Sonic The Hedgehog adalah filem aksi nyata yang diadaptasi daripada permainan video klasik, Sonic. Filem pertama pada awalnya menerima kritikan kerana treler acah memperlihatkan rekaan watak yang tidak sama dengan rekaan asal. Selepas ia diubah semula, ia mula diterima ramai dan maklum balas filem ini juga cukup baik – lebih-lebih lagi untuk sebuah filem yang diadaptasi daripada permainan video.

Tidak banyak filem sebegini berjaya, Sonic adalah di antara yang hebat. Kejayaan ini membuatkan filem kedua diteruskan. Filem kedua sudah semestinya akan bersambung secara terus daripada filem pertama dengan kisah Robotnik kembali dari Planet Cendawan untuk memusnahkan dunia, Sonic yang nakal dan hebat ini bertemu dengan Tails serta ada pesaing baharu iaitu Knuckles.

Filem ini juga tidak melupakan watak manusia yang ada, iaitu Tom, Maddie, Wade, Rachel, Stone, Randall dan beberapa lagi yang lain. Sonic The Hedgehog 2 adalah filem pengembaraan aksi dan juga kekeluargaan. Elemen lucu, sedih dan drama semua ada dalam filem ini sebagaimana filem pertama juga.

Kisah dalam filem kedua ini adalah pertama sudah tentu Robotnik yang ingin balas dendam kepada Sonic atas kegagalan beliau. Untuk Knuckles pula, beliau hanya inginkan keadilan selepas satu peristiwa silam yang menyedihkan berlaku untuk spesis beliau melibatkan Sonic dan Tails pula hanya inginkan teman agar tidak keseorangan. Dalam pada itu, kisah manusia turut diberi fokus seperti mengenai kejujuran dan kisah cinta di antara dua watak.

Perjalanan filem ini tidak begitu teruk sepertimana yang beberapa ulasan yang sudah ada di luar sana. Ia sedikit perlahan pada hemat aku, dengan sudah membina ke arah jalan cerita yang kelihatan menarik dan tidak sabar ingin nantikan apa yang berlaku – Sonic banyak pula membebel, banyak bercakap dan ada adegan tarian yang pada hemat aku satu pembaziran masa. Apa yang pencipta filem inin cuba sampaikan aku faham sahaja, malah ia mudah untuk diikuti dan tidak terasa aneh atau janggal.

Misi Sonic dalam filem ini adalah melindungi semua orang yang beliau sayang dan dunia daripada ancaman Robotnik yang pada aku agak mengarut tetapi menghiburkan. Sonic telah diwasiatkan untuk menjaga sejenis Zamrud yang boleh memberi kuasa yang jika jatuh ke tangan orang tidak bertanggungjawab – bahaya akan melanda. Boleh dikatakan cerita filem ini dan filem pertama adalah lebih kurang sama.

Pembinaan perwatakan di antara Sonic dan Tails kelihatan menarik, namun ia sedikit meleret menjadikan interaksi di antara manusia kurang dan seakan menonton filem kartun CGI sahaja. Sonic mempunyai perubahan watak yang dilihat ada potensi untuk menjadi lebih matang dan akan berada di dalam kawalan beliau sendiri nanti. Knuckles juga mempunyai perwatakan yang menarik dan aku agak terkejut yang suara Idris Elba tidak kedengaran seakan suara beliau. Suara yang diberikan untuk Knuckles ini agak baik, menggerunkan pun ada.

Watak Stone iaitu pembantu Robotnik dilihat ada potensi untuk pergi jauh dalam filem-filem sekuel. Aku rasa bahagian ini anda perlu tonton sendiri dan mungkin boleh faham kenapa beliau setia dengan Robotnik. Robotnik pula adalah antara sebab utama aku tonton filem ini, iaitu untuk melihat gelagat Jim Carrey. Beliau sekali lagi membawakan prestasi yang menakjubkan, lucu dan memberikan aku satu pengalaman menonton yang memuaskan. Jika benar beliau akan bersara dari dunia lakonan, aku rasa apa yang beliau sumbangkan dalam filem ini adalah memadai.

Watak manusia lain kali kurang menarik, kerana penglibatan mereka tidak begitu banyak. Ada pasukan daripada kerajaan sudah memantau haiwan aneh seperti Sonic, dan ingin cuba menghentikan Robotnik seperti filem pertama – tetapi tidak begitu hebat dan rasa hambar sahaja. Kisah cinta dalam ini juga kurang, yang mana baik sekali kerana filem ini sesuai untuk kanak-kanak dan tidak perlukan banyak elemen romantis ini.

Komedi dalam filem ini sedikit cringe, ada juga yang berlebihan yang mana patutnya penulis tahu di manakah had untuk berhenti melawak. Ada banyak juga rujukan kepada filem-filem dan isu semasa, yang pasti akan membuatkan penonton ketawa.

Sinematografi dalam filem ini dilihat adalah lebih baik daripada filem pertama, kerana mereka telah belajar daripada kesilapan lalu. CGI dalam filem ini cukup baik dan ada banyak adegan butiran pada Sonic, Tails dan Knuckles nampak cantik dan menarik. Penggunaan kamera juga tidak memeningkan dan mampu memberikan satu suasana yang baik dan penonton juga boleh ikut tanpa rasa menyampah.

Filem ini adalah filem untuk keluarga yang menarik. Peminat setia Sonic, jika ikuti jalan cerita dalam permainan video akan rasa gembira dengan apa yang disampaikan. Untuk aku, ada beberapa bahagian membuatkan aku sedikit menguap tetapi tidaklah sehingga mengantuk untuk terus terlentok. Jika belum tonton yang pertama boleh sahaja tonton filem ini – cuba ada sedikit rujukan mungkin akan mengelirukan. Jika sudah tonton filem pertama, filem ini akan rasa biasa sahaja kecuali pada bahagian aksi yang lebih menarik dan lebih syok untuk tonton.

Filem ini akan akan ditayangkan kepada umum bermula 21 April dengan tayangan Sneak Peek pada 18-19 April. Artikel ini ditulis berdasarkan akses awal yang diberikan oleh UIP Malaysia.

Sonic The Hedgehog 2
Akan Ditayangkan Pada 21 April
Robotnik kembali dalam usaha menjahanamkan dunia. Sonic kini dibantu oleh Tails dan turut diganggu oleh Knuckles. Misi utama kali ini adalah untuk mencari batu zamrud legenda yang mempunyai kuasa dahsyat, di mana jika berada di tangan salah - ia boleh menjadi merbahaya. Adakah Sonic mampu menewaskan Robotnik?
Positif
CGI yang semakin baik
Aksi yang lebih padat dan menarik
Negatif
Penceritaan yang sedikit bosan
Interaksi Sonic dan manusia kurang berbanding filem pertama
7
Skor Ulasan

Sohor Kini