Selamat datang semula ke DokuRabu yang sudah empat putaran bulan tidak muncul di Aksiz kerana penulisnya pemalas dan sangatlah culas dalam mengikuti deadline yang diberikan. Sebenarnya artikel dihentikan seketika kerana masalah dengan laman penstriman yang menyukarkan proses tangkapan layar untuk melakukan ulasan. Dengan isu telah diselesaikan, masa untuk menyambung DokuRabu dengan dokumentari The Rescue.

Gua Than Luang Nang Non

The Rescue ialah dokumentari mengenai operasi menyelamatkan 13 orang yang terperangkap di dalam Gua Than Luang Nang Non di Chiang Rai pada tahun 2018. Insiden ini menjadi bualan dunia kerana pada awalnya ramai menyangka misi ini akan berakhir dengan tragedi memandangkan ia berlaku ketika musim hujan dan mangsa sudah agak lama hilang.

Dokumentari National Geographic sepanjang 107 minit ini akan membongkar kesemua usaha yang dilakukan, halangan yang perlu diselesaikan, elemen-elemen mistik yang berlaku dan bagaimana akhirnya 12 remaja dan jurulatih mereka dapat diselamatkan tepat pada masanya.

Tragedi berlaku selepas ahli pasukan Wild Boar memasuki gua Than Luang Nang Non untuk bersantai sebelum menyambut hari jadi salah seorang teman mereka. Insiden berlaku di bulan Jun ketika musim tengkujuh baru sahaja ingin bermula. Biasanya gua hanya ditutup pada bulan Julai kerana penduduk setempat arif dengan gua yang akan banjir serentak dengan musim tengkujuh.

Penyelamat Dari Seberang

Apabila misi menyelamat dimulakan, dari awal lagi pasukan Tentera Laut Diraja Thailand menyedari mereka tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan misi di dalam gua. Set kepakaran yang berbeza diperlukan untuk menjadi seorang penyelam gua dan di sinilah penyelam dari United Kingdom diterbangkan ke Chiang Rai dengan segera.

John Volanthen dan Richard Stanton adalah dua penyelam yang dikatakan antara yang terbaik di dunia. Hendak dijadikan cerita, Stanton mempunyai hubungan dengan seorang wanita Thailand yang berasal dari Chiang Rai. Teman wanita Stanton menghubungi beliau bagi memberikan bantuan segera.

Sejak dari awal lagi terdapat pelbagai masalah dihadapi seperti paras air yang semakin tinggi, deras dan berkeladak. Isu yang lebih besar ialah mencari lokasi pasukan bola sepak yang hilang dengan Than Luang Nang Non mempunyai banyak cabang yang berpuluh kilometer panjangnya.

Beberapa percubaan awal yang gagal hampir menyebabkan misi menyelamat hampir dihentikan lebih awal kerana boleh membahayakan nyawa penyelamat. Di saat akhir Kruba Boonchum, seorang sami terkemuka dari Myanmar dipanggil dan beliau mengesyorkan bahawa mangsa yang hilang masih lagi hidup. Beliau meramalkan mereka akan ditemukan selamat dalam masa beberapa hari tetapi dua nyawa perlu dikorbankan terlebih dahulu.

Insiden Mistik, Ramalan Maut Dan Elon Musk!

The Rescue bijak menggunakan grafik, narasi dari individu-individu yang terlibat, video sebenar dan lakonan semula untuk menceritakan setiap insiden mendebarkan yang berlaku. Tanpa mendedahkan sebarang spoiler, dokumentari ini mempunyai banyak twist and turn yang membuatkannya menjadi tontonan lebih menarik dari kebanyakan filem-filem yang boleh distrim sangat. Kadang kala cerita sebenar adalah lebih menarik berbanding karya fiksyen yang ditulis.

Idea untuk menyelamatkan kanak-kanak dari dalam gua yang tidak pernah dilakukan sebelum ini misalnya diceritakan dengan cukup baik. Pengorbanan orang setempat untuk membantu serta kematian yang berlaku (seperti yang diramalkan Kruba Boonchum) berjaya menyentuh perasaan.

Pelbagai insiden yang berlalu dipaparkan dengan cukup teliti kecuali insiden yang melibatkan Elon Musk. Bagi yang terluka, Elon menerbangkan kapal selam mini ke Chiang Rai bagi membantu misi menyelamat. Tindakan beliau dikritik oleh salah seorang penyelam dan Elon kemudian memanggil beliau seorang pedofil dalam pertelagahan di Twitter. Elon kemudian disaman tetapi mahkamah menyebelahi lelaki terkaya dunia.

Sekiranya anda ingin mengetahui bagaimana 13 orang berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 18 hari, siapakah dua individu yang terkorban sebelum misi berjaya dan apakah yang berlalu selepas itu? Dokumentari ini agak panjang hampir dua jam tetapi langsung tidak membosankan. The Rescue boleh distrim menerusi Disney+ Hotstar sekarang bagi mengembalikan kepercayaan bahawa kebaikan masih wujud di dunia yang sungguh kejam ini.

Tonton dokumentari The Rescue di Disney+ HotStar

The Rescue
Ditayangkan di Disney+ Hotstar
Cerita sebenar penuh liku, elemen mistik, mendebarkan dan akan mengembalikan kepercayaan anda dengan kebaikan spesis manusia.
Positif
Penceritaan menarik dan mendebarkan.
Gabungan video sebenar serta lakona semula yang efektif.
Negatif
Tiada
9

Sohor Kini