Setiap insan di dunia mempunyai pendapat peribadi siri TV manakah yang paling kelakar. Jika Generasi X ditanya, majoriti akan menjawab Friends dengan Chandler ialah ikon jenaka sarkastik terbaik. Bagi yang lebih muda jawapan yang biasa aku dengar ialah How I Met Your Mother atau Bing Bang Teori.

Semua jawapan yang diberikan mempunyai merit masing-masing kecuali jika ada yang memilih How I Met Your Father (HIMYF). Siri spinoff HIMYM ini terlalu teruk sehingga aku tak sanggup menulis artikel Sinema Sampah Sabtu untuk mengulasnya di Aksiz. Terlalu teruk sehingga selepas menonton 3 episod aku mengangkat bendera putih kerana gagal ketawa walaupun sekali.

Tetapi kita di sini bukan untuk membincangkan HIMYF tetapi Malcolm in The Middle (MITM) yang merupakan pilihan peribadi aku untuk siri komedi terbaik di awal 2000an. Awal 2000an ialah
saeculum aureum untuk TV.

Terdapat banyak rancangan yang kini mencapai status kultus ke udara. Tak percaya? The Wire, Firefly, Buffy The Vampire Slayer, Scrubs, The O.C, The Sopranos dan C.S.I : Crime Scene Investigation adalah antara rancangan mantap yang ke udara pada waktu ini. Siri-siri ini sangat mantap sehingga sesiapa yang berumur 35 tahun ke atas boleh menyanyikan lagu tema tanpa perlu meng-Google terlebih dahulu liriknya.

Malcolm in The Middle adalah pilihan aku kerana ia adakah siri komedi keluarga yang berani menunjukkan situasi sebenar kehidupan membesar dalam keluar kelas pertengahan di Amerika Syarikat. Di peringkat awal semasa mula menonton aku melihatnya sebagai The Simpsons tetapi versi aksi nyata.

Tetapi watak keluarga Malcolm adalah lebih realistik. Abang sulung Francis yang nakal sehingga terpaksa dihantar ke sekolah budak-budak jahat. Reese pula ialah anak kedua yang sama tak kurang nakalnya tetapi dungu. Malcolm pula ialah genius dalam keluarga yang dianggap bodoh dan akhir sekali Dewey anak bongsu yang kerap menjadi mangsa keadaan.

Watak utama ialah Malcolm tetapi yang membuatkan aku menonton siri TV ini minggu demi minggu dari tahun 2000 hingga 2006 ialah Hal – yang dilakonkan oleh Bryan Cranston sebelum beliau meletup kerana siri Breaking Bad. Lois lakonan Jane Kaczmarek juga mantap sebagai ibu yang terseksa dengan empat anak jantan berperangai setan.

Jika anda tidak pernah menonton MITM tetapi mengenali Cranston dari Breaking Bad, melihat perbezaan watak Hal dan Walter White akan membuatkan anda menyedari mengapa beliau dilihat sebagai antara pelakon paling berbakat dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Dua watak yang berada di dua hujung ekstrem spektrum dilakonkan oleh beliau dengan cukup sempurna.

Malcolm si genius enggan dilihat sebagai budak pintar kerana menjadi mangsa buli di sekolah. Ini ialah realiti sebenar bagi budak yang berotak di sekolah. Walaupun bijak, masalah kewangan membuatkan kehidupan Malcolm lebih mencabar dari sepatutnya. Kebijaksanaan digunakan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki. Kepakaran berbohong, mencari jalan pintas dan mengelat bukan sahaja dari adik beradik yang nakal tetapi juga dari ibu bapa cukup menghiburkan.

Pengajaran dari MITM ialah dunia ini bukan cerita dongeng. Yang miskin akan terus ditekan tenggorok oleh orang kaya dan hanya kebijaksanaan dalam apa jua bentuk sahaja akan membebaskan diri dari terus menjadi mangsa sistem. MITM tidak takut untuk menyentuh isu serius ketidakadilan sistem kelas, perkauman, buli, gaji rendah, dan banyak lagi dengan menggunakan komedi.

Pujian harus diberikan kepada pencipta siri ini Linwood Boomer yang menggunakan pengalaman peribadi untuk menghasilkan siri komedi yang rasakan masih belum mampu ditandingi bukan sahaja kerana ianya kelakar tetapi padat dengan mesej subversif tersirat

Oleh sebab inilah Malcolm in The Middle sangat relatable bagi aku pada tahun 2000 sebagai seorang anak dan semakin relatable sekarang sebagai seorang bapa pada tahun 2022.

Tonton dua musim Malcolm in The Middle di Disney+ Hotstar sekarang.

Sohor Kini