Brahmastra Part One: Shiva adalah filem adiwira baharu Bollywood yang akan ditayangkan di India September kelak. Filem ini adalah filem dalam dunia adiwira terbaru India, iaitu Astraverse dan terdapat tiga filem secara keseluruhan.
Dalam dunia Astraverse, terdapat masyarakat rahsia Brahmānsh yang sudah generasi demi generasi melindungi pelbagai senjata suci yang digelar Astras dan disembunyikan dari mata dunia. Astras paling merbahaya iaitu Brahmāstra telah bangkit dan mengugut untuk memusnahkan dunia.
Filem pertama dalam Astraverse ini akan memfokuskan watak Shiva lakonan Ranbir Kapoor, iaitu seorang jejaka muda yang sedang jatuh cinta pada Isha lakonan Alia Bhatt. Tetapi tanpa Shiva ketahui, beliau mempunyai kaitan dengan Brahmāstra dan memiliki kuasa api luar biasa yang dahsyat dan tidak memahaminya. Perkara ini memutarbelitkan hidup beliau.
Pengarah dan penulis filem ini adalah Ayan Mukerji, filem ini dikatakan adalah filem termahal dalam sejarah Bollywood setakat ini, ia dihasilkan oleh Star Studios, Dharma Productions, Prime Focus dan Starlight Pictures. Dari treler ia kelihatan mempunyai konsep yang menarik, cerita yang mungkin mengejutkan dan juga mempunyai kualiti kesan visual yang menakjubkan. Jelas sekali MCU adalah inspirasi dengan efek warna-warni terang, watak seakan Scarlett Witch, elemen Shang-Chi juga kelihatan.
Ranbir Kapoor, Amitabh Bachchan dan Alia Bhatt adalah antara watak utama. Shah Rukh Khan juga akan muncul dalam filem ini. Brahmastra Part One: Shiva ini akan diedarkan oleh Disney untuk pasaran global. Buat masa ini, masih tiada tarikh untuk tayangan di Malaysia lagi.