Jurassic World hadir untuk memberi nafas baharu kepada siri Jurassic yang bermula 27 tahun yang lepas melalui Jurassic Park akan tetapi filem pertama gagal melakukannya namun masih lagi satu filem yang seronok ditonton. Filem kedua, Jurassic World: Fallen Kingdom membawa perkara yang sama dan boleh dikatakan magis semakin pudar, manakala Jurassic World Dominion walaupun membawa premis yang berpotensi akan tetapi gagal untuk mengembangkannya dengan baik, menjadikan ia adalah satu filem yang sama sahaja dengan tiga filem sebelum ini dan gagal untuk memberi pemaknaan wujudnya filem ketiga ini dan juga trilogi Jurassic World sendiri selain daripada keuntungan yang mudah untuk Universal Pictures.
Meneruskan penceritaan daripada Fallen Kingdom, dinosaur- dinosaur telah terlepas dengan lebih terbuka, ini menjadi lebih terus apabila berlaku pembiakan haram dan juga penjualan di pasar gelap, membuatkan manusia terpaksa mencari cara sama ada untuk hidup bersama dengan dinosaur tersebut ataupun menghapuskan mereka. Ia adalah persoalan yang diguna pakai untuk tujuan promosi filem ini, namun mengecewakan ia tidak dikembangkan dengan lebih menyeluruh sebaliknya penceritaan kembali kepada penceritaan yang sudah beberapa kali digunakan oleh filem-filem Jurassic sebelum ini, terutama untuk trilogi yang pertama.
Biosyn adalah syarikat baharu yang ditubuhkan oleh kerajaan dunia untuk mengkaji mengenai dinosaur dan mencari cara untuk mengguna pakai teknologi DNA yang digunakan di dinosaur tersebut, untuk digunakan bagi membantu dalam perubatan manusia. Namun, seperti biasa, ia bukanlah satu syarikat yang beretika dan mempunyai rahsia-rahsia tersendiri. Penceritaan juga menyentuh mengenai Maisie Lockwood lakonan Isabella Sermon yang diperkenalkan di dalam filem yang lepas yang kini di bawah jagaan Owen Grady lakonan Chris Pratt dan Claire Dearing lakonan Bryce Dallas.
Laura Dern, Jeff Goldblum, Sam Neill juga kembali untuk membawa watak-watak mereka iaitu Dr Ellie Sattler, Dr Ian Malcom dan Dr Alan Grant. Kisah mereka bertembung apabila Maisie Lockwood menjadi sasaran Biosyn, dan ketiga-tiga mereka sedang mencari bukti kesalahan yang dilakukan oleh syarikat tersebut. Menggunakan watak-watak ini sudah semestinya baik untuk nostalgia, ditambah dengan watak-watak trilogi baharu seharusnya memberi dinamik penceritaan yang baik akan tetapi ia terasa sangat biasa sahaja.
Saya bukanlah pengikut tegar siri Jurassic, namun saya merasakan yang pengikut trilogi asal pun tidak akan terlalu teruja dengan kembalinya watak-watak tersebut oleh kerana cara penyampaian terasa sedikit lemah. Ia bukanlah di tahap di mana Spider-man: No Way Home menggunakan pakai nostalgia untuk menjadikan bukan sahaja tarikan kepada penonton lama, tetapi berjaya menjadikan penceritaan lebih bermakna.
Saya juga tidak merasakan perhubungan di antara Owen Grady dan Claire Dearing dilakukan dengan baik, perhubungan mereka terasa memaksa, ini ditambah lagi hadirnya Maisie Lockwood, menjadikan dinamik lebih terganggu dan tidak memberi emosi yang sepatutnya diberikan oleh mereka. Perkara yang sama untuk Dr Ellie Sattler, Dr Ian Malcom dan Dr Alan Grant, akan tetapi oleh kerana mereka sudah mempunyai perhubungan yang baik sebelum ini, watak-watak mereka membawa impak yang lebih baik sepanjang penceritaan ini.
Satu lagi masalah mengenai filem ini, dinosaur-dinosaur yang diperlihatkan tidak lagi memberi perasaan mengagumkan seperti mana kita pertama kali melihat di dalam Jurassic Park. Masalah ini adalah perkara yang sama berlaku di dalam filem pertama untuk Jurassic World lagi, diteruskan di filem kedua dan terasa lebih lagi di filem ketiga. Satu-satunya perkara menarik mengenai dinosaur ini adalah apabila memasuki adegan-adegan cemas dengan terasa gerun apabila mereka sedang memburu, namun adegan ini hadir dengan jumlah yang sedikit sahaja.
Jadi adakah Jurassic World Dominion satu filem yang membosankan? Tidak, ia masih lagi satu filem aksi yang menarik dan juga masih lagi seronok untuk ditonton di pawagam, namun ia tidak lebih daripada satu filem popcorn flick sahaja. Walaupun dinamik perhubungan terasa janggal akan tetapi penyampaian lakonan adalah baik dan selain beberapa watak utama tersebut terdapat juga beberapa lagi watak lain yang serba sedikit membantu untuk menyerikan lagi penceritaan.
Ia juga mempunyai beberapa permasalahan yang menjadikan filem ini menarik untuk terus diikuti, walaupun setiap permasalahan ini adalah perkara yang sama dengan sebelum ini, dan mudah untuk dijangka penyelesaiannya akan tetapi ia masih cukup baik untuk memberi hala tuju kepada filem ini dan mengelak daripada ia terasa bosan.
Akhir kata, Jurassic World Dominion walaupun gagal untuk hadir dengan penceritaan yang memberi pemaknaan bagi filem ini, masih lagi satu filem yang seronok terutama yang sekadar ingin melihat aksi-aksi melawan dinosaur. Namun, masih mengecewakan kerana premis penceritaan mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu filem cereka sains yang baik dengan kerumitan tersendiri, tetapi mereka memilih untuk menggunakan satu jalan cerita yang sudah beberapa kali diulang termasuk juga di dalam filem ini sendiri.
Persoalan bagaimana dinosaur boleh hidup bersama dengan manusia yang diguna di dalam pemasaran, hanya disentuh di bahagian akhir dengan tidak benar-benar memberi jawapan yang memuaskan hati.
Penafian: Tayangan awal untuk Jurassic World Dominion disediakan oleh UIP bagi tujuan ulasan ini.