Konsol permainan mudah-alih Steam Deck merupakan konsol permainan yang paling diperkatakan beberapa hari ini kerana ia hadir dengan rekaan seperti sebuah konsol Nintendo Switch yang lebih besar, tetapi merumahkan komponen yang jauh lebih berkuasa, dan membolehkan pengguna untuk memanfaatkan permainan pada akaun Steam mereka.

Terkini, kedai gaming tempatan, Impulse Gaming mengatakan bahawa mereka akan membawa masuk beberapa model terhad Steam Deck ke pasaran tempatan pada penghujung bulan ini ataupun awal bulan Mac kelak.

Impulse Gaming dilihat akan membawa masuk tiga model dengan storan 64GB, 256GB dan 512GB dan dilihat akan menawarkan juga aksesori-aksesori tambahan yang akan hadir dengan model-model yang lebih mahal.

Tanda harga untuk konsol ini tidak disahkan lagi, kerana Impulse mengatakan bahawa harga akhir hanya akan diketahui apabila mereka menerima konsol-konsol tersebut akibat ketidakpastian dari segi pembayaraan membawa masuk konsol-konsol ini.

Tetapi daripada grafik yang dilihat, Steam Deck versi 64GB (eMMC) dilihat akan hadir pada tanda harga RM23XX-RM25XX, model 256GB (SSD NVMe) pada harga RM32XX-RM34XX, manakala model 512GB (SSD NVMe) akan tiba pada harga RM38XX-RM41XX.

Kami juga perlu mengingatkan anda untuk membaca dengan teliti terma dan syarat pada laman Facebook mereka sebelum anda membayar deposit RM499 yang diperlukan untuk membeli konsol ini, sekiranya anda mahu menukar fikiran anda.

Sumber: Impulse Gaming

Sohor Kini