Filem muzikal adalah antara filem kegemaran aku. Kalau versi aksi nyata ada banyak yang aku suka, tapi kalau filem animasi aku memilih sedikit. Antara filem animasi kegemaran aku yang muziknya kadangkala masih berirama di dalam mindaku, adalah Frozen. Kemudian satu lagi adalah lima tahun lepas – Sing.

Sing adalah filem animasi muzikal yang mana pelakon suaranya semua adalah daripada pelakon, selebriti, penyanyi A-List dan juga yang dikenali ramai. Perwatakan mereka yang menarik, mereka semua berbakat dalam menyanyikan semula lagu-lagu hangat dan popular serta mempunyai drama yang menarik.

Terkini filem sekuel telah pun mula ditayangkan, aku masih rasa seronok menontonnya. Tetapi aku tidak rasa begitu puas. Ia membuatkan aku rasa keliru adakah ini filem atau muzik video. Ini adalah ulasan aku untuk filem ini.


Sing 2 Ke Peringkat Global

Sing kembali dengan sekuel, kini ingin menyerlahkan bakat masing-masing di peringkat global. Sambil bertemu dengak bakat baru, kenalan baru, dan berusaha menjayakan konsert idaman. Tetapi tidak menjadi filemlah kalau tiada halangan.

Dalam filem ini semua yang terlibat terpaksa berhadapan dengan Mr. Crystal lakonan suara Bobby Cannavale, iaitu seorang eksekutif yang memiliki pentas besar untuk konsert dan persembahan bakat di bandar seakan Las Vegas. Buster Moon lakonan suara Matthew McConaughey juga terpaksa mencari Mr. Calloway seorang penyanyi legenda lakonan suara Bono yang sudah 15 tahun menyepi dalam industri.

Dalam filem ini turut ada beberapa watak baru seperti Alfonso (lakonan Pharell Williams) menjadi teman kepada Meena lakonan Tori Kelly. Halsey pula memainkan watak Porsche iaitu anak kepada Jimmy, Letitia Wright pula adalah seekor kucing yang pandai menari dan akan membantu Johnny lakonan Taron Egerton. Kemudian Eric Andre akan memainkan seekor yak yang pentingkan diri dan Chelsea Peretti akan memainkan watak anjing yang acah sombong tapi dalam hati ada taman, iaitu pembantu kepada Jimmy.

Semua haiwan-haiwan berbakat daripada filem pertama cuba membiasakan diri untuk persembahan peringkat global, yang mana prosedurnya berbeza berbanding persembahan di bandar kecil dan pentas kecil. Satu pengalaman baru untuk mereka yang mungkin juga akan mengubah hidup mereka selama-lamanya.

Kurang Drama + Muzik Menarik = Tak Puas

Seingat aku, filem pertama rasa lebih menarik dan memuaskan. Ini kerana filem pertama aku rasakan mempunyai penceritaan yang lebih mendalam dan bermain lebih banyak dengan emosi, lantas lebih mudah untuk penonton pilih watak kegemaran dan saat yang sukar untuk dilupakan.

Tetapi dalam filem kedua ini, ia lebih rasa seakan bahagian terakhir filem pertama yang dipanjangkan. Masih ada format yang sama daripada filem asal juga kurang drama. Ini membuatkan filem ini rasa sedikit kosong dan tiada susunan cerita yang mudah untuk penonton ikuti.

Kemudian, interaksi di antara watak juga sedikit kurang menyerlah kerana macam biasa – filem ini ada banyak watak dan pelakon suara pula adalah selebriti A-List. Memang aku jangka akan ada yang mempunyai masa skrin pendek. Cuma aku suka gila filem pertama dan apabila filem kedua rasa sedikit kurang, perasaan kecewa itu mula muncul.

Walaupun begitu, muzik-muzik dalam filem ini masih berjaya disampaikan dengan baik dan memuaskan. Nyanyian semula lagu-lagu popular oleh selebriti terkenal memang menarik dan menghiburkan. Ada juga beberapa elemen lawak yang buatkan aku ketawa macam orang tidak betul, ada juga yang sekadar buat aku tersengih.

Filem ini kurang seimbang daripada hiburan, pengajaran dan penceritaan. Studio dilihat fokus kepada muzik berbanding kisah yang menarik di antara watak membuatkan aku rasa sedikit kecewa kerana tidak berjaya membuatkan aku rasa puas hati untuk filem dengan genre kegemaran aku.

Kesimpulan

Sing 2 ini pada aku lebih kepada Sing pertama bahagian kedua, atau sepatutnya dimasukkan terus di dalam filem pertama sahaja. Ia seakan pek DLC sahaja kerana sepanjang filem seperti yang aku katakan tadi, terlampau fokus kepada muzik sehinggakan penceritaan kisah di antara watak dan agenda di sekeliling tenggelam.

Walaupun dramanya kurang, muzik yang ada di dalam filem ini rasa seronok dan memuaskan. Beberapa elemen komedi yang ada juga berjaya mencuit hati aku dan buat aku tergelak. Ada juga watak yang buatkan aku rasa cringe dan terlampau menjengkelkan.

Jika anda tidak tonton filem pertama, anda akan rasa aneh dengan filem ini kerana tidak memahami setiap watak dan interaksi di antara watak. Ini disebabkan interaksi watak dalam filem ini sedikit lemah dan untuk aku cuba ingat balik lima tahun lepas – agak sukar.

Apa-apa pun, Sing 2 masih menghiburkan dan menarik. Sesuai untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga di pawagam sambil ketawa sambil mengunyah bertih jagung.

Sing 2
Di Pawagam 30 Disember
Sing kembali dengan sekuel, kini ingin menyerlahkan bakat masing-masing di peringkat global. Sambil bertemu dengak bakat baru, kenalan baru, dan berusaha menjayakan konsert idaman - halangan daripada pihak eksekutif dan misi mencari penyanyi legenda mengganggu rancangan haiwan-haiwan ini semua.
Positif
Muzik yang menarik dan suara yang merdu
Animasi yang cantik
Cukup menghiburkan dengan komedi yang boleh layan
Negatif
Tidak mempunyai drama yang menarik
Perwatakan setiap watak sedikit terkejar-kejar
8
Skor Ulasan

Sohor Kini