Sewaktu acara AnimeJapan yang berlangsung pada hujung minggu yang lalu, Netflix sekali lagi memperlihatkan sejumlah siri anime yang akan ditayangkan dalam masa terdekat ini. Beberapa daripada siri tersebut, seperti Baki Hanma dan Kotaro Lives Alone sudahpun disiarkan, tetapi terdapat sejumlah lagi siri anime yang hanya akan ditayangkan tidak lama lagi.

Thermae Romae Novae

Thermae Romae merupakan sebuah siri manga dan anime yang sangat popular pada awal 2010 dimana penulisnya, Mari Yamazaki memenangi anugerah Osamu Tezuka Cultural Prize pada tahun 2010, dan manga ini diadaptasi kepada sebuah anime pada tahun 2012.

Kini, Netflix mengumumkan bahawa mereka akan menayangkan siri anime tersebut dengan olahan mereka sendiri yang dinamakan Thermae Romae Novae. Anime ini berkisahkan tentang seorang watak dari zaman Roman Greece yang bernama Lucius, iaitu seorang pereka rumah mandian di negara tersebut.

Lucius dilihat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan idea baik untuk rekaan rumah mandiannya, dan pada suatu hari telah merentas masa ke zaman moden Jepun yang cukup terkenal dengan pelbagai rumah mandian dan juga kolam air panas mereka.

Dari sini, Lucius mendapat pelbagai idea baru tentang apa yang boleh diimplimentasi di rumah mandiannya sendiri, dan ia memperlihatkan juga budaya rumah mandian di Jepun. Thermae Romae Novae akan ditayangkan di Netflix bermula 28 Mac ini.

Bubble

Bubble merupakan sebuah kisah pasca-apokalips dimana graviti merupakan sesuatu yang tidak difahami lagi. Bandar Tokyo juga dilihat telah dipisahkan daripada dunia akibat gelembung graviti yang menyerang bandar tersebut secara tiba-tiba.

Filem anime ini menceritakan tentang dua watak; Hibiki yang merupakan seorang atlit parkour yang terkenal untuk gaya lincah yang berbahaya, dan juga Uta, seorang watak yang muncul menyelamatkan Hibiki apabila dia tenggelam kedalam laut.

Bubble memperlihatkan rekaan watak oleh Takeshi Obata yang dikenali untuk rekaan watak dalam siri Death Note, penceritaan oleh Gen Urobuchi, yang terkenal untuk penulisan dan penceritaan anime-anime seperti Fate/Zero dan juga Madoka Magica dan olahan runut bunyi oleh Hiroyuki Sawano yang terkenal untuk audio kepada siri anime seperti Attack on Titan, Aldnoah.Zero, 86 dan Mobile Suit Gundam: NT.

Bubble akan ditayangkan di Netflix pada 28 April ini.

Tiger & Bunny Musim 2

Tiger & Bunny merupakan sebuah siri anime yang cukup menarik apabila ia ditayangkan buat kali pertama. Ia mengisahkan tentang dunia adiwira yang telah dikomersilkan, lengkap dengan iklan pada bahagian perisai dan baju besi adiwira-adiwira ini.

Mereka bukan sahaja perlu memastikan keamanan dijaga, tetapi juga perlu meningkatkan populariti mereka dan menjamin bahawa syarikat-syarikat yang membiaya adiwira-adiwira ini kekal beroperasi.

Musim kedua Tiger & Bunny memperlihatkan dua watak Kotetsu T. Kaburagi dan Barnaby Brooks Jr. memainkan semula watak utama dimana mereka turut berusaha untuk menjadi King of Heroes. Populariti adiwira yang semakin meningkat memperlihatkan lebih ramai orang menjadi adiwira, mereka juga perlu memastikan populariti mereka tidak ditenggelami zaman.

Ultraman Musim 2

Pada tahun 2019, Netflix memperkenalkan siri animasi 3D Ultraman yang menyambung jalan cerita daripada siri Ultraman yang asal dengan memperlihatkan watak-watak Ultraman terbaru hampir serupa seperti cerita Super Sentai, memakai sut adiwira.

Ultraman musim kedua akan memperlihatkan watak-watak baru Ultraman Zoffy, Jack dan Taro, termasuklah watak-watak sebelum ini, Ultraman, Ultraman Seven dan Ace daripada musim pertama. Penceritaan musim kedua dilihat akan bersambung daripada penghujung musim kedua, dimana mereka memperlihatkan makhluk asing sekali lagi cuba untuk menakluk Bumi.

Musim kedua Ultraman akan ditayangkan di Netflix pada 14 April ini.

Vampire In The Garden

Vampire In The Garden memperlihatkan sebuah dunia dimana manusia tewas di tangan pontianak. Sekumpulan manusia yang selamat selepas tewas dalam peperangan dilihat telah membina sebuah komuniti disebalik tembok cahaya untuk memastikan mereka tidak diserang.

Permaisuri pontianak yang bernama Fine yang dikatakan menghilangkan diri sewaktu peperangan ini bertembung dengan seorang budak perempuan yang bernama Momo, dan bersama mereka cuba mencari Paradise, iaitu sebuah tempat dimana pontianak dan manusia hidup dengan aman.

Vampire in The Garden dilihat sebagai sebuah lagi filem anime yang berprofil tinggi kerana ia dianimasi oleh Studio WIT yang terkenal untuk anime Attack on Titan, dan juga pengarahnya Hiroyuki Tanaka, yang selain mengarah anime yang sama, juga telah mengarah filem anime Empire of Corpses sebelum ini.

Vampire In The Garden akan ditayangkan di Netflix pada 16 Mei ini.

Spriggan

Spriggan merupakan sebuah manga yang sangat popular pada era 90an, dan ia kini akan tiba di Netflix tidak lama lagi.

Siri anime ini menceritakan tentang sebuah organisasi rahsia yang dinamakan Spriggan, yang mempunyai tugas untuk memastikan bahawa senjata dan teknologi yang digunakan pada zaman dahulu-kala tidak digunakan oleh sesiapa pun daripada zaman ini.

Spriggan menggabungkan teknik animasi 2D dan juga 3D, dan ia dikatakan salah satu adaptasi anime yang sangat ditunggu-tunggu kerana populariti manga sejak era 90-an dahulu. Siri anime ini akan ditayangkan di Neetflix pada Jun 18 ini.

Sohor Kini