Sebagai yang seorang yang minat teknologi, filem perisikan merupakan antara filem kegemaran kerana mereka mempunyai banyak gajet menarik. Ada yang tidak masuk akal dan adu juga yang sudah pun menjadi realiti. Selain itu, filem perisikan biasanya mempunyai aksi menarik, watak hebat dan setiap misi itu seronok ditonton jika dirancang dengan baik, skrip tidak mengarut dan penyampaian adalah lancar dan faham.

Contoh yang lucu adalah Johny English dan Agent Cody Banks. Manakala yang serius yang masih saya ingat adalah francais Bourne atau Mission Impossible. Kingsman sudah ada dua filem dan filem ketiga merupakan prekuel – diberi judul The King’s Man. Aku diberi peluang untuk tonton filem ini minggu lepas dan ini adalah apa yang aku rasakan mengenai filem ini.


Apa itu The King’s Man dan kaitannya dengan Kingsman?

Pada awalnya aku rasa teruja dengan kehadiran filem. Setiap treler keluar aku tidak terlepas, setiap berita aku ikut kerana filem perisikan macam yang aku katakan tadi merupakan kegemaran aku. Tonton sahaja treler, filem ini dilihat kononnya akan membawakan sesuatu yang baru dalam konsep filem perisikan.

Tapi jangan terpedaya, kerana mereka menggunakan treler gaya Marvel – menipu penonton. Untuk kisah yang disampaikan dalam filem ini, ia adalah kisah di antara bapa dan anak. Asas kepada organisasi Kingsman itu adalah betapa sayangnya seorang ayah kepada anak selepas di Isteri mati.

Ya, filem ini benar berlaku di masa silam – iaitu perang dunia pertama. Ada elemen aksi, politik, peperangan, askar, ketidakpercayaan dan banyak lagi. Matthew Vaughn selaku pengarah sama untuk francais filem ini, cuba membawa sesutau yang baru dalamnya kerana cerita King’s Man ini tiada dalam komik asal karya Dave Gibbons dan Mark Millar.

Filem ini turut mempertontonkan bagaimana perang dunia berlaku dan apa punca dan siapa dalang – semuanya didedahkan dalam filem ini. Jadi sejarah palsu yang digubah dalam filem ini terasa seakan teori konspirasi yang diubah menjadi filem.

Cubaan Cerita Asli Tanpa Komik

Macam aku katakan tadi, Matthew Vaughn cuba dengan penulisan skrip sendiri tanpa menggunakan elemen daripada komik. The King’s Man adalah kisah daripada pengarah sendiri yang cuba sampaikan satu konsep baru untuk filem perisikan. Bagus kerana berani mencuba, cuma aku rasakan filem ini seakan tidak diberi perhatian penuh untuk butiran dan penyampaian cerita yang sedap.

The King’s Man tidak seperti filem perisikan yang biasa kita lihat, jauh juga bezanya dengan Kingsman. Ia satu konsep yang kita tahu sudah ada, tapi pada masa yang sama nampak macam menarik dan segar tapi jauh di dalam hati ada kata – baik jangan tonton. Aku patut percaya kata-kata hati aku, sebab semasa dalam panggung wayang, aku hampir tertidur kerana filem ini yang begitu bosan.

Bosan itu satu, diperdaya pun satu. Betul, mereka cuba berikan kejutan. Filem berbeza banyak dengan treler. Kerana semua bahan promosi, treler, poster, video di sebalik tabir ke – langsung tiada indikasi yang filem ini adalah filem mengenai bapa dan anak. Aku tidak baca komik Kingsman, jadi aku tidak pastilah jika dua filem Kingsman menyajikan fan service yang baik. Tapi filem ini turut cuba beri fan service kepada peminat Kingsman sedia ada dengan meletakkan banyak petikan ayat yang sama daripadanya.

Tambahan lagi, aku sukakan konsep filem ini. Betul!. Cuma baguslah untuk Matthew, kerana membuka peluang untuk cuba lagi dan perbaiki. Bukan senang untuk hadir dengan filem asli, tanpa rujukan.

Watak Yang Menarik, Tapi…

Ralph Fiennes, Gemma Arterton, Rhys Ifans, Harris Dickinson dan Djimon Hounsou adalah antara pelakon yang diberi fokus penuh. Tidak lupa juga Rhys Ifans sebagai Rasputin yang cuba sedaya upaya untuk menjadi gerun dan ditakuti ramai.

Pengasas Kingsman adalah Ralph Fiennes yang memainkanw watak seorang bangsawan Orlando Oxford. Beliau adalah bapa kepada Conrad Oxford lakonan Harris. Mereka berdua dilihat tidak mempunyai dinamik watak yang mudah diingati. Ingin kata tidak nampak macam bapa dan anak pun ada. Tetapi kasih sayang, ajaran, disiplin semua Conrad masih seorang anak yang baik.

Orlando dilihat mempunyai idea yang hebat, tetapi sepanjang dalam filem ini beliau kelihatan begitu lemah seakan seorang pakcik tua yang acah hebat. Bahagian ini tidak boleh marah, kerana ia adalah keputusan Oxford untuk jaga anak beliau dengan baik selepas menyaksikan isteri mati di depan mata sendiri ketika anak masih kecil. Jadi overprotective mode beliau telah pun aktif.

