Kalau sesebuah filem ada Dwayne “The Rock” Johnson, pasti filem itu adalah filem untuk keluarga, filem pengembaraan atau filem aksi komedi. Tetapi bagaimana kalau filem itu disertai dengan Gal Gadot dan Ryan Reynolds? Ketiga-tiga pelakon ini adalah pelakon watak filem dunia adiwira; The Rock sebagai Black Adam dalam filem DC baharu, Gal Gadot pula Wonder Woman dalam DCEU dan Ryan Reynolds pula Deadpool dari Marvel.

Filem ini adalah filem aksi komedi bertemakan rompakan dan penipuan. Peminat filem adiwira pasti ada yang ingin tonton mereka bertiga berganding bahu. Kalau ingin tunggu Wonder Woman bertemu Black Adam dalam satu filem pasti mustahil, apatah lagi untuk mereka bertemu dengan watak Deadpool?

Jadi filem ini pada hemat aku, mungkin filem terbaik untuk lihat mereka semua ini bersama di kaca skrin. Apatah lagi apabila dalam sidang media Ryan menyatakan mereka bertiga adalah sahabat baik dan untuk bekerjasama bersama-sama dalam sebuah filem adalah satu aktiviti seronok untuk mereka.


Pasal Apa Filem Ini?

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan seorang profiler FBI yang diberi John Hartley lakonan The Rock, dalam proses menghentikan jenayah rompakan artifak seni oleh Nolan Booth lakonan Ryan Reynolds. Nolan dalam dunia rompakan adalah nombor dua berbanding Sarah Black lakonan Gal Gadot yang turut digelar sebagai The Bishop yang dikatakan adalah paling handal.

Ringkas bukan?

Tetapi bukan itu sahaja. Ia turut bermain dengan konsep penganiayaan, meloloskan diri dari penjara dan juga ada elemen kejar-mengejar melibatkan interpol dan ada konsep Indiana Jones turut diselitkan. Artifak seni yang menjadi tumpuan dalam filem ini dikatakan adalah dari Mesir iaitu sejenis ukiran telur emas yang dihadiahkan kepada Cleopatra. Kononnya dalam sejarah, terdapat tiga biji dengan dua telah ditemui dan yang ketiga dikatakan hanyalah mitos.

Penceritaan Ringkas Dan Menghiburkan

Macam aku kata tadi, filem ini adalah sangat ringkas dan penyampaiannya juga adalah ringkas serta mudah difaham dan menghiburkan. Tetapi macam mana kalau aku kata yang filem ini terlampau ringkas dan hanyalah satu gimik yang kononnya ia filem terbaik Netflix tahun ini kerana menggunakan pelakon-pelakon handal?

Aku yakin selepas anda semua tonton, itu yang akan dapat dirasakan. Lagi-lagi kalau filem rompakan, pihak berkuasa kejar penjenayah, A tipu B, B tipu A dan C kedua-dua A dan B kerap ditonton. Tetapi perspektif aku yang sudah lama tidak tonton filem seperti ini, ia cukup menghiburkan aku.

Filem ini mempunyai sinematografi yang baik. Visual filem ini cukup cantik, koreografi aksi yang hebat, muzik yang bersesuaian, serta penggunaan kamera yang tidak aneh. Lokasi pilihan juga dilihat cukup menarik perhatian.

Untuk aku yang kerap tonton siri TV, filem seram ngeri dan yang bertemakan adiwira – aku boleh terima filem ini sebagai satu palate cleanser. Aku sedari perkara negatif dalam filem ini, tetapi aku memilih untuk tidak fikir terlampau panjang dan hanya ingin tonton dan cuba menikmatinya sehingga selesai.

Gandingan The Rock dan Ryan Reynolds dilihat ada potensi yang baik untuk menjadi sebuah filem buddy cop yang berlainan. Dinamik mereka ini tidak seperti pasangan pelakon lain dalam filem yang lebih kurang sama. Aku suka tonton Black Adam dan Deadpool bekerjasama.

Tetapi prestasi lakonan mereka berdua tidak begitu menyerlah. The Rock hanyalah The Rock seperti mana anda tonton filem aksi beliau. Perwatakan beliau tiada yang unik dan kelihatan sama sahaja, tetapi seakan pada kepala botak beliau ada tombol berputar dan pengarah telah pusingkan dan laras kepada tahap yang lebih rendah.

The Rock tidak mempunyai perwatakan yang ummpphhh!.

Ryan Reynolds pula seakan dari Free Guy masuk ke dalam dunia aksi 6 Underground. Beliau seakan terlampau santai sehinggakan lawak yang cuba disampaikan tidak konsisten. Ada yang aku tergelak, ada yang aku tersengih, serta ada juga yang buat aku sekadar senyum kesian sahaja.

Ryan Reynolds tidak sampai tahap keDeadpoollan beliau.

Gal Gadot juga begitu. Cara watak beliau diceritakan dengar macam hebatnya The Bishop ini, tetapi ia masa skrin beliau tidak memuaskan. Aksi beliau cukup hebat, ada adegan berdansa juga kelihatan baik sahaja, cuma beliau seakan satu watak untuk memancing orang yang ada awek cantik dalam filem ini.

Pelakon lain seperti Chris Diamantopoulos sebagai Sotto Voce, Ritu Arya sebagai Inspector Urvashi, DasIvan Mbakop sebagai Tambwe, Vincenzo Amato sebagai Director Gallo dan Rafael Petardi sebagai Security Chief Ricci juga tidak nampak pun sangat pun penglibatan mereka. Filem ini seakan tiga orang sahaja terlibat.

Filem ini sebenarnya kosong. Untuk filem dengan bajet mencecah lebih RM833 juta ($200 juta), filem ini seakan bergantung kepada ketiga-tiga pelakon hebat ini untuk melariskan filem. Tetapi dengan penulisan skrip yang sangat biasa, hampir keseluruhan filem ini boleh aku ramalkan apa yang akan berlaku kecuali twist di hujung filem.

Penggunaan masa 1 jam 57 minit kelihatan baik sahaja. Tetapi ia tidak memberi satu perwatakan yang baik, tiada pembinaan situasi yang mencabar, serta tidak cukup rempah ratusnya untuk filem ini menjadi satu filem rompakan ala Indiana Jones moden atau National Treasure yang memuaskan.

Kesimpulan

Walaupun begitu, entah kenapa aku rasa aku boleh menerima filem ini. Filem ini untuk aku kalau betul-betul bosan jika ingin ulang tonton kali kedua aku akan rasa okay, tetapi mungkin tidak lebih daripada itu.

Jadi filem ini memang menarik dan seronok ditonton, kalau abda sudah penat layan banyak siri TV, filem-filem hero atau lain-lain yang tidak ada tema yang sama seperti aku. Tapi kalau sudah biasa, aku tidak terkejut kalau filem ini dilabelkan sebagai satu filem yang klose dan bosan.

Skor 8.5/10 yang aku berikan adalah kerana filem ini cukup menjadi palate cleanser aku untuk aku sambung tonton kandungan lain di Netflix yang lebih sesuai dengan jiwa.

Red Notice
Di Netflix 12 November
Profiler FBI ditugaskan untuk menghentikan rompakan artifak seni oleh perompak terkemuka.
Positif
Jalan cerita yang ringkas, mudah faham dan lancar
Sinematografi yang menarik
Negatif
Lakonan yang kurang memuaskan
Walaupun lancar, masih ada rasa sesuatu yang kurang
8.5
Skor Ulasan

Sohor Kini