Skip to main content

The Adam Project adalah satu filem yang mempunyai premis yang agak rumit, berkait dengan cereka sains melibatkan rentas masa akan tetapi ia diringkas dengan satu penceritaan yang mudah untuk diikuti dengan perwatakan yang mudah untuk difahami menjadikan ia satu filem yang baik walaupun tidak mencapai tahap yang lebih daripada yang ingin disampaikan.

Watak utama di dalam filem ini adalah Adam dan Adam, satu Adam lakonan Ryan Reynolds dan seorang lagi Adam lakonan Walker Scobell, mereka adalah Adam yang sama dan bukan sekadar watak yang mempunyai nama yang sama. Adam dewasa telah kembali ke masa silam untuk menghentikan sesuatu yang mengucar kacirkan masa depan.

Di dalam usaha tersebut, dia tercedera dan berhenti di masa yang salah, dan terpaksa mendapatkan bantuan kanak-kanak Adam untuk meneruskan usahanya tersebut. Kekuatan utama bagi filem ini adalah lakonan yang baik oleh Walker Scobell untuk menjadi Adam versi kanak-kanak, lakonan Ryan Reynolds kita sudah boleh jangkakan dan dia adalah dia, oleh itu saya sangat kagum kerana Adam versi kanak-kanak berjaya hadir dengan lakonan yang benar-benar menggambarkan mereka adalah dua orang yang sama.

Kita sering mendengar kata-kata yang walaupun kita membesar, tetapi kita tidak sentiasa menjadi versi yang terbaik. Perhubungan di antara dua Adam ini, sepenuhnya menggambarkan perkara tersebut dan ia disampaikan dengan sangat baik. Adam yang telah melalui bertahun-tahun kehidupan akan mempunyai sesalan yang disampaikan kepada Adam yang masih kecil, manakala Adam yang masih seorang kanak-kanak masih mempunyai jiwa yang telah dilupai oleh Adam yang dewasa. Ini memberi dinamik yang menarik di dalam penceritaan.

Selain itu, filem ini juga memfokuskan kepada perhubungan kedua-dua Adam dengan emak mereka lakonan Jennifer Garner serta ayah mereka lakonan Mark Ruffalo. Walaupun mereka hadir dengan terhad akan tetapi penyampaian watak sangat efektif memberi kesan kepada keseluruhan penceritaan. Ini membantu memberi lapisan berlainan kepada keseluruhan penceritaan, dan menjadikan ia mempunyai satu drama yang berkesan.

Shawn Levy yang juga mengarah Free Guy cuba melakukan perkara yang sama di dalam filem tersebut, memfokuskan kepada sesuatu yang lebih ringkas berbanding premis yang rumit, namun di dalam filem tersebut ia lebih bercelaru, manakala The Adam Project dilakukan dengan lebih baik. Setiap perasaan, setiap perhubungan yang cuba disampaikan berjaya dilakukan dengan baik. Walaupun penonton yang inginkan lebih cereka sains akan sedikit kecewa namun ia satu yang saya katakan sebagai drama kekeluargaan yang baik.

Ini tidak bermakna yang elemen cereka sains tiada ataupun sedikit, filem ini menyertakan beberapa perkara yang menarik seperti tentera dari masa depan, masalah mengenai rentas masa, gajet serta senjata yang menarik, memberi perasaan yang ini adalah filem genre tersebut dengan baik walaupun tidak menjadi fokus utama.

Pertempuran masih lagi baik, ia banyak menggunakan elemen senjata cereka sains yang baik, dengan CGI yang berkesan. Bahkan ia juga mempunyai pertempuran jet yang bagi saya dilakukan dengan menarik terutama untuk filem yang tidak sangat menjadikan ia fokus. Oleh itu, walaupun cereka sains menjadi sekunder sahaja di dalam filem ini, dengan drama kekeluargaan menjadi fokus utama, ia masih dilakukan dengan mencukupi.

Perkara yang mungkin sedikit mengecewakan di dalam filem ini, adalah antagonis, ataupun sekumpulan penjahat yang bagi saya terasa sedikit cetek. Ia mungkin pilihan pengarah untuk tidak terlalu memfokuskan kepada mereka supaya dapat memberi ruang kepada Adam, akan tetapi saya yakin yang jika penjahat ini dilakukan dengan lebih mendalam ia akan menjadikan keseluruhan penceritaan bukan sahaja lebih menarik tetapi juga memberi lebih banyak ‘perasa’.

Ia bukan masalah lakonan kerana Maya Sorian lakonan Catherine Keener dan Christos lakonan Alex Mallari Jr. disampaikan dengan baik, akan tetapi ia adalah masalah kepada kedua-dua watak ini tidak diberi ruang untuk dikembangkan lagi selain sekadar ingin menghalang Adam daripada melakukan yang yang dia perlu lakukan.

The Adam Project adalah satu filem yang ringkas dengan premis yang rumit, ia mungkin mengecewakan bagi yang inginkan sesuatu seperti Donnie Darko ataupun Terminator akan tetapi filem ini secara jelasnya tidak ingin menjadi filem-filem tersebut. Mereka ingin menjadi satu filem mengenai perhubungan dengan diri sendiri, perhubungan dengan keluarga, dan ia dilakukan dengan efektif.

Jika anda mengharapkan ia adalah satu filem cereka sains yang akan membuatkan anda berfikir, ini bukanlah filem tersebut akan tetapi jika anda inginkan satu filem yang ingin ditonton secara kasual dan ingin mempunyai perasaan yang baik pada masa sama belajar mengenai pentingnya kita melihat kepada diri sendiri, The Adam Project adalah satu yang berbaloi untuk ditonton.

Penafian: Siaran awal The Adam Project disediakan oleh Netflix Malaysia. Ia sudah boleh ditonton di Netflix

The Adam Project
The Adam Project sekali lagi menggandingkan Ryan Reynolds dan Shawn Levy, berbeza dengan Free Guy, filem ini lebih berkesan dengan penyampaian drama kekeluargaan bersama dengan cereka sains yang menarik
Positif
Drama Kekeluargaan Yang Baik
Lakonan Baik Dari Semua Pelakon
Elemen-elemen Cereka Sains Yang Menarik
Negatif
Antagonis Yang Kurang Mendalam
Cerekan Sains Disampaikan Dengan Ringkas
8

Leave a Reply