Walaupun begitu, beliau masih mempunyai perwatakan yang menarik. Apa yang Matthew cuba sampaikan dengan beliau boleh nampak, cuma ia tidak tersampai.

Conrad juga begitu, mempunyai perwatakan yang menarik. Seorang yang berani, gagah dan tabah. Cuma masa skrin beliau rasa tidak mencukupi dan tenggelam dengan watak lain serta agenda yang berlaku di sekeliling. Cuma beliau tiada vibe yang hebat dan memuaskan seperti Taron Egerton sebagai Eggsy dalam Kingsman.

Djimon Hounsou juga mempunyai prestasi lakonan yang baik. Watak beliau Shola boleh dilihat adalah seorang yang setia dan turut hebat beraksi. Watak beliau seakan Merlin lakonan Mark Strong, tapi rasa seakan lebih bergaya. Watak ini mempunyai interaksi yang bagus di antara pelakon-pelakon lain. Watak beliau juga pada aku layak diberi masa skrin lebih.

Seterusnya adalah Gemma Arterton yang memainkan watak Polly. Beliau juga adalah seakan Shola, sentiasa di sisi Orlando. Bersama-sama, mereka bertiga mendidik dan membesarkan Conrad. Lakonan beliau pada aku baik sahaja, mempunyai ekspresi wajah yang mudah dibaca beliau adalah seorang watak yang sebenarnya hebat beraksi dan/atau orang kanan/orang kuat kepada Orlando.

Pada aku, masa skrin yang diberikan pada watak-watak ini tiak konsisten dan tidak begitu menarik. Mereka cuba membawakan banyak watak, tapi akhirnya jadi hambar dan bosan. Berbeza dengan Kingsman, ada banyak watak – lagi-lagi Golden Circle. Tapi ia masih rasa baik sahaja dan tidaklah sebosan The King’s Man.

Akhir sekali, watak yang aku akan tekankan lebih adalah Rasputin. Ada lagi seorang watak antagonis, tetapi aku tidak akan sertakan kerana watak itu adalah beberan. Benar ada kejutan, tetapi tidak rasa terkejut pun dan tidak langsung ada rasa takut atau cuak terhadap watak misteri ini.

Kembali kepada Rasputin, iaitu Rhys Ifans pelakon sama Dr. Connors dalam The Amazing Spider-Man. Rekaan watak yang dahsyat, gerun dan ada la cuba bagi rasa seram seriau. Tetapi entah kenapa, aku rasakan watak ini menjengkelkan dan tidak sebati dengan jiwa aku. Lakonan beliau okay, tiada masalah – mungkin kerana beliau terlampau over?

Sinematografi

Kingman pertama dan kedua adalah filem aksi komedi. Ia lucu, ia ceria dan ia gila. Tapi disebabkan filem ini berlaku di zaman silam, banyak teknologi atau gajet yang ada pada filem awal tidak wujud lagi dalam King’s Man. Begitu juga dengan senjata, kenderaan dan bangunan. Filem ini memang rasa lain, berbeza dan penggunaan kamera, muzik, semuanya pada aku masih cuba menghormati yang asal tapi tidak sampai.

Koreografi aksi juga begitu. Ada yang baik dan ada juga yang buat aku rasa suka. Aksi yang aneh dan geli pun ada, cuma filem ini tidak mempunyai aksi yang epik atau gempak. Ia rasa biasa sahaja, adalah satu dua cabaran yang mendebarkan – tapi ia tidak tahan lama dan terus pudar.

Cubaan baru tidak bermakna hanya sekali sahaja kemudian terus berhenti. Mattew dilaporkan akan memulakan penggambaran Kingsman 3 September tahun hadapan. Jadi mungkin beberapa elemen di dalam filem tersebut mungkin akan ada?

Kesimpulan

The King’s Man adalah sebuah filem yang cuba memberitahu kita semua mengenai asal-usul organisasi Kingsman. Treler tunjuk begitu, bahan promosi juga begitu. Tetapi macam aku kata, treler boleh tipu dan ia sebenarnya adalah filem mengenai kasih sayang di antara seorang bapa dan anak.

Siapa sangka yang organisasi perisikan ditubuhkan kerana bapa yang rindukan anak. Oh ya, dalam filem ini turut didedahkan kenapa mereka menggunakan nama-nama legenda seperti Arthur, Merlin, Lancelot dan lain-lain.

Filem ini mempunyai konsep yang menarik dan aku rasa Matthew ada peluang untuk cuba kilatkan sikit atau susun atur plot dan masa skrin watak agar lebih menarik. Aku faham bukan satu kerja mudah untuk hasilkan karya asli tanpa rujukan. Elemen asal-usul Kingsman tu ada, aku rasa okay dan boleh diterima. Tetapi aku tetap beri skor rendah iaitu separuh kerana separuh perjalanan filem ini telah bazirkan masa aku.

The King's Man
Akan Tiba Di Pawagam 30 Disember
Positif
Konsep kisah bapa dan anak yang berbeza
Prestasi lakonan yang baik
Negatif
Penceritaan yang gila perlahan
Elemen perisikan yang sangat lemah
Penjahat yang menjengkelkan dan tidak berjaya membawa rasa gerun
Cubaan cerita asli yang patut dipandang lagi
5
Skor Ulasan

Sohor Kini