Selepas membunuh Bib Fortuna, Boba Fett dan Fennec Shand mengambil alih takhta empayar jenayah di angkasa yang sebelum ini turut diperintah oleh Jabba The Hut. Dalam siri TV The Book of Boba Fett, empayar jenayah baharu ini akan dipertontonkan dan Boba telah berjanji tidak akan memerintah sebagaimana Jabba sebelum ini.
Dengan siri TV ini juga, ia memberi peluang pada Boba untuk lebih cerah dengan lebih banyak masa skrin. Siri ini akan menceritakan perjalanan beliau, bagaimana beliau hidup, bagaimana beliau boleh berada di tempat sekarang. Episod pertama telah pun disiarkan dan ini adalah apa yang aku rasakan.
Boba Fett ni pasal apa?
Judul siri ini membawa maksud, apakah kisah yang dibawa. The Book of Boba Fett akan menceritakan perjalanan Temuera Morrison sebagai Boba Fett selepas The Mandalorian musim ke-2. Dalam siri TV ini ia turut akan menceritakan kisah, bagaimana Boba terselamat daripada Sarlacc dalam Return of the Jedi. Sepanjang siri TV 7-episod ini, Boba akan memerintah sebagai ketua penjenayah
Akan ada banyak garis masa dalam siri TV ini, apabila Boba bersama Fennec lakonan Ming-Na Wen ia berada di masa sekarang, tetapi apabila beliau sedang berubat akan mengimbau kisah silam. Siri TV ini juga buat pertama kalinya memfokuskan kepada watak ini sepenuhnya, dengan cuba memuaskan hati peminat yang inginkan kisah lanjut Boba.
Ulasan Episod 1 – Orang suka Boba ke Jabba?
Peminat setia Star Wars pada hemat aku akan suka dengan cerita yang cuba disampaikan dalam siri TV ini. Lebih-lebih lagi dalam episod satu. Mereka yang tidak ikuti Star Wars dan Boba Fett akan keliru dan tidak faham setiap petunjuk dan perjalanan cerita.
Misalnya, jika tidak menonton The Mandalorian musim ke-2 – mereka yang tidak ikuti Star Wars pasti akan ingat yang Temuera dalam siri ini adalah Jango dan bukan Boba. Dalam episod ini juga ia cuba dengan baik memuatkan banyak petunjuk untuk peminat rasa puas hati, kerana aku rasakan butiran yang diberi khusus untuk peminat cari dan cuci mata.
Episod pertama pada aku cukup seimbang dengan di antara cerita dan aksi. Cuma masih tidak jelas lagi kehebatan dan tidak boleh nampak lagi sama ada Boba dan Fennec ini gerun, kejam atau jahat mana. Apakah agenda besar di sebalik Boba memegang takhta? Adakah Fennec setia selamanya? Semua ini masih belum didedahkan lagi.
Untuk sinematografi, ia memberi vibe sama seperti menonton siri The Mandalorian. Ia cantik dan memuaskan, dengan runut bunyi yang sesuai dan pada aku cukup memberi semangat Star Wars. Setiap aksi juga adalah baik, cuma prestasi lakonan Temuera dan Ming-Na Wen memberikan sedikit kerisauan. Aku faham mereka berdua adalah antagonis dan mempunyai perwatakan tegas, tetapi dari segi emosi semua bagaimana?
Temuera aku boleh nampak yang jahat beliau pun, masih tidak sembunyikan rasa derita yang ada. Ming-Na Wen sebagai Fennec seakan robot sedikit, membuatkan aku tertanya – adakah siri Star Wars di Disney+ ini sesuai untuk watak utama kekal memakai topeng/helmet?
Ulasan Episod 2 – Boba ada gang
Kita tahu yang Boba adalah mangsa culikan atau tawanan puak Tusken selepas puak Java merompak dan mencederakan beliau. Hari demi hari hidup terseksa, salah satu daripada makhluk Tusken ini mula melatih Boba seni pertahan diri mereka.
Boba juga sebagai balas budi, melindungi mereka daripada ancaman yang meragut nyawa. Secara perlahan dan mendalam, episod ini memfokuskan kepada perkembangan watak Boba daripada insan lemah menjadi lebih kuat.
Episod ini juga pada aku ditulis dengan sangat baik dan seimbang agar sesuai untuk kedua-dua peminat dan orang biasa. Banyak informasi diberikan serta beberapa petunjuk mengenai dunia Star Wars yang akan membuatkan peminat setia rasa teruja dan puas. Episod dua ini juga pada aku walaupun ia menarik, ia bukan untuk semua orang – kerana mereka yang tidak sukakan penyampaian cerita dengan sinematografi, bercakap dan emosi akan rasa episod ini biasa sahaja.
