tetapi untuk sesuatu yang berlaku pada 1978 – tiada teknologi membantu aku boleh maafkan dan terima sahaja.

Masalah Filem

Filem ini tidak dinafikan mempunyai konsep yang amat menarik. Namun disebabkan ia hanyalah sebuah cerpen dan diubah menjadi filem, filem menjadi meleret dan panjang. Ini membuatkan pengalaman menonton sekitar satu jam pertama sedikit membosankan dan penat untuk ditonton. Satu cerita yang pendek terpaksa dipanjangkan agar lebih banyak cerita boleh disampaikan. Walaupun aku faham apa yang pengarah cuba lakukan, tetapi ia seakan tidak menjadi dan satu jam pertama menjadi sia-sia sahaja.

Pada awal filem, ia cuba mempertontonkan mangsa-mangsa sebelum Finney, sedikit sejarah keluarga Finney dan latar belakang mengenai kejadian penculikan. Namun ia tidak mencukupi dan tidak memuaskan. Sedangkan dalam satu jam pertama itu banyak perkara lain boleh dimasukkan untuk menjadikan filem ini lebih menarik untuk ditonton.

Filem ini pertama sekali tidak mempunyai sejarah Finney yang diceritakan dengan baik. Misalnya mengenai kemampuan adik beliau Gwen yang mimpi ketika tidur adalah perkara sebenar berlaku di dunia realiti. Mereka cuba kaitkan dengan mendiang ibu beliau, tetapi tidak tercapai seperti bagaimana boleh ada kemampuan ini atau kenapa. Bukan itu sahaja, paling aku tidak puas hati adalah tiada langsung cerita mengenai watak antagonis iaitu The Grabber.

Mereka tidak menjelaskan motif, siapakah beliau sebenarnya, kenapa pakai topeng dan apakah yang beliau mahukan sebenarnya? Adakah hanya kerana ada masalah mentah, psiko? Ada sebahagian filem, ia memberi petanda yang Grabber mungkin mempunyai ada kecelaruan identiti – tetapi tidak.

Elemen seram dalam filem ini juga tidak begitu seram dan adegan yang membuatkan aku terkejut pun tidak begitu hebat. Bahagian yang menjadi lebih menarik adalah sekitar 40 minit terakhir, yang mana aku sudah rasa teruja dan berdegup jantung. Namun ia terlampau pendek untuk aku rasa puas hati dengan hasil filem.

Kesimpulan

The Black Phone mempunyai satu konsep penceritaan yang menarik. Ia menggabungkan cerita penculikan, mimpi menjadi realiti dan cerita seram daripada roh-roh mangsa. Aku tidak rasa pernah tonton filem seperti ini, kalau ada pun mungkin sudah lama dan aku lupa. Aku sukakan apa yang filem ini cuba sampaikan, namun disebabkan satu jam ia meleret – agak bosan di dalam panggung wayang sehingga hampir tertidur.

Aku tidak rasa semua orang akan gembira dengan filem ini dan ia mungkin filem yang kurang sesuai ditonton di pawagam tempatan kerana ia banyak penggunaan bahasa kasar yang telah ditapis. Filem ini pada aku adalah filem yang lebih sesuai ditonton di rumah masing-masing melalui platform penstriman.

Apa-apa pun, aku harap kelak akan ada lebih banyak filem seram yang diadaptasi daripada cerpen – kerana ada banyak di luar sana yang menarik dan mempunyai cerita yang ada potensi untuk berjaya.

Filem ini diulas berdasarkan akses awal yang diberikan oleh UIP Malaysia. The Black Phone akan tiba di pawagam 23 Jun nanti.

The Black Phone
Tayangan Bermula 23 Jun
Finney diculik oleh The Grabber, tetapi mangsa sebelum muncul sebagai roh menelefon melalui The Black Phone membantu untuk membebaskan diri. Adik Finney, Gwen membantu polis melalui mimpi beliau yang boleh nampak kejadian silam
Positif
Konsep cerita yang menarik
Prestasi lakonan watak utama yang seronok
Negatif
Tidak mempunyai cerita yang memuaskan
Sedikit meleret dan panjang
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini