Skip to main content

Apa kami tonton minggu ini adalah satu segmen di Aksiz di mana kami berkongsi siri TV ataupun filem yang kami tonton minggu ini. Dengan kita mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan penstriman, kita telah dimanjakan dengan pelbagai pilihan kandungan hiburan.

Oleh itu, ramai mungkin sedikit rambang mata untuk memilih. Melalui artikel ini, penulis-penulis untuk Amanz dan Aksiz akan berkongsi ulasan untuk siri dan juga filem yang mereka tonton pada minggu ini agar dapat membantu anda untuk mencari kandungan yang menarik.

Effi Saharudin – Editor, Amanz

Scrubs – Disney+ Hotstar

Siri komedi yang paling mendapat pujian oleh pengkritik dan penonton tahun ini ialah Ted Lasso. Kami memuji siri Apple TV+ ini kerana ia menunjukkan dalam dunia yang dipenuhi oleh manusia lubang bontot, menjadi manusia yang baik seperti Coach Ted Lasso ialah perkara yang diperlukan. Ted Lasso memenangi beberapa anugerah Golden Globe setakat ini dan ramai merakan ia adalah antara komedi terbaik pernah dihasilkan. Aku bersetuju dengan kenyataan ini tetapi aku juga merasakan ada satu siri yang boleh distrim sekarang yang jauh lebih baik.

20 tahun yang lalu Scrubs mula ditayangkan di kaca TV. Sitcom yang ditulis oleh Bill Lawrence ini berbeza dengan sitcom-sitcom lain di kaca TV pada waktu tersebut kerana ia berkisar pengalaman Dr John Dorian yang baru memulakan tugas di Hospital Sacred Heart. Sebelum ini tidak ada komedi berkisar dengan kehidupan seharian seorang doktor.

Seperti Ted Lasso, Scrubs mengajar kita bahawa dalam dunia penuh kematian, kesakitan, seksaan, cabaran dan manusia lubang bontot, menjadi manusia yang baik adalah perlu. Anda pasti tertanya kenapa aku sarankan siri yang temanya sama dengan Ted Lasso?

Kerana Ted Lasso sebenarnya ialah Scrubs yang hanya menukar Hospital Sacred Heart dengan Richmond F.C. Kenapa Apple TV+ tidak disaman? Kerana Ted Lasso dan Srubs kedua-duanya ditulis oleh Bill Lawrence. Tukar sahaja watak Dr JD dengan Ted Lasso, Dr Cox dengan Roy Kent, Dr Bob Kelso dengan Rebecca dan Dr Elliot Reed dengan Keeely Jones. Kesemua konflik kemanusiaan yang dapat ditonton di Ted Lasso telahpun dibuat terlebih dahulu di Scrubs dan dilakukan dengan lebih baik.

Selalunya apabila menonton siri yang sudah berusia 20 tahun, kandungannya akan menjadi DATED kerana tidak lagi selari dengan zeitgeist semasa. Tetapi Scrubs sangatlah evergreen kandungan komedinya masih malar hijau dan sebenarnya lebih progresif. Ada perbincangan mengenai kesihatan mental, kemurungan dan tekanan di tempat kerja yang hanya kini boleh dibincangkan secara terbuka di media sosial.

Ted Lasso ialah siri yang bagus tetapi Scrubs adalah lebih bagus. Tonton Scrubs di Disney+ Hotstar hari ini. Ada satu rahsia yang ingin aku kongsikan hari ini. Walaupun D+ hanya menyenaraikan musim pertama Scrubs sahaja secara rasmi, sekiranya anda menonton musim pertama sehingga habis, anda kemudiannya boleh terus mengakses musim kedua. Ada pepijat di D+ yang membolehkan kandungan yang disorok ditonton terus! Dam ingatlah anda tidak perlu menjadi Superman untuk menikmati Scrubs.

Tonton Scrubs di Disney+ Hotstar hari ini.

Izzat – Editor, Aksiz

Ted Lasso Musim 2 – Apple TV+

Siri Ted Lasso pada musim pertama berakhir dengan perkara yang mengecewakan selepas AFC Richmond tersingkir ke division bawah, di musim baharu ini Ted Lasso perlu membawa kembali pasukan AFC Richmond kembali ke Liga Premier. Namun, seperti biasa, Ted Lasso bukan sekadar memfokuskan kepada menang atau kalah sebaliknya ingin menghasilkan satu pengalaman yang baik untuk kesemua yang terlibat di dalam pasukan ini.

Seperti yang dilakukan di musim yang pertama, musim kedua juga banyak memfokuskan kepada permasalahan mengenai watak-watak di dalam siri ini, berbanding sekadar memperlihatkan perlawanan bola sepak. Namun, mungkin kerana ia terasa sama seperti sebelum ini, musim kedua ini terasa kekurangan magis dan penarik seperti musim pertama dan ada sesetengah bahagian terasa sangat meleret dan menjadi terlalu panjang.

Walaupun begitu, ia masih lagi satu siri yang mempunyai jiwa. Banyak masalah-masalah disampaikan dengan baik dan terasa relatable, dan tidak mengejutkan lakonan-lakonan setiap watak juga disampaikan dengan baik. Ted Lasso sendiri memperlihatkan perwatakannya yang tidak diperlihatkan sebelum ini, dan kita juga dapat mengetahui serba sedikit kisah silam beliau dan bagaimana ia membentuk tingkah lakunya.

Secara ringkasnya, Ted Lasso Musim 2 masih lagi satu siri yang baik, masih lagi memberi ‘warm feeling’ kepada penonton walaupun keunikan sudah berkurangan dan jika mereka merancang untuk hadir dengan musim baharu lagi, pelbagai penambahan perlu dilakukan dan tidak boleh berharap kepada formula yang sama dan saya juga merasakan yang ia satu perkara merugikan jika watak-watak di dalam siri ini tidak dikembangkan lagi.

Artikel Lepas Untuk – Apa Kami Tonton Minggu Ini

Leave a Reply