Tiada orang minta, itu yang dia beri. Apa yang orang minta, dia pandang hina. Itulah Warner Bros. dan dunia filem DC. Selepas bertahun orang minta filem Justice League versi asal Zack Snyder, Warner Bros. akhirnya beri semua peminat peluang untuk saksikannya. Ia memberi harapan pada mula, tetapi terus ekcewa apabila disahkan ia adalah one-off.
Kemudian James Gunn pula terlibat dengan The Suicide Squad, olahan semula + sekuel (soft-reboot) kepada Suicide Squad arahan David Ayer. Kali ini ia ganas, tiada yang dipotong, darah di sana-sini, watak yang menarik serta berjaya memberi peminat pengalaman menonton yang memuaskan.
Tapi macam biasa, apabila ada filem baharu atau siri TV baharu – DCEU yang kita kenal dan harapkan suda semestinya tiada dan semuanya berada dalam dunia sendiri. Itulah yang berlaku dengan The Suicide Squad juga. Kini ada sekuel dalam bentuk siri sampingan memfokuskan kepada Christopher Smith/Peacemaker – Peacemaker.
Dalam siri ini James Gunn selaku penciptanya, akan cuba menceritakan apa yang berlaku kepada Peacemaker selepas adegan pasca-kredit The Suicide Squad. Sambil itu turut menceritakan latar belakang watak ini seperti asal-usul, keluarga dan perkembangan watak ini.
Artikel ini adalah ulasan tanpa beberan untuk 7 episod Peacemaker yang diberikan oleh HBO GO Asia untuk tujuan ulasan. Aku hanya belum tonton episod akhir, iaitu episod 8. Jika anda ingin tahu adakah siri TV ini berbaloi untuk anda habiskan masa setiap minggu tonton, jom baca.
Peacemaker???
Peacemaker atau nama di sebalik topeng adalah Christopher Smith merupakan “adiwira” yang gila megah dan percaya kepada keamanan tidak kira jika beliau perlu membunuh atau tidak. Disebabkan beliau membunuh penjahat, beliau dikira sebagai penjenayah dan telah memasuki pasukan Suicide Squad.
Watak ini pertama kali muncul dalam komik Fightin’ 5 isu-40 tahun 1966 sebelum kembali dalam komik solo tahun 1967 Peacemaker isu-1. Sebelum watak ini diambil-alih oleh DC Comics, Peacemaker dimiliki oleh Charlton Comics.
Watak ini kali pertama muncul dalam bentuk aksi-nyata lakonan John Cena dalam The Suicide Squad. Selepas pertarungan dengan Rick Flag, beliau koma dan memasuki hospital.
Dalam siri ini, sudah semestinya Amanda Waller tidak semudah itu akan melepaskan beliau begitu sahaja. Seperti dalam treler, beliau telah ditugaskan dengan satu kumpulan baharu di luar rekod Black Ops untuk misi menghentikan Butterfly.
Sepanjang perjalanan menjalankan misi ini, beliau mula menemui rahsia dan rasa was-was sambil turut mengimbau kembali kisah silam dan penonton turut akan berkenalan dengan bapa beliau Auggie Smith lakonan Robert Patrick.
Peacemaker akan berganding bahu dengan Emilia lakonan, Jennifer Holland, Adrian Chase/Vigilante lakonan Freddie Stroma, John Economos lakonan Steve Agee, Leota Adebayo lakonan Danielle Brooks, Clenmspn Murn pula lakonan Chukwudi Iwuji dan juga Nhut Le sebagai Judomaster.
Siri TV ini adalah kisah perjalanan hidup Peacemaker yang mungkin ingin berubah dan bertaubat berdasarkan treler yang mereka terbit. Ia adalah siri TV komedi aksi yang ganas dengan lakonan John Cena.
Peacemaker akhirnya mencari keamanan?
Kalau anda ada baca artikel-artikel aku di Aksiz anda tahu yang selain kategori seram ngeri, adiwira adalah antara kegemaran aku serta aksi ngeri dan ganas. Peacemaker adalah gabungan adiwira + aksi + komedi + ganas, ngeri berdarah.
Jadi jika anda tonton siri TV ini apa yang anda akan lihat adalah koreografi aksi yang menakjubkan sehebat dalam filem The Suicide Squad. Watak bertopeng dalam siri TV ini adalah John Cena sebagai Peacemaker, Freddie Stroma sebagai Vigilante dan Nhut Le sebagai Judomaster. Setiap kali watak ini muncul dalam skrin, ia adalah antara saat yang paling seronok.
Seronok kerana aksi mereka yang lucu dan ganas. Interaksi mereka yang dungu dan menjengkelkan kadangkala berjaya membuatkan aku tergelak. Tetapi ada kalanya apabila terlampau berulang aku mula rasa berang dan bosan. Kebanyakan aksi dalam siri TV ini juga melibatkan bertumbuk, pisau, tembakan dan letupan.
Sinematografi siri TV ini sudah semestinya next level bertaraf filem bajet tinggi kerana itu yang HBO Max janjikan kepada semua. Majoriti adegan dalam Peacemaker adalah cantik, teruja, memuaskan dan rasa realistik. Cuma ada watak menggunakan kostum yang terlampau nampak tiada kualiti dan murah.
Aku rasa, apa yang anda akan saksikan dan alami jika tonton sepanjang siri TV ini adalah – rasa ok. Ia adalah siri TV yang biasa sahaja dengan fokus kepada John Cena. Warner Bros. dan DC juga ingin ada siri TV seperti Disney dan Marvel. Disebabkan James Gunn dibenarkan menghasilkan cerita yang ganas, peminat komik dan DC akan rasa gembira dan puas tetapi peminat yang biasa atau penonton yang mencari bahan hiburan akan rasa biasa sahaja dan mungkin tidak begitu teruja.
Walaupun begitu, prestasi lakonan pelakon dalam siri TV ini adalah sangat mantap dan aku rasa puas hati. Contohnya Chukwudi Iwuji yang melakonkan watak Clenmspn Murn. Beliau kononnya mempunyai asal-usul dan latar belakang yang menggerunkan dan kini hanya melakukan kerja ringan di bawah Waller. Perwatakan beliau menggerunkan dan sungguh menarik. Ia cukup untuk membuatkan orang ramai rasa beliau antara watak yang terbaik.
Danielle Brooks yang memainkan Leota Adebayo pula pada awal rasa cringe dan menjengkelkan kerana rasa lembap. Tetapi semakin lama ia seakan berjaya menarik perhatian dan cuba menjadi watak kegemaran, kerana watak ini turut seakan diberi peluang baru untuk dunia DC seperti John Economos lakonan Steve Agee.
Watak-watak lain semuanya okay sahaja. John Cena pula apa yang boleh aku katakan adalah, beliau seakan seorang pelakon yang ada sifat kanak-kanak yang sangat inginkan main watak hero, tetapi tidak pernah ada peluang. Tetapi apabila diberi peluang, beliau mula teruja terlebih dan menjadi mengada-ngada. Bila mantap lakonannya mantap, tapi bila dungu rasa terlampau sakit hati pun ada.
Kesimpulan
Kalau anda minat DC, minat aksi ganas dan ngeri, minat aksi komedi dan lawak dungu yang ganas – Peacemaker adalah untuk anda. Siri TV ini bukannya siri TV tema hero terbaik, tetapi adalah siri TV yang seronok untuk layan kalau bosan. Aku katakan begitu, kerana siri seperti ini tiada masa depan dan dengan kita semua tahu situasi DC dan Warner Bros. macam mana – aku sudah letakkan satu harapan rendah.
Aku tidak harapkan sesuatu yang tinggi, tetapi apa yang aku rasa semasa tonton Peacemaker adalah sama seperti tonton The Suicide Squad. Rasa puas hati dan rasa seronok, cuma aku tidak tahulah kenapa John Cena dipilih untuk diberi fokus utama. Aku rasa ramai je watak menarik lain. Tapi kalau anda bosan dan ingin cari sesuatu untuk tonton bertemakan DC dan hero ganas, ini adalah untuk anda.
HBO Go Asia hanya akan siarkan tiga episod pertama sahaja. Episod 4 akan bermula pada 20 Januari dan berterusan setiap minggu sehingga pertengahan Februari.