Bradley Cooper adalah pelakon yang berbakat. Banyak filem yang beliau berlakon ada dalam senarai filem kegemaran aku. Beliau hebat dalam The Hangover, siri TV dan filem Limitless juga menarik, kemudian dalam A Star Is Born prestasi lakonan beliau dengan emosinya serta kemampuan menyanyi memang wow. Tidak lupa juga yang beliau adalah Rocket dalam Guardians of the Galaxy.

Filem terkini beliau adalah Nightmare Alley, iaitu filem yang dihasilkan bukan untuk semua orang. Filem ini menarik sebenarnya, mesej yang ada dalam, dramanya hebat dan sinematografinya memang menakjubkan – tetapi ia adalah filem yang gila perlahan dan setiap perbualan yang ada dalam filem ini wajib didengari dan kalau boleh jangan terlepas pandang satu pun kalau tidak terus tidak faham.

Asas filem ini adalah, jika sudah berjaya dan sudah satu sampai tahap yang jauh dalam diri kita tahu apa yang kita ada sudah cukup tetapi kerana tamak tetap inginkan lagi, lagi dan lagi.


Apa yang menarik dengan kisah filem ini?

Stan individu yang ingin mulakan kehidupan baru, bermula dari bawah bertemu dengan Clem dan Bruno di sebuah karnival. Sedar kekejaman di sebalik karnival ini, Stan cuba mendekati pasangan berbakat psikik yang kelihatan lebih normal.

Secara perlahan beliau belajar mengenai psikik dari mula hingga menjadi pakar dan turut tahu segala peraturan dan amaran. Satu hari Stan jatuh cinta dengan Molly dan mula rasa tamat lalu lari dari karnival ini. Bertahun membina nama menjadi popular dan hebat, Stan menjadi lebih tamat dan cuba menjadi penipu pula.

Penipuan yang melampau melibatkan orang berkuasa membuatkan Stan hilang Molly, turut menjadi mangsa penipuan dalam rancangan sendiri dan akhirnya karma kehidupan meletakkan Stan kembali di titik permulaan filem.

Bradley Cooper melakonkan watak Stanton Carlisle atau Stan seorang yang ada potensi dan bersemangat. Clem pula lakonan Willem DaFoe seorang pemilik karniva yang kejam bersama Bruno lakonan Ron Perlman, mengendalikan karnival ini dengan tidak berperikemanusiaan. Insan derita dimanipulasi untuk menjadi hamba dan bahan persembahan.

Stan yang mula belajar helah psiki daripada Pete dan Zeena mula sedar akan kehebatan bakat ini. Pete turut memberi amaran jangan salah guna dan jangan melampaui batas. Kemudian mula rasa gah dan jatuh cinta kepada Molly lakonan Rooney Mara, beliau lari tinggalkan karnival dan mula membina nama serta populariti.

Bertahun Stan dan Molly dikenali ramai, beliau mula didekati dengan Ritter lakonan Cate Blanchett. Seorang pakar psikiatri. Ritter cuba menguji Stan kerana dapat tahu semuanya helah, tetapi Stan berjaya manipulasi Ritter agar tidak terdedah rahsia beliau. Ritter mula meminati Stan dan membawa berkenalan dengan Judge Kimball.

Bermula dari sini, Stan nampak peluang yang sebenarnya ada sesuatu yang menghalang yang tidak dapat beliau teka. Yakin dengan bakat, saat inilah di mana Stan kembali jatuh dan hidup kembali derita. Stan mula kembali ke titik permulaan dan memulakan hidup sebagai hamba karnival.

Tarbiah sentap untuk diri

Benar, filem ini adalah tarbiah sentap untuk diri aku sendiri. Mesej yang ada agak dalam, sampai aku terasa dan buatkan aku sukar untuk tonton. Mesej yang mudah dan ringkas, iaitu ingat had dan jangan tamak.

Pada awal filem, semua boleh nampak yang Stan memang ada bakat dan potensi. Tetapi beliau seakan tidak mengenali diri sendiri kerana tidak tahu had beliau sendiri di mana. Dengan mula jatuh cinta, nampak kehebatan memiliki kuasa dan bakat hebat serta kekayaan dunia – beliau menjadi buta dengan duniawi.

Menggunakan bakat sedia ada untuk aktiviti haram dan tidak patut, Stan menjadi Con Man untuk menipu seorang penjahat hebat. Helah yang sudah diberi amaran oleh Pete sejak awal beliau mula belajar helah ini, digunakan. Tetapi beliau terlepas pandang yang Ritter hanya ingin manipulasi keadaan.

Atas sifat yang tamat haloba, nak, nak , nak dan masih nak tanpa tahu bila ingin kata sudah. Rancangan penipuan beliau tadi makan diri dan membuatkan beliau derita dan sengsara.

Filem ini begitu mendalam, dan sangat meyakinkan kerana semua pelakon berlakon dengan handal sekali. Emosi, raut wajah dan semuanya padan dengan situasi. Sinematografi yang gila lawa, gelap dan seakan murung ini membawa penonton ke dunia imersif garis masa di mana berlakunya filem ini.

Filem ini bercakap tanpa henti. Ia adalah filem yang dialog penting dan setiap saat dalam ini main peranan untuk kaitkan apa yang berlaku pada Stan. Ia bukan untuk semua orang, tetapi jika ingin tonton filem mengenai seorang psikik penipu yang makan diri – penawaran filem ini mungkin akan membuatkan anda rasa puas tonton.

Kesimpulan

Disebabkan aku sudah lama tidak tonton filem sebegini dan aku hadir ke panggung dengan informasi yang sedikit mengenai filem ini, aku agak terkejut yang format filem ini adalah jenis perlahan. Aku tidak kata aku tidak sukakan filem ini, cuma filem ini memerlukan mood dan masa yang sesuai. Aku tidak bersedia untuk hadap filem ini, jadi aku rasa sedikit bosan dan tidak dapat menikmati sepenuhnya.

Filem ini juga jika anda tidak bersedia, selepas beberapa minit pasti akan terlelap. Apa-apa pun, filem dengan mesej yang dalam, sinematografi yang hebat ini agak menarik. Aku lupa yang kita sebenarnya ada filem seperti ini untuk tonton, bagi yang ingin cuba tonton Nightmare Alley akan ditayangkan di Malaysia 13 Januari ini.

Nightmare Alley
Di Pawagam 13 Januari
Stan yang ingin memulakan semula kehidupan, mula bekerja di karnival dan berkenalan dengan pasangan psikik. Selepas belajar skil psikik, beliau jatuh cinta dengan Molly dan lari untuk memulakan kerjaya sendiri sebagai pakar psikik dan penipu (con-man). Akibat tamak, beliau kembali ke titik permulaan.
Positif
Sinematografi yang gila cantik dan memuaskan
Mesej yang mendalam untuk penonton sedar
Prestasi lakonan yang gila mantap
Negatif
Penyampaian cerita yang perlahan
Jenis cerita kalau sikit terlepas pandang terus tidak faham
6.5
Skor Ulasan

Sohor Kini