Aku adalah seorang yang kaki menonton pelbagai jenis siri TV, dokumentari dan filem. Kegemaean aku bukan sahaja yang seram ngeri, komedi, adaptasi komik – tetapi antologi yang menarik seperti American Horror Story, Black Mirror, terkini The Boys: Diabolical semua aku layan. Pernah juga aku ulas siri antologi Apple TV+ yang mana ia hanya disampaikan melalui audio dan visual seakan frekuensi.

Paling baru daripada Apple adalah Roar, siri TV komedi pahit (dark comedy) memfokuskan kepada wanita. Antara pelakonnya adalah Nicole Kidman (pelakon dan penerbit eksekutif), Cynthia Erivo, Issa Rae, Merritt Wever, Alison Brie, Betty Gilpin, Meera Syal, Fivel Stewart dan Kara Hayward.

Di atas adalah treler yang Apple kongsi untuk siri ini. Ia adalah antologi komedi dongeng kewanitaan. Siri ini mempunyai lapan episod dan pelbagai genre termasuk magis dan seram psikologi. Antara perkara aneh yang akan berlaku dalam episod-episod ini adalah wanita yang memakan kepingan gambar menjadi perkara biasa, bercinta dengan itik, ada juga yang suka duduk di dinding sebagai trofi – tetapi masalah utama mereka ini dikatakan adalah universal.

Siri ini akan mula disiarkan di Apple TV+ secara eksklusif pada 15 April akan datang. Jika siri komedi pahit dan kisah yang fokus kepada wanita adalah kegemaran anda, nantikan siarannya kelak.

Sohor Kini