Sebut Venom orang akan fikir Spider-Man, tetapi filem aksi nyata Sony Pictures 2018 yang agak popular Venom tiada penglibatan Spider-Man pun dan ia berjaya menjadi satu konsep filem Buddy Cop yang menarik. Watak anti-hero yang kejam, ganas dan hebat dijadikan sebagai satu watak lucu dalam filem aksi komedi.

Terkini Sony telah hadir dengan filem kedua, Venom: Let There Be Carnage. Sekali lagi kita dengar nama Carnage kita akan ingat Venom dan terus ingat Spider-Man. Persoalannya bagaimanakah prestasi filem kedua ini? Adakah sekuel untuk filem ini perlu?

Dengan Sony yang semakin serius dalam pembinaan dunia Sony’s Spider-Man Universe, kita sudah ada Venom, Morbius, Spider-Man dan banyak lagi watak dalam perancangan – Venom 2 mungkin adalah filem awal yang memberi petanda dunia Marvel tersendiri Sony ini mungkin boleh berjaya.


Kisah Apa?

Seperti nama judul filem, sekuel Venom ini mengisahkan kehadiran simbiot berwarna merah – Carnage. Ia telah diacah sejak filem pertama lagi, dan kini watak ini mula mengganas dan membunuh dalam filem ini. Secara asasnya, Venom dan Carnage bertemu buat pertama kali di bumi atau dunia filem ini dan bertempur.

Sambil pada itu, kita juga dapat lihat kehidupan Eddie Brock yang terpaksa hidup dengan Venom dengan dua minda setiap hari dengan pemikiran yang berbeza. Filem ini turut mengimbau sedikit kembali kisah silam Eddie dengan penjenayah Cletus Kasady.

Jadi filem ini adalah seorang pembunuh bersiri yang berdendam dengan wartawan yang sedang bersungguh-sungguh membiasakan diri dengan simbiot di dalam badan yang juga masih baru dan bersifat nakal dan menyusahkan.

Penceritaan Yang Bosan

Filem ini amat ringkas. Durasi 97 minit iaitu 1 jam 37 minit sahaja, Venom: Let There Be Carnage adalah filem bertemakan adiwira yang singkat. Jalan cerita ini terlampau ringkas membuatkan perasaan tonton filem ini baru sahaja duduk pejam celik sudah habis.

Penceritaan filem ini agak klise dengan hampir setiap bahagian dapat diagak dan diramalkan. Susunan penceritaan juga biasa sahaja dengan pembinaan rasa terkejut atau mendebarkan itu tidak berjaya. Untuk filem yang ringkas dan pendek ini, entah bagaimana Sony boleh hancurkan dengan penyampaian yang membosankan.

Bukan sahaja jalan cerita yang tipikal, bosan dan klise. Sinematografi juga tidak memberi satu selera yang baik. Banyak CGI yang tidak konsisten dengan ada yang baik dan ada yang terlampau kartun. Aksi juga terlampau pantas menjadikan mata penat cuba mengunci fokus ke satu adegan.

Venom vs Carnage adalah perlawanan CGI yang agak lucu kerana filem ini, tetapi kalau ia dilakukan dengan baik – ia mungkin boleh menjadi lebih gerun dan ganas. Cuma, keganasan dalam filem ini jelas direndahkan dan dimanjakan menjadikan ia lebih sesuai ditonton untuk orang ramai.

Pembinaan dunia filem ini juga tidak begitu bersemangat. Hasil filem ini juga dilihat seakan satu feature film daripada peminat yang fokus kepada adegan aksi Venom vs Carnage yang dirampas studio dan cuba siapkan ala kadar.

Sony juga dengan jelas cuba pancing penonton gaya MCU dengan adegan pasca-kredit yang membuatkan kita yang benci dengan filem ini terasa terpaksa terima.

Perwatakan Yang Tidak Ummphhh!

Bila dah cakap mengenai Venom, watak manusia perlu ambil berat ke atau beri fokus sahaja kepada watak simbiot ini? Keseimbangan adalah yang sepatutnya dilakukan. Filem ini tidak ada kesimbangan di antara watak. Mari mulakan dengan manusia, Eddie Brock. Cara beliau berinteraksi dengan watak lain seakan tiada Chemistry yang mantap dan seakan mudah dilupakan sahaja.

Hubungan beliau dengan Venom juga dilihat ada perubahan, tetapi telah menjadi terlampau Buddy Cop dan integrasi antara manusia dan simbiot kelihatan sedikit janggal dan terlampau try hard. Eddie dan Cletus lakonan Woody Harrelson juga kelihatan ada potensi tetapi ia rushing sangat sehingga tidak boleh mendalami watak ini.

Venom dan Carnage tidak mempunyai aksi yang gempak sepertimana perlawanan watak ini dengan Riot. Ada banyak sequence yang ada potensi tetapi ia tidak memuaskan. Carnage kelihatan terlampau lemah dan asal-usul watak ini terlampau kabur dan tidak jelas.

Eddie dan Frances Barrison atau Shriek lakonan Naomie Harris juga sepatutnya ada ruang untuk lebih menyerlah tetapi ia tidak beerjaya menyampaikan watak ini dengan potensi penuh. Hasrat Sony cuba jadi Disney itu ada, tetapi macam masih malas-malas.

Permulaan Dunia Sony’s Sppider-Man Universe

Walaupun kita tahu yang Venom, Venom: Let There Be Carnage, Morbius, Spider-Man, dan banyak lagi filem-filem dan siri TV daripada dunia komik Spider-Man akan dihasilkan oleh Sony akan berada dalam satu dunia sama, ia sekadar cakap sahaja dan teori.

Tetapi adegan pasca-kredit filem ini akhirnya memberi pengesahan dalam dunia Sony’s Spider-Man Universe, seperti kelak bagaimana Venom boleh bertemu dengan watak-watak lain dalam dunia komik yang sama.

Kesimpulan

Filem kedua Venom ini seakan satu filem ala kadar sahaja yang cuba memancing penonton untuk kekal setia dalam satu dunia filem adiwira yang tidak sehebat MCU ini. Filem ini mempunyai perwatakan yang lemah, jalan cerita yang bosan dan penyampaian filem yang tidak tersampai.

Sinematografi juga tidak begitu menyerlah. Aksi juga rasa hambar dan terlampau pantas seakan Sony terkejar-kejar siapkan filem ini dan memberi fokus kepada filem lain.

Harapnya dunia filem Spider-Man Sony ini boleh berjaya dan menjadi sesuatu yang hebat dan boleh jadi lebih besar seakan dunia MCU. Cuma filem yang bosan dan klise ini sukar sedikit untuk dihadam dan layan, kerana ia adalah filem aksi jenaka yang patut anda tonton kalau benar-benar bosan sahaja.

Venom: Let There Be Carnage
Venom kembali dengan sekuel. Kali ini Eddie bertentang dengan pembunuh bersiri Cletus Kasady atau Venom bersama Carnage. Adakah kali ini Sony berjaya mencipta dunia Sony's Spider-Man Universe?
Positif
Elemen komedi yang lucu
Filem konsep "Buddy Cop" yang rasa berlainan
Negatif
Bosan, klise dan terlampau ringkas
Pengenalan watak yang tidak menarik
6

Sohor Kini