Episod kali ini fokus sepenuhnya kepada Boba dengan Fennec mempunyai masa skrin yang amat pendek. Ini kerana penonton juga dapat lihat bagaimana Boba layak dan diterima oleh puak Tusken sehingga menobat beliau sebagai salah satu daripada mereka sehinggakan beliau menerima tongkat suci tersendiri daripada puak ini.
Aksi juga dilihat amat baik dan memuaskan, membuatkan orang akan rasa lebih teruja dengan kebolehan berlawan dan pertahan diri Boba Fett. Sinematografi juga seperti episod satu, seakan The Mandalorian – dalam Tribes of Tatooine ini ia banyak menghabiskan masa di padang pasir. Setakat episod dua, runut bunyi siri ini masih belum masuk jiwa aku atau mungkin kerana ada vibe Mandalorian aku rasa bosan?
Dengan Boba yang menjadi semakin hebat, rapat dengan Tusken – adakah ini bermakna Boba dan Tusken akan saling membantu? Atau Boba akan menjadi jahat dan aniaya puak Tusken? Tahap kekejaman dan kejahatan Boba masih belum terserlah lagi buat masa ini.
Ulasan Episod 3 – Perjalanan Hidup Yang Perlahan
Setakat episod satu dan dua, ia mempunyai penceritaan yang baik. Tetapi masuk ke episod ketiga, perjalanan cerita menjadi semakin perlahan dan kali ini ia seakan satu episod yang meleret. Faham, perjalanan hidup beliau penting untuk lihat bagaimana beliau boleh menjadi diri beliau sekarang. Tetapi kisah kali ini rasa sedikit bosan.
Perjalanan hidup beliau di Tatooine kurang memberangsangkan. Episod ini juga adalah titik permulaan di mana Boba mula berfikir untuk menjadi ketua penjenayah sendiri dan tidak lagi ingin bekerja di bawah orang lain. Kembar Hutt dan spesis Wookie – Black Krrsantan juga tidak mempunyai impak yang menarik. Musuh seakan begitu mudah ditewaskan dan tidak mempunyai saat yang mendebarkan. Ada juga beberapa adegan yang klise menjadikan pengalaman menonton kurang memuaskan.
Boba juga pertama kali bertemu dengan sekumpulan remaja yang melakukan modifikasi tubuh badan dan rekrut mereka menjadi pasukan beliau. Kemunculan pasukan remaja ini juga antara kenapa episod ini antara episod yang bosan. Mereka seakan tidak sesuai untuk dimasukkan dalam situasi dan lokasi di mana Boba berada. Mungkin Disney cuba untuk menarik perhatian penonton remaja atau yang lebih muda?
Sepanjang masa aku tonton episod tiga, wajah aku hanya muram dan rasa mengantuk. Ia tidak membuatkan aku ingin terus tonton siri TV ini. Walaupun begitu, beberapa adegan aksi dilihat agak menarik dengan konsep yang lain dan boleh dikatakan berbeza dengan apa yang pernah dipertontonkan dalam dunia Star Wars.
Episod ini antara yang aku rasa okay adalah kemunculan Danny Trejo yang akan melatih Boba untuk menjinakkan raksasa makhluk asing. Benar, tiada adegan yang gempak tetapi watak beliau memberi vibe yang baik.
Ulasan Episod 4 – Boba Fett Balas Dendam
Impak episod keempat pula hampir sama dengan episod tiga. Tetapi ia sedikit lebih menarik kerana penonton dapat saksikan Boba balas dendam kepada Sarlacc Pitt. Apa yang beliau lakukan, aku tidak akan beberkan, tetapi pendapat aku ia juga antara episod yang perlahan – tetapi kerana ingin lihat bagaimana beliau mencari keamanan selepas sekian lama terperangkap di dalam lubuk raksasa ini, ia sedikit boleh diterima.
Tetapi sebelum itu, episod ini juga adalah di mana buat pertama kalinya Boba bertemu dengan Fennec. Pertemuan antara mereka berdua juga tidak mempunyai cerita yang gempak dan seronok. Ia seakan ala kadar sahaja. Siapa sangka yang Fennec bukan 100% manusia tetapi mempunyai bahagian tubuh yang telah dimodifikasi.
Kali ini ia cuba sampaikan kepada penonton bagaimana Boba dan Fennec boleh menjadi teman dan kenapa Fennec setia kepada Boba. Boba turut kongsi rancangan beliau untuk mengambil-alih tempat Bib Fortuna dan menjadi ketua penyangak angkasa. Sudah semestinya ada banyak halangan dan musuh yang tidak setuju. Setakat episod keempat, kisah Boba Fett terasa sedikit sempit dan terperangkap di satu kawasan dan tidak begitu meneroka ke banyak tempat yang mencabar.
