Netflix merupakan platform penstriman video yang popular. Ia mempunyai banyak kandungan asli menarik, kandungan klasik yang dapat mengimbau kenangan silam serta cukup cerdik untuk mencadangkan kandungan menarik berdasarkan corak penggunaan pengguna.

Namun, ia bukannya sempurna. Contohnya, selepas tonton sesuatu atau jika menjeda menonton dan kembali ke skrin utama – kandungan yang anda tonton sebentar tadi akan memaparkan bar merah di bawah imej kenit sebagai tanda status anda telah tonton di tahap mana.

Kandungan ini kemudiannya akan disenaraikan dalam Continue Watching. Kadangkala yang kita sudah tidak ingin tonton atau yang tonton tetapi tidak sampai ke hujung kredit juga akan disenaraikan. Terkini, Netflix telah menawarkan kemampuan membuang terus kandungan yang tidak diingini dalam Continue Watching.

Sebelum ini jika anda ingin kosongkan, anda perlu ke tetapan akaun dan padam sejarah aktiviti. Ciri ini dilihat sudah pun hadir pada aplikasi Android, iOS, iPad OS dan juga pada beberapa aplikasi untuk televisyen pintar. Ramai melaporkan ia mula kelihatan pada Apple TV. Namun pada Google TV saya (dongel Realme), ia masih belum kelihatan lagi.

Apakah pendapat anda dengan ciri ini, adakah anda akan menggunakannya atau anda jenis tidak kisah dengan apa yang tersenarai pada Continue Watching?

Sohor Kini