Satu perkara yang sering menjadikan Netflix adalah pilihan untuk penggemar kandungan hiburan adalah kerana mereka berkongsi akaun dengan beberapa orang kenalan, apabila dibahagikan pembayaran bulanan, kos Netflix sebulan boleh menjadi serendah RM10.

Walaupun ia sering dilakukan oleh kebanyakan pemegang akaun Netflix, akan tetapi secara teknikalnya ia bukanlah sesuatu yang dibenarkan. Ini adalah kerana fungsi perkongsian akaun adalah terhad kepada seisi rumah sahaja. Netflix juga mengatakan yang perlakuan ini telah memberi kesan kepada mereka untuk mendapatkan lebih banyak kandungan yang berkualiti.

Netflix sebelum ini telah mula menghantar kod pengesahan kepada pemilik utama akaun Netflix untuk memastikan pengguna-pengguna lain mempunyai kebenaran untuk menggunakan akaun tersebut dan terkini, mereka juga membolehkan pemilik akaun untuk melakukan bayaran tambahan jika ingin berkongsi akaun dengan bukan isi rumah.

Mereka mengatakan yang fungsi ini sedang dicuba di Chile, Costa Rica dan Peru di mana pelanggan akaun Standard dan Premium perlu membayar 2,380 CLP, 2.99 USD dan 7.9 PEN (~RM12) untuk menambah dua akaun. Jika anda sedang berkongsi akaun sekarang, akaun-akaun tersebut juga boleh dipindahkan ke akaun yang berbayar ini.

Buat masa ini, ia tidak menampakkan kesan kepada yang sudah berkongsi tanpa sebarang masalah, tetapi dengan pengenalan fungsi ini, kami menjangkakan yang Netflix akan lebih hadkan kebolehan untuk pengguna berkongsi akaun di masa hadapan.

Sohor Kini