GSC adalah syarikat panggung wayang di Malaysia yang cukup terkenal. Mereka juga adalah syarikat yang mengambil-alih MBO sebelum ini. Walaupun biasanya pihak panggung wayang takut akan platform penstriman video, GSC dilihat tidak. Kenapa?

Dalam aplikasi GSC baru-baru ini, terdapat ikon baharu di bar bawah iaitu GSCNow. Apabila ditekan ia membawa pengguna ke laman web mereka menyatakan yang mereka bakal hadir dengan platform penstriman video tersendiri untuk menawarkan kandungan Blockbuster pada peranti-peranti pintar.

Masih tidak jelas dengan perkhidmatan yang GSC cuba tawarkan ini. Tetapi mereka dilihat bekerjasama dengan GetPlay iaitu satu lagi platform penstriman video tempatan. GetPlay dilihat menggunakan sistem tebus tiket sebagai “langganan”, contohnya filem Insurgent memerlukan dua tiket dan satu tiket bernilai 50 sen – menjadikan harga untuk tonton filem ini adalah RM1. Pelan tiket paling mahal setakat ini adalah RM20 dengan 50 tiket.

Selain filem yang perlu ditebus dengan tiket, GetPlay turut dilihat menawarkan perkhidmatan penstriman TV siaran langsung, podsiar, muzik dan juga terdapat akses percuma untuk kandungan terpilih. Butiran lanjut GSCNow dengan GetPlay masih belum rasmi, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini