Jika anda seperti saya, membesar dengan menonton anime pada era 90an dan 2000, diantara tajuk anime yang pastinya anda akan sekurang-kurangnya pernah dengar pastinya Cowboy Bebop. Anime ini memperlihatkan pengembaraan empat watak bounty hunter di angkasa yang menggabungkan kualiti animasi yang mantap pada masa itu, penceritaan yang agak unik untuk sebuah tajuk anime pada waktu itu, dan juga musik jazz yang saya masih dengar lagi sehingga hari ini.

Tiga tahun yang lalu, Netflix telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan siri aksi nyata Cowboy Bebop yang berdasarkan tajuk anime tersebut. Apabila pengumuman tersebut dibuat, ramai peminat anime tersebut merasakan bahawa ia adalah idea yang agak buruk daripada Netflix kerana kegagalan mereka melalui filem aksi nyata Death Note masih lagi segar dalam minda mereka.

Akan tetapi, Netflix dilihat memasukkan lebih banyak usaha untuk memastikan bahawa projek terbaru mereka ini berjaya. Pertama ialah mendapatkan khidmat pengarah anime tersebut, Shinichiro Watanabe dan juga penulis runut bunyi Yoko Kanno, dimana kedua-dua nama ini adalah lagenda dalam industri anime dengan berpuluh-puluh anime dibawah nama mereka.

Pilihan pelakon siri aksi nyata ini juga dilihat cukup menarik, dimana John Cho, Mustafa Shakir dan Daniella PIneda diambil untuk memainkan watak-watak Spike Spiegel, Jet Black dan Faye Valentine.

Dari Anime Ke Aksi Nyata

Salah satu kerisauan utama saya mengenai siri aksi nyata ini ialah tentang perwatakan yang perlu dibawa oleh ketiga-tiga pelakon utama ini. Khususnya dengan ketiadaan salah satu watak utama siri ini, dan perubahan konteks anjing peliharaan mereka, Ein diperkenalkan.

Tidak kira jika anda baru kepada siri Cowboy Bebop, ataupun peminat tegar siri anime sebelum ini, dua episod pertama siri aksi nyata ini digunakan untuk memperkenalkan watak Spike Spiegel, Jet Black dan Faye Valentine. Kesalinghubungan diantara watak-watak Spike Spiegel dan Jet Black sebagai duo komedi tidak boleh dipertikaikan.

John Cho dan Mustafa Shakir mempunyai chemistry diantara kedua-dua watak ini yang pada pendapat saya hampir memiripi hubungan watak-watak Spike dan Jet dalam siri anime, dan bagi saya, ialah tonggak utama siri aksi nyata ini.

Lakonan Daniella PIneda sebagai Faye Valentine juga memberikan dinamik yang sedikit lebih liar, tetapi peminat setia anime pastinya akan melihat lakonan beliau sebagai agak janggal kerana ia bukanlah Faye Valentine yang mereka kenali. Watak Faye dalam anime dilihat sebagai lebih dewasa dengan perwatakan yang lebih tenang, tetapi Faye Valentine dalam aksi nyata boleh dikatakan bertentangan dengan semua itu.

Netflix mengambil pilihan untuk menggunakan aset penceritaan anime asal dan menggubalnya semula untuk memberikan konteks yang lebih berpaksikan alam nyata tetapi pada masa yang sama, cuba memastikan bahawa elemen-elemen sci-fi western masih lagi ada didalam siri itu.

Penceritaan

Sebelum mendalami jalan cerita Cowboy Bebop olahan Netflix ini, siri anime Cowboy Bebop (yang juga boleh ditonton di Netflix) hadir dengan 24 episod yang mana sebahagian besar daripadanya adalah episod-episod penceritaan sendiri (standalone episodes) yang mana plot utamanya yang serius hanya benar-benar diperlihatkan sekitar 5-6 episod terakhir anime ini.

Siri aksi nyata Netflix mengambil episod-episod dan watak-watak sampingan daripada episod-episod ini dan hadir dengan olahan mereka sendiri. Secara ringkasnya, episod-episodnya secara teknikal adalah episod yang sama seperti anime, cuma cara penceritaannya adalah berbeza.

Ini adalah idea yang bagus daripada Netflix, menggunakan aset-aset penceritaan sedia ada dan mengolah jalan cerita untuk menjadikannya lebih mudah ditonton. Watak-watak antagonis sampingan seperti Pierre Le Fou, Udai Taxim, Teddy Bomber dilihat hadir dalam siri aksi nyata ini, dan jika anda bandingkan dengan episod-episod anime, anda akan dapat melihat beberapa detik persamaan dalam episod-episod yang memperlihatkan mereka.

Jujur saya katakan bahawa sejumlah besar daripada episod ini saya sangat sukakan. Saya masih ingat beberapa daripada episod-episod anime ini, dan ini sedikit sebanyak mewarnakan pendapat saya mengenai episod-episod yang diolah semula.

Ada yang baik, seperti episod kedua yang memaparkan watak-watak Asimov dan Katerina Solensan, dan episod ketiga yang memaparkan Teddy Bomber. Bagi saya, dua episod ini hadir dengan penceritaan yang paling rapat dengan siri anime.

Pierre Le Fou, ataupun Mad Pierrot bagi saya ialah watak antagonis terbaik dalam siri aksi nyata ini. Dari segi perwatakan, kostum dan penggunaan alat solek, saya boleh katakan dia ialah diantara watak yang paling menggerunkan, cuma sayangnya jalan cerita episod untuk watak ini agak mendukacitakan kerana tidak mempunyai klimaks seperti apa yang diperlihatkan dalam anime.

Setiap episod Cowboy Bebop aksi nyata ini hadir dengan jangkamasa 40 minit dan bagi saya ini memberikan setiap episod waktu yang mencukupi untuk penceritaan yang lengkap untuk memperkenalkan semua watak-watak penting, dan juga penceritaan yang lengkap.

Satu perubahan daripada siri anime ialah setiap episod Cowboy Bebop memperlihatkan pengenalan watak antagonis utama siri ini, Vicious didalam setiap episod. Jika saya katakan Pierre Le Fou merupakan antagonis terbaik dalam siri ini, Vicious mungkin ialah watak antagonis yang paling mengecewakan.

Vicious dalam siri anime ialah seorang watak yang misterius, bengis dan tanpa belas kasihan, dan walaupun watak tersebut ada disebutkan dalam episod-episod awal, tetapi dia masih hanya sebuah misteri sehingga pengenalannya pada penghujung siri tersebut.

Pengenalan fizikalnya dalam siri anime menandakan pertukaran daripada sebuah spaghetti western di angkasa kepada sebuah siri thriller dengan jalan ceritanya sendiri yang mengasyikkan.

Masalah terbesar siri ini ialah watak Vicious diperkenalkan sebagai watak yang dilihat bengis pada mulanya, tetapi mempunyai kompleks rendah diri yang dilihat semakin jelas setiap kali dia hadir di atas skrin. Bukan itu sahaja, watak Julia, iaitu kekasih satu-ketika Spike juga diperkenalkan dengan janggal, dan wataknya dilihat sebagai seorang damsel-in-distress sepanjang siri aksi nyata ini.

Suntingan dalam beberapa episod awal siri ini juga pada pendapat saya sedikit janggal dengan close-up yang terlalu banyak. Ia tidak begitu nyata selepas tiga episod pertama, tetapi dalam beberapa episod pertama, ia benar-benar menjengkelkan.

Jika anda melihat video The Lost Session dan mengharapkan tahap penyuntingan yang sama dalam episod-episod siri ini, nasihat saya ialah lupakannya sahaja kerana suntingan Lost Session akan memberikan anda harapan palsu tentang bagaimana adegan-adegan aksi Cowboy Bebop ini disunting.

Satu adegan aksi yang saya benar-benar suka ada di episod 9, tetapi oleh kerana saya tidak dibenarkan untuk memberi sebarang beberan mengenai butiran episod-episod, saya boleh katakan ini adalah episod yang paling banyak memberikan saya konflik dalam siri ini.

Yoko Kanno Kembali! Tetapi..

Salah satu aspek paling penting yang membuatkan siri anime Cowboy Bebop sebuah anime yang berjaya di persada dunia ialah runut bunyi lagenda yang digubal oleh Yoko Kanno. Sama seperti Shinichiro Watanabe yang kembali untuk memberi inputnya pada siri aksi nyata ini, Yoko Kanno juga dilaporkan kembali untuk memberi input tentang skor lagu yang akan digunakan.

Seperti yang sedia maklum, Tank! masih digunakan sebagai tema pembukaan siri aksi nyata, tetapi mendengar semula tema-tema seperti “What Planet Is This” mengembalikan nostalgia saya tentang siri anime asal. Yoko Kanno juga dilaporkan kembali bersama The Seatbelts untuk menulis dan memainkan lagu-lagu baru untuk runut bunyi aksi nyata ini, tetapi walaupun begitu, pada pendapat saya adegan-adegan siri ini dilihat mengaburi penggunaan runut bunyi tersebut.

Ini bukanlah saya mengatakan bahawa ini adalah sesuatu yang buruk, tetapi mungkin saya perlu mendengar lagu-lagu ini sendiri apabila ia boleh didengari di Spotify kelak untuk benar-benar mendalami lagu-lagu ini.

Netflix juga dilihat cuba untuk memasukkan adegan-adegan persembahan jazz, sama dengan apa mereka lakukan dengan Luke Cage sebelum ini, cuma pada hemat saya, impaknya tidak sehebat seperti dalam siri televisyen MCU tersebut.

Perkara yang paling mengecewakan saya mengenai runut bunyi Cowboy Bebop ini ialah penggunaan The Real Folk Blues sebagai pengakhiran salah sebuah episod siri ini. Pertama ialah ia tidak digunakan dalam semua pengakhiran episod, yang mana ini hanyalah rungutan kecil. Isu terbesar saya ialah apabila ia digunakan untuk pengakhiran episod tersebut, penggunaannya sangat janggal dan tidak mempunyai sebarang kesinambungan kepada adegan pengakhiran episod tersebut.

Bukan itu sahaja, kualiti audio yang digunakan dalam penutupan episod tersebut didengari seperti Netflix menggunakan fail audio 128kbps, membuatkan saya tertanya mengapa kualiti audio lagu tersebut tidak segah Tank! yang digunakan dalam video pembukaan.

Kesimpulan

Jika anda seorang penonton baru yang tidak pernah menonton siri anime Cowboy Bebop sebelum ini, pada hemat saya, dan rakan-rakan yang saya tanya mengenai pendapat mereka mengatakan bahawa ia bukanlah sebuah siri aksi nyata yang tidak baik.

Masalah Cowboy Bebop, pada pendapat saya ialah apabila mereka cuba untuk membuat penceritaan sendiri diantara watak-watak Spike Spiegel, Vicious dan Julia. Seperti yang dikatakan, Vicious diperlihatkan sebagai seorang watak bengis, tetapi mempunyai inferiority complex yang terlalu pedih untuk dihadam, manakala watak Julia, yang dilihat sebagai konflik utama diantara Spike dan Vicious hanyalah seperti sebuah hiasan di atas meja.

Mengambil penceritaan anime yang sedia ada dan mengolahnya semula untuk lebih kena dengan suntingan aksi nyata ternyata membuahkan hasil yang agak baik jika dilihat sebagai episod-episod kendiri. aya lebih menikmati episod-episod yang kendiri ini berbanding dengan penceritaan “utama” Cowboy Bebop ini, dan sekiranya Netflix memilih untuk menyambung siri ini untuk musim kedua, saya berharap mereka lebih memberi fokus kepada penceritaan episod-episod ini dan cuba untuk memperbaiki watak-watak antagonis utama siri ini.

Cowboy Bebop (2021)
Percubaan terbaru Netflix untuk membangunkan siri aksi nyata daripada anime memperlihatkan penambahbaikan berbanding cubaan sebelum ini, tetapi isu perwatakan, suntingan dan perubahan konteks tidak akan meyakinkan peminat anime untuk menerima siri ini.
Positif
Olahan set aksi nyata yang baik
Watak utama dinamik
Penceritaan episodik yang menarik
Negatif
Jalan cerita utama yang tidak menarik
Watak antagonis utama tidak
Runut bunyi yang kurang memuaskan
6

Sohor Kini