Walaupun begitu, akhirnya dalam episod ini kita boleh lihat lebih lanjut kenapa Boba ingin ada kuasa sebegini dan lebih jelas lagi kisah silam beliau bagaimana beliau mencari perisai dan kapal angkasa beliau. Jika dibandingkan dengan The Mandalorian, Boba Fett secara tidak langsung menjadi antara siri TV sampingan Star Wars yang lemah. Hanya dua episod pertama sahaja pada aku dapat memuaskan hati dan memberikan pengalaman menonton yang baik.
Ulasan Episod 5 – Mando Kembali
Dalam episod lepas, aku tidak mempunyai pengalaman menonton yang memuaskan. Ia bukannya teruk atau apa – cuma ia lebih kepada bercakap dan banyak melakukan keputusan yang dungu. Sedangkan dalam episod pertama dan kedua ia baik sahaja dan memberikan pengalaman yang baik khusus untuk memuaskan peminat.
Kali ini, dalam episod lima ia amat berbeza. Ini kerana ia adalah episod di mana Mandalorian kembali ke kaca skrin selepas kali terakhir kita lihat beliau beraksi dalam musim kedua siri TV beliau. Episod kali ini adalah 100% memfokuskan kepada watak ini, sambil Boba mencari lebih ramai orang untuk dijadikan askar mengukuhkan lagi empayar jenayah beliau.
Episod ini membuatkan penonton rasa rindu kepada watak ini dan juga Grogu atau Baby Yoda. Episod ini langsung tidak rasa yang ia adalah satu episod untuk Boba Fett, tetapi lebih kepada mini-siri untuk musim ketiga The Mandalorian.
Ia sebenarnya biasa sahaja, tetapi kemunculan watak ini amat membuatkan saya rasa gembira dan puas hati. Percakapan beliau, aksi beliau dan semua yang beliau lakukan rasa baik sekali. Bukan itu sahaja, episod ini juga membuatkan peminat setia rindu akan The Phantom Menace. Kerana ada satu adegan yang tidak akan aku beberkan, mengimbau kembali saat-saat gempak filem tersebut. Adakah salah aku lebih sukakan beliau dalam siri TV khusus untuk Boba? Mungkin ya, kerana aku bersifat tidak adil. Tetapi kemunculan beliau ini penting untuk masa depan dunia Star Wars melibatkan Mandalorian, Grogu dan mungkin juga Boba Fett. Ini adalah persediaan awal untuk musim ketiga akan datang.
Episod ini juga membuktikan yang Disney boleh hadir dengan saru episod yang ditulis dengan baik dan mempunyai arahan yang membuatkan penonton rasa puas hati dan tidak sabar untuk nantikan apa yang akan berlaku seterusnya.
Episod 6 – Penuh Dengan Emosi
Secara rasminya, siri TV The Book of Boba Fett pada episod keenam bukan lagi siri TV yang mengisahkan watak Boba Fett. Sejak episod lima, ia memberi fokus kepada The Mandaloria, Din Djarin. Episod enam kali ini Grogu pula menjadi fokus dengan kemunculan watak legasi serta Ahsoka Tano. Memandangkan episod ini sudah pun disiarkan beberapa hari, ulasan ini akan ada sedikit beberan tetapi tidak begitu mendalam.
Episod enam dengan judul From the Desert Comes a Stranger, ia meneruskan kisah Din mencari Grogu kerana terlampau rindukan anak kecil ini. Namun, beliau bertemu dengan R2D2 yang membawa beliau kepada Ahsoka Tano. Sepanjang episod ini, ia mempertontonkan kisah Luke Skywalker bersama dengan Grogu berlatih untuk menguasai Force.
Agak kelakar yang siri TV Boba sudah tidak menceritakan mengenai beliau. Episod lepas langsung tiada kemunculan beliau, kali ini beliau hanya muncul dalam masa beberapa saat dan lain-lain pula diberi fokus kepada watak-watak daripada The Mandalorian dan juga watak daripada animasi Clone Wars yang diubah ke versi aksi nyata.
Menjadikan episod ini menarik pada aku adalah ia penuh dengan emosi dan mengimbau kenangan silam. Sepanjang aku tonton episod ini aku rasa berdebar dan hampir titiskan air mata. Entah kenapa aku terlampau teruja dengan episod kali ini. Ia penuh dengan Fan Service untuk dunia Star Wars dan bukan lagi pada Boba. Dave Filoni dan Jon Favreau hadir dengan episod terbaik kali ini, lebih baik daripada episod lain.
Ia mempunyai kisah yang mendalam dan memberi penonton rasa rindu akan filem asal. Sinematografi yang menakjubkan, CGI mengurangkan umur Mark Hamill menjadi hampir seakan bukan CGI dan amat realistik, mengimbau kenangan daripada filem Star Wars: The Empire Strikes Back, imbau kembali Order 66 daripada filem Star Wars: Revenge of the Sith, kemunculan lightsaber milik Yoda sekali lagi Din beraksi dalam speeder Naboo beliau. Tidak terlupa juga yang Cobb Vanth kembali.
Inilah episod siri TV Star Wars terbaik pernah aku tonton. Mungkin kerana Boba sebelum ini bukannya watak yang banyak bercakap, tetapi selepas empat episod sudah sampai masa mereka seimbangkan keadaan membawa penonton ke pengalaman menonton yang lebih baik. Walaupun begitu aku masih harapkan episod akan datang paling kurang kita akan dapat lihat Boba beraksi untuk memberi keadilan.
Episod 7 – Selamat Tinggal Boba Fett
Hari Rabu lepas, Disney+ Hotstar telah pun menyiarkan episod ketujuh iaitu episod akhir bagi siri TV The Book Of Boba Fett. Episod kali ini pada aku baik sahaja, tetapi bukanlah yang terbaik dan memuaskan. Nampaknya sepanjang siri TV ini, hanya empat episod sahaja kisah Boba itu pun pada aku dua yang pertama sahaja seronok dan seterusnya menjadi sedikit perlahan. Tetapi dari perkembangan dan pengembaraan dunia Star Wars, ia tiada masalah. Tiga episod terakhir lebih terasa seakan siri TV The Mandalorian musim 2.5, persediaan sebelum ke musim ketiga yang dijangka akan tiba pada tahun ini juga.
Episod kali ini adalah pertempuran akhir bagi kisah Boba Fett yang cuba memegang takhta kuasa menjaga Tatooine di Mos Espa. Disebabkan Pyke Sindicate yang berdagang Spice dengan keganasan, zalim serta gemar menghuru-harakan keadaan. Episod ini turut memperlihatkan perubahan drastik watak Boba yang semakin baik hati. Aku juga tidak suka cara beberapa musuh ditewaskan, kerana episod lepas kelihatan begitu hebat dan gerun dan dalam episod akhir terlampau lemah.
Banyak juga watak-watak sampingan di dalam ini diberi peluang untuk lebih menyerlah di skrin. Sudah tentu Mando sentiasa menceriakan hati aku, Grogu yang beraksi dengan pergerakan yang comel, serta rancangan yang baik untuk menyerang musuh. Turut kelihatan adalah cara Fennec Shand yang pada aku agak aneh. Watak ini seakan ada potensi untuk terus menganiaya Boba, namun kita sukar untuk tahu masa hadapan watak ini kerana selepas ini tiada lagi siri Boba. Malah jika watak ini akan kembali pun, mungkin akan menjadi sebagai watak penampilan khas sahaja.
Akan tetapi, penyampaian cerita dalam episod ini pada aku terlampau ringan dan ia terus ditutup dengan keadaan yang tidak begitu gempak. Ia seakan penulis terus kehilangan idea untuk tamatkan siri TV ini sedangkan banyak lagi kaedah yang boleh sahaja dilakukan.
Kesimpulan
Untuk kisah Boba, siri TV ini agak lemah dan kurang memuaskan. Tetapi untuk dunia Star Wars dengan fokus kepada Tatooine, kelompok-kelompok yang hidup di planet ini, daripada politik, penjenayah, dan perkembangan dunia ini yang lebih mendalam ia sebuah siri TV yang baik sahaja.
Namun kepuasan itu terus mati begitu sahaja, selepas dua episod terbaik pada aku iaitu 5 dan 6 membuatkan aku teruja terus perasaan itu menjadi hambar dengan penutup pada episod akhir yang sedikit lemah.
Sudah tentu jika aku minta, kenapa tidak selitkan adegan Obi-Wan Kenobi atau Ahsoka dan sebagainya adalah tidak masuk akal. Ini kerana Boba berlaku selepas siri TV Mando musim kedua iaitu ketika Age of Rebellion dan kisah Obi-Wan adalah melindungi Luke ketika Age of Republic iaitu di antara garis masa filem Solo dan sebelum Star Wars: Rebels.
Cuma dengan siri ini adalah siri TV aksi nyata ketiga Star Wars di Disney+, mereka telah cuba pelbagai kaedah visual, suntingan, CGI dan mungkin juga deepfake yang lebih baik. Jadi, tidak terkejut jika siri-siri TV akan datang untuk Disney+ akan menjadi lebih hebat (harapnya).