Skip to main content

Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore mempunyai pelbagai elemen menarik yang cuba disampaikan, namun ia mungkin terlalu banyak yang mengakibatkan penceritaan bercelaru, dan juga menjadikan beberapa perkara yang penting sebelum ini tiba-tiba menjadi satu yang boleh dianggap sebagai sampingan sahaja.

Ia masih lagi membawa magis dunia Harry Potter, dan saya boleh katakan filem kali ini lebih menarik berbanding filem kedua tetapi kurang jika ingin dibandingkan dengan filem pertama yang mempunyai penceritaan yang lebih ringkas menjadikan ia lebih menarik untuk diikut. Namun, Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore mempunyai masalah cuba menjadi terlalu banyak perkara terlalu cepat.

Meneruskan penceritaan daripada filem kedua iaitu Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald, Grindelwald yang kini dilakonkan oleh Mads Mikkelsen mula melakukan perancangan untuk menjadikan golongan-golongan sihir sebagai lebih berkuasa dan tidak lagi perlu bersembunyi. Pada masa sama Albus Dumbledore lakonan Jude Law juga mempunyai rancangan sendiri dengan mendapat bantuan Newt Scamander lakonan Eddie Redmayne.

Pertarungan “cat and mouse” di antara Grindelwald dan Dumbledore adalah baik tetapi kurang menarik, melihat bagaimana setiap rancangan dilakukan dengan jayanya adalah satu kepuasan secara tersendiri. Namun, ia terasa berat sebelah kerana filem ini lebih ingin menjadikan Dumbledore adalah seorang yang lebih bijak membuatkan Grindelwald terasa lemah dan tidak terasa mereka setaraf, ini menjadikan keseluruhan perkara ini kurang menarik bagi saya.

Filem ini juga mempunyai masalah kerana cuba melakukan terlalu banyak perkara, walaupun ia berkait tetapi ingin mengikuti apa yang berlaku terasa penat, ia juga akan memberi masalah kerana setiap daripada perkara tersebut tidak sempat untuk dikembangkan dengan baik. Sebagai contoh, watak Credence yang menjadi fokus utama untuk dua filem yang lepas, tiba-tiba menjadi satu watak sampingan sahaja di dalam filem kali ini yang bagi saya sangat mengecewakan.

Selain watak, terdapat juga masalah mengenai perihal-perihal dunia magis ataupun lore, filem ini banyak memperkenalkan sesuatu yang baharu, ia sudah semestinya menarik akan tetapi apabila terlalu banyak ia terasa sangat artificial dan saya tidak dapat mengelak daripada merasakan yang perkara-perkara tersebut adalah sekadar untuk memudahkan penjalaan plot sahaja.

Antara perkara positif yang saya boleh katakan di dalam filem ini adalah efek-efek serta adegan pertempuran yang bagi saya dilakukan dengan sangat mendebarkan. Melihat pelbagai jenis magis yang dilakukan sudah semestinya sentiasa menjadi tarikan untuk saya tonton filem berdasarkan dunia Harry Potter dan ia adalah tidak mengecewakan.

Seterusnya adalah prestasi lakonan yang baik dari kebanyakan pelakon. Mads Mikkelsen sebagai Grindelwald dengan cepatnya menjadikan watak tersebut sebagai dirinya sendiri dan ia adalah lebih baik berbanding apa yang dibawa oleh Johnny Depp, terutama dengan apa yang cuba dilakukan oleh Grindelwald di dalam filem ini. Namun, seperti yang saya katakan di atas, sedikit perkara yang mengecewakan adalah watak Grindelwald tidak dilakukan dengan baik dan terasa kurang menarik.

Jude Law kali ini juga telah diberikan lebih banyak ruang untuk terlibat di dalam filem ini, dan dengan apa yang berlaku dia akan terus menjadi watak yang penting untuk dua lagi filem yang akan datang. Penyampaian yang dilakukan oleh Jude Law adalah baik, dan dia menjadi protagonis utama di filem ini yang merupakan adalah satu perkara yang baik. Namun, Dumbledore yang saya kenali daripada filem-filem sebelum ini adalah watak yang mempunyai pelbagai lapisan perwatakan, di dalam filem ini ia terasa seperti satu lapisan sahaja iaitu watak yang baik.

Newt Scamander lakonan Eddie Redmayne juga adalah seperti yang kita sudah lihat daripada filem-filem sebelum ini, namun kali ini watak dia berada di bawah bayangan Dumbledore yang mengambil pentas utama kali ini, yang secara sendirinya adalah sedikit mengecewakan, ini ditambah lagi ia juga bermakna yang perhubungan Scamander dengan bintang-binatang tidak lagi menjadi fokus, satu masalah yang sama dengan filem kedua dan perkara menarik di dalam filem pertama.

Ia tidak bermaksud yang tiada fokus mengenai binatang-binatang, ia masih lagi menjadi sebahagian daripada plot, mencukupi untuk masih memanggil filem ini sebagai “Fantastic Beasts” bahkan ia juga adalah bahagian yang penting di bahagian akhir filem.

Bercakap mengenai bahagian akhir, ia juga boleh dikatakan mengecewakan, dengan pembinaan plot yang dilakukan di dalam filem ini, pengakhiran terasa sangat selamat dan kurang memuaskan. Benar ia adalah pengakhiran untuk filem ketiga daripada lima filem yang dirancang akan tetapi cara ia dilakukan terasa bosan dan berbanding dengan pengakhiran untuk dua filem sebelum ini, pengakhiran kali ini tidak membuatkan saya ternanti-nanti untuk filem seterusnya.

Akhir kata, Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore ia masih lagi satu filem yang baik dan menarik untuk ditonton terutama yang sudah mengikut siri filem ini daripada awal. Mengecewakan kerana banyak bahagian yang sepatutnya dilakukan dengan lebih baik terasa tenggelam dengan pelbagai lagi bahagian-bahagian yang juga mempunyai masalah yang sama.

Ada masa penceritaan yang rumit menjadi menarik jika dilakukan dengan baik, akan tetapi bagi filem ini ia gagal untuk disampaikan dengan berkualiti, mengakibatkan ia terasa sedikit bercelaru, adalah lebih baik jika mengambil penceritaan yang lebih ringkas dan mudah untuk diikuti, yang akan memberikan lebih ruang untuk perkembangan watak serta penceritaan yang lebih berkesan.

Penafian: Tayangan awal untuk Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore disediakan oleh Warner Bros Malaysia. Ia akan mula ditayangkan pada 14 April 2022.

Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore
Penantian lebih 3 tahun untuk filem seterusnya bagi siri Fantastic Beasts sedikit mengecewakan. Ia mempunyai pelbagai penceritaan yang cuba disampaikan dengan terlalu cepat menjadikan perkembangan tidak berlaku dengan baik.
Positif
Lakonan Yang Baik
Kesan Efek Yang Berkualiti
Negatif
Penceritaan Tidak Disampaikan Dengan Baik
Sesetengah Watak Dibazirkan
7

Leave a Reply