Sooka adalah platform penstriman video tempatan yang sebelum ini memfokuskan kepada sukan. Ia ditawarkan oleh Astro kepada mereka yang tidak melanggan mana-mana pelan Astro. Pelan asas merekla sebelum ini adalah RM15.90 untuk VIP Entertainment dengan akses kepada rancangan TV, drama, Sooka Exclusive, Sooka Originals, tanpa iklan dan terhad pada pelayar web atau peranti mudah alih.

Mereka juga ada pelan khusus untuk sukan yang berharga RM41.90. Terkini, mereka mula menawarkan pelan paling premium iaitu VIP TV dengan kebolehan menstrim pada televisyen pada harga RM84.90 sebulan. Pelan ini menawarkan kesemua akses penstriman sukan seperti Liga Perdana Inggeris, MotoGP, Persekutuan Badminton Dunia dan kandungan asli mereka.

Ia juga membenarkan pengguna menstrim pada dua peranti serentak. Contohnya telefon dan televisyen. Televisyen pula hanya disokong pada Android TV Sony atau Sharp yang menjalankan Android TV 8.0 dan ke atas.

Bersama-sama dengan kehadiran pelan ini, kandungan asli Sooka juga mula ditawarkan iaitu drama Melayu Love in Lockdown – lakonan Siti Saleha, Julia Farhana Marin, Shah Iskandar, Sara Mack Lubis, dan Bella Rahim bermula 20 Februari akan datang.

Dengan penawaran pelan TV dan drama asli mereka ini, adakah anda akan bercadang untuk melanggan Sooka?

Sohor Kini