Ulasan Interceptor – The Rock Lite Untuk Tontonan Ringan

Aku menulis ulasan ini di hari Sabtu selepas seharian bertugas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Habis berdiri selama empat jam mempromosikan laman Aksiz kepada pengunjung yang datang. Badan jadi penat, kaki rasa seperti spageti dan pinggang rasa seperti seakan baru dihentam oleh Bane.

Kerana penat aku memilih untuk santai dengan menonton filem Interceptor yang baru sahaja ditawarkan di Netflix minggu ini. Berdasarkan treler di YouTube, Interceptor ialah sebuah filem aksi yang nampak kompeten dengan watak utama dipegang oleh Elsa Pataky a.k.a isteri kepada Chris Hemsworth. Walaupun nampak klise aku gagahkan juga menonton kerana tiada pilihan lain yang menarik untuk distrim.

Plot

Interceptor ialah nama yang diberikan kepada platform menangkis peluru berpandu balistik yang digunakan oleh Amerika Syarikat bagi mempertahankan negara dari serangan musuh. Di dunia sebenar Interceptor tidak wujud dan sistem paling hampir dengannya ialah Iron Dome yang digunakan oleh Israel. Filem bermula dengan salah satu dari dua platform Interceptor telah diserang oleh sekumpulan pengganas yang tidak didedahkan identitinya.

Captain JJ Collins (Elsa Pataky) tiba ke SBX-1 salah satu platform Interceptor yang masih beroperasi. Kita diberitahu beliau diberikan tugasan yang membosankan ini kerana sebuah insiden gangguan seksual yang menyebabkan kerjaya beliau terbantut. Hanya selepas beberapa minit memulakan tugas di SBX-1, berita platform Interceptor lain diserang dan 16 peluru berpandu nuklear Topol M telah berjaya dicuri oleh pengganas di Rusia.

Kumpulang pengganas ingin memusnahkan kesemua Interceptor bagi memastikan 16 peluru nuklear yang dilancarkan akan memusnahkan 16 bandaraya utama Amerika Syarikat. Masa depan kewujudan Amerika Syarikat kini terletak di tangan Kapten JJ dan krew Interceptor yang masih terselamat.

The Rock Lite?

Filem ini memberikan aku perasaan dejavu. Seakan filem The Rock arahan Michael Bay cuma diterbalikkan. Dalam The Rock, Stanley Goodspeed (Nicolas Cage) dengan menghalang 16 roket mengandungi gas saraf VX dari menyerang San Francisco oleh sekumpulan askar di Alcatraz yang inginkan keadilan ke atas kematian rakan di Perang Teluk.

Dalam Interceptor, protagonis Alexander Kessel (Luke Bracey) ingin melancarkan 16 perlu berpandu dari Rusia dengan Kapten JJ ingin memintasnya dari sebuah platform terapung di tengah lautan seakan Alcatraz.

Ada beberapa babak pengenalan Alexander Kessel yang mirip watak General Hummel dalam The Rock juga. Bezanya cuma General Francis X Hummel melakukan pengkhianatan ke atas Amerika Syarikat demi keadilan manakala Kessel melakukannya sebab tidak berpuas hati dengan sesuatu yang apabila ia diterangkan di dalam filem akan membuatkan penonton berkata “apa punya alasan ni?”

Watak protagonis dan motivasi kejahatan dilakukan adalah sangat tidak kukuh adalah kelemahan utama. Kelemahan sekunder ialah watak tambahan yang tidak menyerlah dan kemudian dimatikan tanpa impak ke atas penonton.

Tetapi ini sebuah filem aksi ringan tontonan musim panas. Anda tidak menonton filem seperti ini untuk mendapat pencahayaan agung seperti menonton filem The Man From Earth, The Prestige atau Sicko. Anda menonton filem seperti ini untuk aksi, orang jahat mati dengan ganas dan set piece yang mendebarkan.

Aksi Menarik Walaupun Klise

Aksi dalam filem ini boleh tahan dengan siapa sanga Elsa Pataky boleh menjadi pelakon aksi yang sado seperti suami beliau. Sepanjang filem beliau memakai t-shirt putih tidak berlengan seakan John McClane cuma tanpa dialog ikonik “Yippee ka-yay” sahaja. Jelas JJ Collins ialah watak homage kepada watak Bruce Willis.

Ada beberapa babak bergaduh yang agak kreatif dengan penggunaan pistol yang kreatif. Tetapi pada waktu yang sama arahan dalam filem ini tidak konsisten kerana ini merupakan filem pertama arahan Matthew Reilley. Ini ialah Matthew Rielley penulis buku aksi blokbuster Ice Station dan Seven Ancient Wonders. Selama ini Rielley dikutuk dunia penulisan kerana novel-novel aksi beliau lebih banyak aksi dari plot. Beliau sendiri mengaku setiap buku beliau ditulis dengan harapan akan diadaptasi menjadi filem.

Interceptor ialah karya asal beliau dan bukan adaptasi dari siri popular Jack West Jr dan Shane Shofield yang beliau terbitkan sejak 1998. Mungkin Interceptor ialah percubaan beliau untuk membuktikan beliau boleh mengarah dan jika filem ini mendapat sambutan dua siri buku beliau yang disebutkan tadi boleh difilemkan.

Reilley Bukan Garland

Dalam hal ini Reilley masih belum di tempat yang sama seperti Alex Garland yang berjaya mengubah kerjaya dari seorang penulis The Beach lakonan Leo DiCaprio sebelum mengarah filem Ex Machina yang menerima pujian pengkritik.

Percubaan awal Reilley tidak akan memenangi sebarang anugerah kerana amat klise dan kelemahan beliau mengarah babak berlawan adalah amat ketara. Tetapi Interceptor masih menghiburkan untuk tontonan petang ringan hujung minggu lengkap dengan cameo yang kelakar dari seorang bintang filem besar Hollywood. Cabut otak untuk 96 minit dan anda akan dapat melihat Elsa Pataky menjadi bintang aksi wanita yang setanding dengan suami beliau.

kini d Netflix
Filem aksi ringan yang klise tetapi masih menghiburkan dengan aksi menarik.
Positif
Elsa Pataky boleh menjadi pelakon aksi.
Terdapat banyak aksi menarik.
Tidak membosankan.
Negatif
Arahan babak aksi agak lemah kerana pengarah kali pertama.
Motivasi watak antagonis tak masuk akal.
Plot berlubang.
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini