DokuRabu – Jeen-Yuhs : Kanye’s Redemption

Kanye ialah penerbit, penyanyi, pereka fesyen, pereka kasut, dan genius yang paling penting dalam industri muzik RAP sejak sedekad yang lalu. Beberapa minggu kebelakangan ini akhbar tabloid dipenuhi cerita Kanye cuba memujuk kembali isteri beliau Kim K selepas teman wanita terkini meninggalkan beliau secara mendadak.

Perangai pelik beliau sering dikaitkan dengan ego yang tidak terkawal serta tahap kepercayaan dengan kemampuan diri sendiri yang lebih tinggi daripada 8 Menara PNB Merdeka 118. Dokumentari Jeen-Yuh yang boleh distrim di Netflix cuba memberikan jawapan yang lebih seimbang serta adil kepada Kanye West.

Dokumentari ini menarik kerana diterbitkan oleh Coodie & Chike yang mengikuti kerjaya Kanye sebelum beliau menjadi artis hip hop terbesar dunia. Jarang sekali perjalanan kehidupan seorang artis besar direkodkan sejak dari awal. Melihat Kanye sebelum ego melonjak serta lebih rendah diri adalah agak aneh.

Dalam bahagian pertama kita dapat melihat bagaimana lagu-lagu awal beliau tidak diendahkan oleh syarikat rakaman kerana Kanye mempunyai dua dosa besar dalam hip hop. Pertama beliau datang dari keluarga kelas menengah dengan ibu beliau Donda seorang guru bahasa Inggeris. Latar belakang beliau yang tidak cukup miskin ini tapa sebarang rekod jenayah membuatkan beliau sukar untuk diambil serius dalam industri yang mementingkan imej gengster di awa tahun 200an.

Dosa kedua Kanye pula ialah beliau dibesarkan di Chicago yang tidak mempunyai pedigri seperti New York dan Los Angeles. Kesemua layanan buruk yang diterima Kanye di awal kerjaya dirakam oleh Coodie & Chike yang sebenarnya hanya ingin menghasilkan segmen pendek untuk MTV.

Sejak dari awal Kanye mempunyai kepercayaan yang tinggi dengan bakat beliau. Ramai yang tidak mengambil serius kemampuan beliau untuk menjadi artis rap dengan rapper lebih berminat untuk menggunakan muzik latar yang dihasilkan beliau secara percuma.

Kesemua halangan yang dihadapi Kanye boleh membuatkan orang kebanyakan menyerah kalah. Tiada masa diberikan oleh syarikat rakaman untuk merakam rekod? Ini bukan masalah bagi Kanye kerana beliau meminjam waktu studio dari rakan artis dan jasa dibayar dengan muzik dari beliau. Tiada wang untuk muzik pertama? Gunakan duit sendiri terlebih dahulu belakang kira.

Sedikit demi sedikit bakat Kanye mula disedari Pharell Wiliams dan Mos Def. Dalam dua episod setakat ini, dapat dilihat sedikit demi sedikit kepercayaan beliau meningkat dan di akhir episod kedua ego yang disorok mula keluar dari cangkerang seperti kepala kura-kura.

Aku tak mengatakan aku Kanye tetapi perjalanan hidup beliau mempunyai banyak persamaan dengan kerjaya aku dalam dunia penulisan sejak 12 tahun yang lalu. Ramai tak percaya, ramai yang memandang rendah dan tak kurang juga yang mentertawakan. Beza aku dengan Kanye ialah aku masih belum cukup berjaya tetapi Kanye kini termasuk dalam senarai 10 insan paling berpengaruh dalam sejarah hip hop.

Keseluruhan dokumentari dihasilkan dengan rakaman video-video lama dan kualitinya memang kurang memuaskan. Kekuatan terletak pada nilai sejarah dan Coodie yang menjadi narator dengan perjalanan Kanye diceritakan seperti Morgan Freeman membaca kisah Andy DuFresne dalam cerita Shawshank Redemption.

Kekurangan lain ialah tiada langsung penglibatan dari Kanye sehingga beliau sendiri mengamuk ingin mempunyai kata akhir bagaimana dokumentari disunting. Kanye inginkan kawalan ini kerana ada beberapa babak yang boleh dianggap memalukan seperti Kanye memperdengarkan lagu All Falls Down tetapi langsung tidak dilayan kerana beliau seorang nobody pada ketika itu.

Episod terakhir Jeen-Yuhs akan ditayangkan minggu hadapan. Mungkin akan akhirnya menyentuh pula era Kanye yang mula percaya beliau ialah tuhan sejurus selepas kematian ibu tercinta. Bagi peminat Kanye, aku rasakan tak perlu untuk memberikan saranan kerana pastinya dokumentari ini sudahpun anda tonton sejak dua minggu lalu.

Kepada bukan peminat pula, Jeen-Yuhs masih merupakan tontonan yang menarik kerana menunjukkan betapa pentingnya kita percaya dengan diri sendiri terlebih dahulu serta bagaimana sokongan dari seorang ibu dapat mengubah nasib peribadi.

Sohor Kini