Amaran. Don’t Look Up ialah filem komedi parodi isu-isu besar dunia yang kemudiannya boleh menyebabkan depresi. Berdasarkan trailer yang diterbitkan sebelum ini, ramai merasakan filem ini hanya akan menyentuh mengenai situasi yang berlaku di dunia apabila sebuah asteroid dikesan akan menghentam bumi dalam masa kurang tujuh bulan.

Abaikan trailer yang anda sudah tonton kerana cerita sebenar Don’t Look Up (DLU) adalah lebih menarik dari video sepanjang 3 minit. Filem penuh sepanjang 138 minit akan menyentuh masalah semasa dunia mengenai manipulasi media, berita sampah yang menjadi candu kepada masyarakat, masalah golongan liberal menentang kebatilan, isu konservatif yang menentang fakta, pemimpin bodoh sendu, gerakan anti-sains, dan banyak lagi isu-isu sosial.

Filem bermula dengan Kate Dibiasky (Jennifer Lawrence) menemukan sebuah asteroid baharu yang kemudiannya mengambil nama beliau. Kegembiraan bertukar menjadi mimpi ngeri selepas perkiraan matematik yang dilalukan oleh Dr Randall Mindy (Leonardo DiCaprio) menunjukkan asteroid Dibiasky akan menghentam bumi dalam masa kurang tujuh jam. Terdapat banyak persamaan permulaan filem ini dengan Armageddon cuma bezanya dalam dunia Dalam dunia DLU, Amerika Syarikat adalah di bawah pimpinan Presiden Orlean (Meryl Streep) yang lebih mementingkan masa depan politik jangka pendek berbanding kemusnahan bumi yang akan mendatang.

Plot DLU menujukan bagaimana Dibiasky dan Mindy cuba mendapatkan perhatian dunia yang lebih mudah dicandukan oleh skandal seks dan masalah percintaan selebriti popular. Pelbagai cara dilakukan oleh protagonis untuk cuba menyelesaikan masalah dunia yang berhadapan dengan kiamat seakan dinosaur tetapi dihalang masyarakat yang bebal dan insan-insan yang mempunyai kepentingan peribadi. Kerana mereka juga bukanlah insan yang dari universiti yang ternama, penemuan telah diperlekeh dan dipertikai oleh NASA.

Setakat itu sahaja ingin kami sentuh mengenai plot kerana tidak mahu menjadi spoilers. Walaupun kesemua halangan yang dihadapi adalah fiksyen tetapi sangat relevan dengan situasi yang dihadapi oleh kita di Malaysia sekarang.

Kepimpinan sendu yang lambat bertindak membuatkan risiko bumi musnah menjadi bola api terbakar semakin serius. Campur tangan golongan berkepentingan pula membuatkan situasi yang sepatutnya mudah menjadi 100 kali ganda lebih serius. Kami tidak banyak menyentuh mengenai politik negara di Aksiz tetapi kesemua keputusan bodoh yang diambil Presiden Orlean di dalam filem ini adalah terlalu mirip dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia pasca banjir besar minggu lalu.

Ini mungkin sebab utama ketika ulasan ditulis, Don’t Look Up di tangga pertama kandungan paling popular di Netflix Malaysia. Kemarahan sebenar orang ramai hanya dapat diredakan dengan menonton filem komedi cereka yang diarahkan oleh Adam McKay – yang sebelum ini mengarahkan filem komedi Anchorman, Step Brothers, Talladega Nights dan filem serius The Big Short.

Di negara-negara barat, DLU telah dihentam kerana dianggap sebagai komedi parodi dunia sebenar yang terlalu harfiah. Presiden Orlean dan anak beliau jelas sekali mengambil inspirasi dari Presiden Trump dan anak beliau Ivanka. Isu dunia musnah dihentam asteroid boleh ditukar ganti dengan masalah perubahan iklim dan pandemik Covid-19. Tetapi sebagai penonton di Malaysia, kita boleh menggantikan Orlean dan asteroid dengan isu lain yang lebih relevan.

Selain menampar golongan konservatif, filem juga berani membantai golongan liberal yang lebih gemar mengambil jalan selamat untuk menyampaikan mesej mereka. Tidak ada golongan yang terselamat dari kritikan Adam MacKay dan mungkin ini sebab filem ini menerima reaksi negatif di Amerika Syarikat. Konservatif merasa terhina kerana sekali lagi dipaparkan sebagai gerombolan bodoh sementara liberal pula terpicu kerana dipaparkan sebagai golongan idealis yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melakukan sebarang perubahan.

Kita mungkin tidak boleh bersetuju dengan topik yang dianggap terlalu politik yang diketengahkan Don’t Look Up. Tetapi aku yakin kita boleh bersetuju bahawa lakonan Jennifer Lawrence, Leonardo Dicaprio dan Cate Blanchett adalah mantap. Selepas kali terakhir muncul dalam filem X Men yang mengecewakan, Lawrence memberikan satu lagi peringatan mengapa beliau telah memenangi Oscar pada usia 23 tahun. Apabila watak beliau cuba menghalang diri dari meletup kerana kebodohan orang sekeliling ia dapat ditunjukkan dengan hanya mimik muka dengan jayanya. Apabila beliau akhirnya meletup kerana tidak lagi dapat menahan sabar, watak beliau menjadi surrogate kepada kemarahan diri kami sendiri yang meluap-luap sejak seminggu lalu.

Leonardo pula melakonkan watak seorang profesor yang menghabiskan masa di dalam makmal yang secara tiba-tiba dilantik menjadi wajah misi menyelamatkan bumi. Ia banyak mengingatkan kami kepada watak Rick Dalton beliau dalam filem Once Upon a Time… In Hollywood yang berhadapan dengan krisis peribadi kerana tidak tahu berhadapan dengan tekanan yang besar. Sementara itu Cate Blanchett sekali lagi membuktikan beliau adalah super bakat lakonan seperti Sakuragi Hanamichi ialah super bakat bola keranjang.

Biasanya filem komedi adalah ringan yang kemudiannya dilupakan selepas kredit ditayangkan di skrin. Don’t Look Up berjaya membuatkan kami berfikir tentang masalah sebenar di dunia yang menerima layanan yang sama oleh orang ramai, media dan ahli politik di Malaysia. Mesej yang cuba disampaikan Don’t Look Up adalah cukup jelas. Bumi sedang berhadapan dengan kemusnahan total. Kegagalan tidak terletak hanya pada pihak konservatif atau liberal sahaja tetapi semua golongan yang tidak mampu bekerjasama di saat mereka sepatutnya bergabung tenaga seperti Planeteers menyeru Captain Planet. Oleh sebab inilah Don’t Look Up ialah filem komedi yang boleh menyebabkan depresi.

Don’t Look Up boleh ditonton di Netflix sekarang.

Don't Look Up
Ditayangkan bermula 24 Disember
Sebuah filem komedi yang cuba membincangkan isu yang lebih serius.
Positif
Barisan pelakon yang mantap dengan lakonan Lawrence, DiCaprio dan Blanchett menghiburkan.
Komentar tajam mengenai dunia sekarang yang akan menampar penonton.
Sesuai ditonton lebih-lebih dengan situasi sekarang.
Negatif
Komedi yang membuatkan kami murung kerana realiti adalah seteruk fiksyen.
9

Sohor Kini